Skip to content
Home » 4 Kesilapan Yang Kerap Dibuat Sebelum Failkan Tuntutan Insurans

4 Kesilapan Yang Kerap Dibuat Sebelum Failkan Tuntutan Insurans

    Tuntutan insurans kenderaan

    Salah satu manfaat atau kepentingan memiliki insurans kenderaan adalah supaya anda boleh membuat tuntutan insurans sekiranya berlaku sesuatu pada kenderaan anda suatu hari nanti. Walau bagaimanapun, anda perlu tahu untuk membuat tuntutan insurans kenderaan, ada syarat dan proses yang perlu anda fahami serta ikuti terlebih dahulu.

    Ramai yang mungkin sudah merasai pengalaman tuntutan insurans ditolak atau bahkan tidak mendapat pampasan yang secukupnya gara-gara melakukan beberapa kesilapan sebelum atau semasa memfailkan tuntutan insurans.

    Jadi pada artikel kali ini, kami akan senaraikan beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh individu sehingga menjejaskan tuntutan insurans mereka agar boleh dijadikan panduan untuk anda. 

    Lewat membuat laporan polis

    Salah satu kesalahan yang kerap dilakukan oleh pemilik kenderaan adalah menghubungi syarikat insurans terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis apabila berlaku sesuatu pada kenderaan mereka. 

    Perhatian! Jangan buang masa untuk menghubungi syarikat insurans anda! Sebaliknya, anda mesti melaporkan tentang kemalangan tersebut kepada pihak polis terlebih dahulu dalam masa 24 jam selepas kemalangan itu berlaku.

    Meskipun kemalangan itu berlaku pada hujung minggu (anda anggap semua pihak cuti), sila jangan tunggu sehingga hari bekerja berikutnya. Polis masih akan mengambil laporan anda di hari apa pun, termasuk hujung minggu. 

    Ingat, kegagalan anda membuat laporan dalam tempoh 24 jam mungkin menjadi alasan untuk syarikat insurans menolak tuntutan anda. Mereka boleh menafikan tuntutan anda jika anda tidak membuat laporan polis tepat pada masanya.

    Berlaku kemalangan dengan pihak lain? Kadangkala, pihak lain yang terlibat dalam kemalangan itu mungkin cuba menyelesaikan perkara terbabit secara peribadi tanpa melibatkan pihak polis. Ingat, anda dinasihatkan untuk tidak bersetuju dengan cadangan pihak tersebut kerana tindakan anda dan pihak terbabit tidak memaklumkan kepada polis tentang kemalangan itu adalah menyalahi undang-undang.

    Nota: Anda hanya boleh menangguhkan daripada membuat laporan polis sekiranya terdapat sebab yang sah yang boleh disokong oleh laporan perubatan rasmi. Contohnya, dimasukkan ke hospital atau menerima rawatan untuk kecederaan anda.

    Mengambil masa terlalu lama untuk memfailkan tuntutan insurans

    Selepas membuat laporan polis, jadi anda boleh teruskan untuk memaklumkan/ melaporkan mengenai kejadian tersebut kepada syarikat insurans anda. Pastikan anda memaklumkan kepada mereka tidak kira sama ada terdapat kerosakan kecil atau besar.

    Kegagalan melaporkan kemalangan boleh meningkatkan risiko permohonan tuntutan insurans anda ditolak. Biasanya, anda boleh memfailkan laporan tuntutan dalam masa seminggu – bersamaan dengan 7 hari.

    Apa jadi jika anda tidak memaklumkan kepada syarikat insurans anda? Kesannya, anda perlu membayar sendiri kos pembaikan kenderaan tersebut. Jika orang lain membuat tuntutan pihak ketiga dan penanggung insurans anda tidak pernah menerima notis, anda akan bertanggungjawab secara peribadi untuk kerosakan orang lain itu. Jadi, sila ambil perhatian!

    Dokumentasi yang tidak lengkap

    Tuntutan insurans akan ditolak jika anda tidak memberikan maklumat yang tepat

    Setiap tuntutan insurans kenderaan memerlukan anda untuk mengemukakan dokumen yang lengkap dan benar sahaja. Jika anda membuat tuntutan tanpa menyerahkan semua dokumen sokongan yang diperlukan, tuntutan anda pastinya akan ditolak. Anda memerlukan bukti bahawa anda tidak bersalah jika anda mahu insurans anda membuat tuntutan yang memihak kepada anda.

    Apakah jenis bukti yang perlu anda kemukakan? Adalah penting untuk anda mengambil gambar lokasi, kerosakan kenderaan, dan nombor plat semua kenderaan yang terlibat.

    Selain daripada itu, berikut adalah dokumen yang diperlukan:

    • Borang tuntutan yang lengkap
    • Salinan asal laporan polis
    • Kad pengenalan dan lesen memandu pemandu dan pemegang polisi (salinan sahaja)
    • Salinan sijil pemilikan kenderaan
    • Gambar tempat kejadian kemalangan dan kerosakan pada kenderaan
    • Surat polis memaklumkan pihak mana yang dikenakan kompaun atas kesalahan lalu lintas jalan raya

    Lari dari tempat kejadian

    Anda panik apabila terlibat dalam kemalangan? Keadaan ini adalah normal untuk sesiapa pun. Namun, jangan sesekali jadikan ia alasan untuk anda lari dari tempat kejadian!

    Anda tidak boleh bergerak mahupun lari dari tempat kejadian kemalangan berlaku. Sebaliknya, tindakan terbaik yang boleh anda lakukan adalah mengambil gambar tempat kejadian sebagai bukti untuk menyokong tuntutan anda dan mengelakkan tuntutan anda daripada ditolak.

    Bukti itu juga akan membantu anda membuktikan bahawa anda tidak bersalah dalam siasatan polis. Jika perlu, dapatkan kenyataan atau keterangan daripada saksi berhampiran tempat kemalangan. Ini seterusnya akan membantu anda mengesahkan tuntutan anda.

    Semoga bermanfaat!


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: