Skip to content
Home » 5 Ciri Pemandu yang Baik di Atas Jalan Raya

5 Ciri Pemandu yang Baik di Atas Jalan Raya

    Ciri pemandu yang baik di atas jalan raya

    Memandu di jalan raya sememangnya agak memenatkan lebih-lebih lagi jika berdepan dengan situasi yang mendukacitakan. Pelbagai kerenah pengguna jalan raya terpaksa ditelan sehingga kadang-kala memberi tekanan kepada emosi dan secara tidak langsung memberi kesan kepada pemanduan kita.

    Meskipun sudah memandu dengan baik, namun hari kita mungkin akan menjadi ‘malang’ dan menyedihkan apabila perlu berdepan dengan pemandu lain yang tidak bertanggungjawab. 

    Justeru untuk artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda 5 ciri untuk menjadi seorang pemandu yang baik supaya anda tidak menyusahkan pengguna jalan raya lain.

    Ciri pemandu yang baik

    Beri signal ketika ingin menukar lorong

    Nyalakan signal ketika ingin tukar lorong atau membelok

    Nampak remeh dan mudah sahaja, namun masih ramai pemandu yang dilihat tidak gemar menggunakan lampu signal ketika ingin menukar lorong atau membelok. Situasi seperti ini banyak dirakam dan dikongsikan di laman media sosial. Kegagalan memberi lampu signal ketika menukar lorong atau membelok boleh menyebabkan kenderaan lain khususnya motosikal terlibat dalam kemalangan.

    Sebagai contoh dalam kejadian pada Ogos tahun lalu, seorang penunggang motosikal terbabas sebelum melanggar sebuah kereta apabila pemandu van gagal memberikan lampu signal ketika ingin membelok. Kejadian yang tular di media sosial itu mengundang kemarahan orang ramai atas sikap pemandu van terbabit.  

    Jadi untuk memastikan anda tidak menyusahkan pengguna jalan raya lain dan menjadi seorang pemandu yang berhemah, sila pastikan lampu signal kereta anda dinyalakan sebelum ingin menukar lorong atau membelok.

    Memandu ikut kelajuan yang ditetapkan

    Pandu ikut had kelajuan

    Jangan hanya kerana ingin cepat sampai ke destinasi, anda sampai melupakan peraturan jalan raya. Sila pastikan kenderaan anda dipandu mengikut had kelajuan yang ditetapkan. Sebagai contoh, jika berada di kawasan sekolah, sila pastikan anda tidak memandu lebih daripada 30km/j. Ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku seperti contoh kemalangan.

    Biar lambat, asalkan ia tidak membahayakan nyawa anda, penumpang dan pengguna jalan raya lain. Ketahuilah bahawa sudah terlalu banyak kes kemalangan maut berlaku akibat sikap mementingkan diri di mana pemandu membawa kenderaan melebihi had laju.

    Tidak memotong 

    Jangan memotong di kawasan berkembar

    Bagi memastikan anda memiliki ciri pemandu yang baik di atas jalan raya, sila pastikan anda tidak memotong di kawasan yang dilarang. Jika anda didapati memotong barisan, anda bukan sahaja boleh disaman sebanyak RM300, malah turut berisiko menyebabkan kemalangan dengan kenderaan lain.

    Sebagai pemandu, anda juga mesti sudah tahu bahawa tindakan memotong di garisan berkembar atau ‘double line’ merupakan suatu kesalahan. Contoh kawasan yang mempunyai garisan berkembar adalah seperti jalan selekoh, jalan curam, jalan sempit, jalan yang mempunyai terowong, kawasan persimpangan serta kawasan sekolah. 

    Jadi, sila pastikan anda faham dan ikut peraturan agar tidak menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

    Tidak buka lampu tinggi ketika cuaca gelap

    Jangan nyalakan lampu tinggi

    Prihatinlah terhadap keselesaan pemandu lain. Anda sama sekali tidak digalakkan malah dilarang untuk membuka lampu high beam ketika memandu dalam cuaca gelap (kecuali jika tiada kenderaan lain langsung).

    Jika anda menyalakan lampu tinggi ini, ia boleh membuatkan penglihatan pemandu lain di arah bertentangan atau di hadapan anda menjadi silau. Risikonya, ia mungkin boleh mendorong kepada berlakunya kemalangan.

    Jangan bersikap mementingkan diri sendiri ya. Hanya nyalakan lampu ini jika tiada kenderaan lain di jalan itu. 

    Mempunyai roadtax dan insurans yang sah

    Kenderaan sentiasa dilindungi insurans dan roadtax

    Untuk memiliki ciri pemandu yang baik di atas jalan raya, sila pastikan kenderaan yang dipandu oleh anda mempunyai roadtax dan perlindungan insurans yang sah.

    Ia bukan sahaja bagi mengelakkan anda daripada dikenakan saman oleh pihak berkuasa, malah ia juga bagi memastikan kenderaan anda dilindungi insurans sekiranya berlaku sesuatu seperti kemalangan.

    Sehingga kini, masih ramai pemilik kenderaan yang mengambil ringan akan perkara ini walaupun sudah diketahui ia diwajibkan. Jangan hanya kononnya ingin berjimat, pada akhirnya anda terpaksa menanggung kerugian. Anda bukan sahaja disaman, bahkan terpaksa menanggung kerugian bagi membaiki kerosakan pada kereta akibat kemalangan menggunakan wang sendiri.

    Ikut peraturan jalan raya, jadi pemandu bertanggungjawab

    Sebenarnya, setiap daripada kita boleh menjadi seorang pemandu yang baik, berhemah dan bertanggungjawab. Caranya adalah dengan mengikuti setiap peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

    Buang sikap mementingkan diri sendiri ketika memandu. Ia sangat penting bagi menjamin keselamatan anda sebagai pemandu dan pengguna jalan raya lain. Kemalangan jalan raya juga mungkin boleh dielakkan sekiranya ciri-ciri di atas diikuti oleh anda ketika memandu.
    Ingat, pandu selamat nyawa anda selamat!


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: