Setiap komponen yang ada di dalam kereta diwujudkan bersebab, dan ia termasuklah hon. Secara dasarnya, hon kereta digunakan sebagai satu bentuk sistem amaran ketika kenderaan sedang bergerak.
Sesetengah pemandu menggunakan hon mereka untuk berkomunikasi dan memberi amaran kepada pemandu lain tentang sesuatu bahaya. Walau bagaimanapun, kadangkala hon tidak sesuai digunakan kerana ia boleh mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemandu di jalan raya. Segelintir individu mungkin menganggap ia sebagai tidak wajar serta perbuatan yang kasar untuk dilakukan.
Namun untuk pengetahuan anda, hon perlu digunakan dalam sesetengah keadaan bagi memastikan pemanduan yang lebih selamat. Jika anda mengikuti panduan ini, anda mungkin boleh kekal dalam pemanduan yang selamat dan tenang, dan seterusnya mengelakkan insiden yang tidak menyenangkan ketika di jalan raya.
Bilakah waktu yang sesuai untuk menggunakan hon kereta?
Untuk memberi amaran bahaya kepada pemandu lain
Dengan membunyikan hon kereta anda, anda boleh memaklumkan pemandu lain tentang kehadiran anda dan seterusnya mengelakkan kemalangan. Berikut merupakan situasi yang wajar untuk anda menggunakan hon kereta anda:
- Pemandu lain tiba-tiba termasuk ke lorong anda
- Pemandu lain terlupa untuk memeriksa titik buta mereka
Satu bunyi hon yang kuat sudah memadai untuk menarik perhatian mereka dan mengarahkan mereka kembali ke kedudukan yang sepatutnya.
Bagi memberi amaran kepada pejalan kaki
Hon bukan sahaja boleh digunakan jika pemandu berada dalam keadaan bahaya.
Malah, anda boleh membunyikannya jika mendapati ada pejalan kaki yang melintas atau menggunakan jalan raya secara merbahaya. Contohnya, mereka ingin berjalan di hadapan kenderaan anda (atau kenderaan orang lain). Dengan membunyikan hon anda, ia mungkin boleh menyelamatkan nyawa mereka.
Bagaimanapun, pastikan anda tidak membunyikan hon dengan terlalu kuat ya.
Untuk memberi amaran kepada kereta lain tentang isyarat lalu lintas
Anda boleh mengeluarkan bunyi bip (pendek sahaja) apabila kereta di hadapan anda tidak memberikan perhatian kepada lampu isyarat. Contohnya, kenderaan tersebut masih tidak bergerak walaupun lampu isyarat sudah bertukar hijau.
Walau bagaimanapun, jangan membunyikan hon dengan segera kerana ia akan kelihatan tidak baik bagi pihak anda. Sabar, pemandu berkenaan mungkin baru menyedari pertukaran lampu isyarat tersebut dan sudah bersedia untuk bergerak.
Sila amalkan sikap bertimbang rasa dan tunggu dahulu beberapa saat sebelum membunyikan hon kereta anda.
Bilakah anda harus mengelak daripada menggunakan hon kereta?
Untuk melepaskan kemarahan
Sila elak menggunakan hon kereta sebagai medium untuk anda melepaskan rasa marah di jalan raya.
Jangan gunakan hon kereta melainkan pemandu lain membahayakan nyawa anda. Anda perlu tahu bahawa banyak kemalangan yang berkaitan dengan ‘pergaduhan di jalan raya’ selalunya bermula dengan tindakan membunyikan hon yang tidak kena pada waktunya. Keselamatan anda harus sentiasa menjadi keutamaan nombor satu ketika di jalan raya.
Untuk menyapa rakan anda
Ternampak kenderaan kenalan anda ketika sedang memandu? Ya, biarpun anda mungkin sedikit teruja, namun anda tidak perlulah sampai membunyikan hon kereta anda itu. Ini kerana, anda hanya akan menarik perhatian pemandu lain dan boleh menyebabkan salah faham.
Pemandu di sekeliling anda mungkin akan memperlahan atau mempercepatkan kenderaan mereka sebagai tindak balas kepada bunyi hon anda. Ia boleh menyebabkan kekeliruan dan bahkan kemalangan khususnya dalam keadaan trafik yang laju.
Gunakan hon kereta anda dengan betul
Bunyi hon kereta adalah untuk memastikan semua orang kekal selamat.
Pastikan bunyinya cukup untuk didengari oleh mereka yang berhampiran dengan kereta anda apabila anda menggunakan hon. Gunakannya dengan berhati-hati dan pada waktu yang tepat sahaja.
Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.
Baca juga: