Skip to content
Home » Banjir di Kelantan dan Terengganu, Jumlah Mangsa Mencecah 18,085 Orang

Banjir di Kelantan dan Terengganu, Jumlah Mangsa Mencecah 18,085 Orang

    Banjir di Kelantan dan Terengganu 2022

    Hujan berlarutan yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Terengganu, sejak beberapa hari lepas telah mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di negeri-negeri tersebut. Menurut laporan Astro Awani, hujan lebat di negeri-negeri berkenaan telah bermula sejak 23 Februari lepas. 

    Berdasarkan kemaskini daripada portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 8.00 pagi 28 Februari, sebanyak 229 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka dengan menempatkan seramai 18,085 mangsa.

    Bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara meningkat

    Menurut analisis semasa JKM, bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara meningkat. 

    Di Kelantan, sebanyak 70 pusat pemindahan sementara telah dibuka di daerah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan yang terkini, Pasir Puteh. Mengikut laporan JKM, daerah yang paling terjejas di Kelantan ialah Pasir Mas yang mencatatkan sejumlah 4617 mangsa.

    Sementara itu, di Terengganu, sebanyak 159 pusat pemindahan sementara telah dibuka di daerah Setiu, Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Dungun. Daerah yang paling terjejas di negeri tersebut ialah Kemaman dengan 3500 mangsa.

    Berdasarkan laporan JKM, kapasiti pengisian secara purata bagi setiap pusat pemindahan sementara adalah pada tahap 50%. Selain itu, terdapat juga sebilangan mangsa yang telah pulang ke rumah masing-masing khususnya di sekitar Kemaman dan Hulu Terengganu.

    JKM turut melaporkan bahawa keadaan keseluruhan masih terkawal. Makanan, minuman serta keperluan alatan adalah mencukupi dan telah diedarkan kepada mangsa. 

    Status banjir di Kelantan dan Terengganu setakat 28 Februari 2022, jam 8.00 pagi
    Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

    Persediaan sebelum, semasa dan selepas banjir

    Bencana alam seperti banjir boleh berlaku dalam sekelip mata. Walaupun kawasan anda belum pernah dinaiki banjir, seelok-eloknya, buat persediaan sekiranya berlaku kejadian banjir di kawasan anda. 

    Kami kongsikan di sini laporan Astro Awani yang memuatkan langkah-langkah persediaan sebelum, semasa dan selepas banjir yang disediakan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

    Sebelum Banjir

    Di rumah

    • Dapatkan maklumat tentang banjir di kawasan anda.
    • Peka terhadap sistem amaran banjir dan hebahan semasa melalui radio, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
    • Periksa lubang air seperti longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan lubang atau longkang tertutup rapat supaya tidak dapat dilalui air banjir.
    • Kenal pasti lokasi Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
    • Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
    • Pastikan setiap ahli keluarga anda mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil semasa kecemasan di rumah.

    Jika ingin melancong ke kawasan berpotensi banjir

    • Bagi yang mempunyai bayi, bawa kelengkapan bayi.
    • Simpan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan.
    • Pesakit kronik perlu membawa bekalan ubatan mencukupi dan memantau jadual rawatan.
    • Dapatkan maklumat semasa mengenai taburan hujan seperti melalui laman web Jabatan Meteorologi, Portal Bencana atau Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

    Semasa Banjir

    Ketika mendapati tanda-tanda awal banjir

    • Dengar pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak berkenaan.
    • Pindahkan perabot atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.
    • Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.
    • Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas.
    • Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.

    Semasa pemindahan

    • Segera berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan apabila menerima arahan. Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana lebih mudah dan selamat.
    • Ikut laluan yang ditentukan. Laluan dekat mungkin terhalang.

    Di dalam kenderaan

    Jangan terus mengharungi kawasan banjir. Berpatah balik ke tempat yang selamat.

    Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergi ke tempat yang selamat.

    Di dalam rumah

    • Dengar pengumuman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu.
    • Bersedia dengan peralatan kecemasan.
    • Segera keluar jika diarahkan keluar dan berpindah.

    Di luar rumah

    • Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
    • Elakkan kawasan banjir. Arus deras boleh menghanyutkan anda.
    • Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
    • Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh ke dalam air.
    • Awasi kanak-kanak. Jangan biarkan mereka bermain di longkang, sungai atau lombong.
    • Jangan minum air banjir.

    Selepas Banjir

    • Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak berkuasa. Jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan disahkan selamat.
    • Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya, orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa.
    • Periksa rumah anda. Lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan.
    • Jangan terus memasuki rumah yang masih dibanjiri air.

    Semasa memasuki bangunan

    • Pakai kasut.
    • Periksa kerosakan dinding, lantai, pintu dan tingkap.
    • Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang berbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
    • Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.
    • Periksa ancaman bahaya
    • Periksa item-item berikut:
      • Paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
      • Wayar elektrik yang terendam di dalam air.
      • Peralatan elektrik yang tenggelam.
      • Bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir seperti minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya.
    • Buang makanan yang terendam banjir termasuk makanan dalam tin.
    • Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.
    • Laporkan sebarang kerosakan kemudahan awam kepada pihak berkuasa.

    Sentiasa berwaspada, ikuti langkah-langkah keselamatan ketika banjir

    Diharapkan banjir di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri lain akan surut secepatnya. Diharapkan juga mangsa-mangsa banjir diberikan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi musibah ini.

    Sentiasa berwaspada dan ikuti langkah-langkah keselamatan sebelum, semasa dan selepas banjir seperti yang disyorkan oleh pihak berkuasa.

    Di samping itu, sekiranya anda mempunyai kenderaan, lindungi kenderaan anda dengan mendapatkan perlindungan tambahan peril khas (bencana alam). Renew insurans kereta online dan tambahkan dengan mudah perlindungan peril khas dalam polisi insurans kereta 1st party anda di Bjak untuk perlindungan yang lebih menyeluruh.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga:

    Tags: