Hasrat seorang jurulatih jualan sebuah syarikat penapis air untuk memiliki sebuah kereta mewah Mercedes A45 musnah apabila wangnya sebanyak RM39,000 dilesapkan oleh seorang ‘penjual’ kereta dalam talian.
Mangsa yang berusia 43 tahun itu melaporkan kejadian tersebut di Balai Polis Daerah Kuantan pada 12 Februari lepas setelah kereta yang dibeli gagal diserahkan seperti dijanjikan.
Berdasarkan laporan Sinar Harian, Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata kejadian bermula setelah mangsa melihat sebuah iklan jualan kereta lelong melalui aplikasi Telegram. Mangsa kemudiannya menghubungi nombor yang tertera ketika berada di kediamannya di Indera Mahkota pada 7 Februari lalu.
‘Penjual’ memberikan kereta Toyota Wish kepada mangsa untuk kegunaan sementara
Setelah mangsa menyatakan tujuannya untuk membeli kereta Mercedes yang diiklankan, suspek dikenali sebagai ‘Encik Fauzi’ yang mendakwa dirinya sebagai staf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya menghantar sebuah kereta Toyota Wish untuk kegunaan sementara mangsa sebelum kereta Mercedes yang dibeli dihantarkan ke rumahnya.
Mangsa kemudiannya diminta untuk segera membuat pembayaran sebanyak RM39,000 melalui tiga transaksi secara dalam talian.
“Suspek kemudian meminta supaya bayaran segera dibuat sebelum mangsa memindahkan wang sebanyak RM39,000 melalui tiga transaksi secara dalam talian menerusi nombor akaun bank diberikan,” kata Mohd Wazir kepada media.
Setelah mangsa selesai membuat pembayaran, mangsa dimaklumkan bahawa kereta Mercedes yang dibelinya akan tiba di Kuantan dalam masa dua hari dari tarikh pembayaran.
Namun, Mohd Wazir berkata mangsa kemudiannya mendapati kereta Toyota Wish yang diberikan suspek untuk kegunaan sementara hilang setelah kenderaan tersebut diparkir di hadapan rumahnya.
“Mangsa beberapa kali cuba menghubungi suspek tetapi gagal dan mengesyaki kenderaan itu telah diambil oleh suspek.
“Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis pada petang Sabtu,” jelas Mohd Wazir.
Mohd Wazir berkata suspek memperdaya mangsa dalam urusan pembelian kereta dalam talian menerusi aplikasi Telegram.
Tindakan suspek yang memberikan sebuah kenderaan lain kepada mangsa untuk kegunaan sementara adalah bertujuan untuk meyakinkan mangsa.
“Tindakan itu sebenarnya mendorong mangsa untuk membuat pembayaran. Setelah pemindahan wang dibuat, kenderaan tersebut akan diambil semula dan kereta yang dibeli pula tidak diterima,” kata Mohd Wazir.
Pihak polis telah mengambil rakaman percakapan mangsa dan sedang menyiasat kes penipuan berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Berhati-hati dengan ‘penjual’ kereta dalam talian
Dalam pada itu, Bjak ingin mengingatkan anda untuk cakna tentang kes penipuan dalam talian dan mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak menjadi mangsa.
Sebelum ini, Bjak telah kongsikan taktik yang digunakan scammer penjual kereta terpakai seperti yang dikongsikan oleh Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police. Anda boleh baca artikel kami yang lepas tentang scam penjualan kereta terpakai untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Di samping itu, sekiranya anda ingin membeli sebuah kereta terpakai, tinjau dan bandingkan dahulu harga kenderaan yang diiklankan. Sekiranya harga yang ditawarkan tidak masuk akal, misalnya, 50% lebih murah daripada harga pasaran, kenderaan tersebut mungkin mempunyai masalah atau tidak wujud sama sekali!
Sebelum membeli kereta, anda juga dinasihatkan untuk mengenal pasti identiti serta bisnes penjual. Sama ada anda ingin membeli kereta melalui penjual kereta dalam talian atau secara fizikal, pastikan anda membeli daripada penjual yang sah.
Selain itu, sebelum membuat sebarang transaksi, anda amat digalakkan untuk menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon penjual melalui laman web https://semakmule.rmp.gov.my/. Hal ini untuk mengenal pasti sama ada akaun bank atau nombor telefon berkenaan pernah terlibat dalam sebarang kes penipuan.
Sekiranya anda mempunyai pertanyaan lanjut berkaitan penipuan dalam talian, anda boleh terus menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di talian 013-211 1222 atau CCID Scam Response Center di 03-2610 1559/1599.
Menjadi pilihan lebih 3 juta pengguna, Bjak ialah salah sebuah platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menawarkan 15 jenama insurans. Dapatkan sebut harga insurans kereta percuma di Bjak dan renew insurans kereta dan roadtax secara online dalam hanya 5 minit.