Skip to content
Home » Amaran! Elak Jadi Mangsa Scam ‘Penjual’ Kereta Terpakai

Amaran! Elak Jadi Mangsa Scam ‘Penjual’ Kereta Terpakai

    Kes penipuan jual beli kereta terpakai

    Seorang pengurus kilang telah ditipu sebanyak RM91,250 oleh seorang scammer dalam urusan pembelian sebuah kereta terpakai. Menurut laporan berita Sinar Harian, pengurus kilang yang berusia 50 tahun tersebut tertarik untuk membeli kereta Audi A4 setelah melihat iklan di Facebook yang menjual kereta tersebut pada harga RM20,000.

    Setelah menyelesaikan transaksi berjumlah RM20,000 ke pelbagai akaun, mangsa berkenaan diminta membuat bayaran tambahan untuk cukai kastam dan caj-caj lain. Mangsa akhirnya membuat laporan polis setelah membuat 24 transaksi antara 17 Ogos hingga 27 November lepas. Jumlah keseluruhan mencecah RM91,250, jauh berbeza daripada harga yang ditawarkan iaitu RM20,000.

    Berdasarkan kes yang berlaku di atas, kami kongsikan di sini maklumat penting tentang scam penjualan kereta terpakai serta cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan jenayah berkenaan.

    Kes penipuan jual beli kenderaan tidak wujud meningkat sebanyak 94.5%

    Apa yang telah berlaku kepada pengurus kilang tersebut bukanlah suatu kes terpencil. Menurut laporan Harian Metro, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia telah merekodkan sebanyak 461 kes melibatkan penipuan jual beli kenderaan tidak wujud antara Januari hingga Mei 2021.

    Menurut Pengarah JSJK, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, jumlah kes yang direkodkan meningkat sebanyak 94.5% berbanding kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

    Scam kereta terpakai online

    Taktik scammer

    Pengarah JSJK menyatakan scammer yang kononnya menjual kereta terpakai menawarkan kereta-kereta import terpakai dari Singapura, Thailand atau Langkawi. Untuk menarik perhatian mangsa, mereka menggunakan media sosial untuk mengiklankan kenderaan yang tidak wujud pada harga yang lebih rendah daripada nilai pasaran.

    Selain daripada red flag yang disebutkan di atas, ini adalah beberapa taktik yang biasa digunakan oleh scammer di media sosial seperti yang dikongsikan melalui hantaran Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police:

    1. Scammer akan meletakkan nombor telefon mereka pada iklan di media sosial
    2. Pembeli hanya boleh menghubungi ‘penjual’ melalui WhatsApp
    3. Harga-harga kenderaan yang diiklankan adalah jauh lebih murah atau rendah daripada harga pasaran. Alasan yang biasa digunakan ialah kenderaan tersebut akan dilupuskan
    4. Pembeli diminta membuat pelbagai pembayaran termasuk untuk insurans kenderaan, cukai kastam, cukai jalan, caj penghantaran dan lain-lain yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit
    5. Mangsa dikehendaki membuat pembayaran ke akaun peribadi (akaun keldai atau mule account)
    6. Mangsa tidak menerima kenderaan yang dibeli seperti yang dijanjikan setelah berurusan beberapa bulan
    Taktik scam penjual kereta terpakai di media sosial

    Pastikan identiti dan bisnes penjual

    Dalam temubual bersama Harian Metro, Pengarah JSJK, Datuk Mohd Kamarudin Md Din mengingatkan orang awam untuk meninjau dan membandingkan harga kenderaan terpakai dalam pasaran sebelum membuat sebarang pembelian.

    Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang awam untuk berkunjung ke pusat jualan kenderaan terpakai sebelum membuat pembelian. Hal ini supaya pembeli dapat meninjau dan memeriksa kenderaan yang hendak dibeli serta berurusan secara langsung dengan penjual yang sah.

    Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan iklan-iklan menjual kenderaan terpakai pada harga yang terlalu rendah. Antara alasan scammer ialah pengecualian cukai kastam, kereta rampasan pihak berkuasa serta alasan lain yang tidak dapat disahkan kesahihannya.

    Justeru, ujar beliau, orang ramai disarankan untuk menyimpan rekod perbualan dan transaksi pembayaran sebagai bukti dan untuk memastikan urusan jual beli dilakukan melalui kaedah yang diperakui.

    Sebelum membuat sebarang transaksi, anda amat digalakkan untuk menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon penjual melalui laman web https://semakmule.rmp.gov.my/. Hal ini untuk mengenalpasti sama ada akaun bank atau nombor telefon berkenaan pernah terlibat dalam sebarang kes penipuan.

    Anda boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil untuk pertanyaan lanjut di talian 013-211 1222. Anda juga boleh menghubungi mereka melalui CCID Scam Response Center di 03-2610 1559/1599.

    Berkunjung ke pusat jualan kereta terpakai untuk memeriksa kereta sebelum beli

    Beli kereta daripada penjual yang sah

    Ingat, sentiasa berwaspada apabila hendak membuat sebarang transaksi pembayaran sama ada secara online atau offline. Sekiranya anda ingin membeli kereta terpakai, pastikan anda hanya membeli daripada penjual yang sah. Ini untuk mengelakkan anda daripada menjadi mangsa scam penjualan kereta terpakai. Ambil maklum tentang taktik-taktik yang digunakan oleh scammer dan pastikan identiti serta bisnes penjual. Untuk lebih membantu anda, ikuti tips-tips membeli kereta terpakai seperti yang telah kami kongsikan dalam artikel yang lepas.

    Selain itu, seperti membeli kereta, anda juga mesti membeli insurans kereta melalui platform yang sah dan dipercayai seperti Bjak iaitu sebuah syarikat berstatus MSC perdana yang dipercayai oleh lebih 6 juta pengguna. Kaedah-kaedah pembayaran yang disediakan adalah selamat, jadi anda boleh renew insurans secara online di Bjak dengan senang hati. Layari Bjak.my untuk sebut harga insurans kereta percuma.