Skip to content
Home » Guna Telefon Bimbit Ketika Memandu BERISIKO 23 KALI GANDA Terbabit Kemalangan!

Guna Telefon Bimbit Ketika Memandu BERISIKO 23 KALI GANDA Terbabit Kemalangan!

    Guna telefon bimbit ketika memandu

    Anda pasti sudah tahu dan sedar bahawa penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan antara penyumbang utama berlakunya kemalangan jalan raya.

    Walaupun perkara itu sudah sedia maklum, masih ramai dalam kalangan pemandu yang dilihat tidak mengambil peduli dan terus melakukan kesalahan yang sama berulang kali, tanpa mempedulikan keselamatan sendiri dan orang lain. 

    Bahkan tahukah anda, seseorang individu yang menggunakan telefon bimbit berisiko 23 kali ganda mengalami kemalangan berbanding yang tidak menggunakannya.

    Info JPJ Wilayah Persekutuan

    Itu merupakan info terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di laman Facebook rasminya baru-baru ini mengenai risiko atau bahaya penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

    Menurut JPJ juga, tindakan menggunakan telefon bimbit ketika memandu turut boleh meningkatkan risiko kemalangan dasyat sehingga 2300% dalam kalangan pemandu muda dan warga emas. 

    Bahkan apa yang lebih membimbangkan, perilaku ini juga sebenarnya 6 kali ganda lebih berisiko mengalami kemalangan berbanding pemandu mabuk.

    Hukuman bagi kesalahan guna telefon bimbit ketika memandu

    Untuk makluman anda, kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu boleh diletakkan di bawah kaedah 17A, LN166/59, dan kesalahan tersebut telah dikategorikan sebagai saman yang tidak boleh dikompaunkan dan kes ini perlu diselesaikan di mahkamah.

    Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda sehingga mencecah RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan boleh dikenakan terhadap pelaku.

    Untuk kesalahan sabitan kali kedua, hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bakal dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melakukannya. 

    Mengapa guna telefon bimbit ketika memandu merbahaya?

    Menggunakan telefon bimbit semasa memandu

    Mungkin nampak remeh pada anda, namun tindakan menggunakan telefon bimbit ketika sedang memandu sememangnya perlu dielakkan kerana ia mengundang bahaya bukan sahaja untuk diri sendiri, bahkan juga kepada pengguna jalan raya lain.

    Secara amnya, penggunaan telefon bimbit semasa pemanduan boleh menyebabkan pemandu akan mudah untuk mengalami 4 gangguan ini iaitu:

    • Hilang tumpuan semasa pemanduan
    • Tiada kawalan di stereng pada kenderaan
    • Gangguan emosi
    • Tindakbalas semasa kemalangan akan terganggu

    Disebabkan gangguan-gangguan inilah, pemandu yang menggunakan telefon bimbit berisiko besar untuk terbabit dalam kemalangan jalan raya.

    Apa perlu anda buat untuk kekal selamat di jalan raya?

    Selain mengelak daripada bermain telefon bimbit ketika memandu, terdapat beberapa tips lain yang boleh digunakan bagi mengurangkan risiko anda terbabit dalam kemalangan jalan raya. Antaranya adalah:

    • Menjaga jarak yang selamat di antara kenderaan dengan mengamalkan peraturan 3 saat.
    • Menggunakan lampu signal ketika ingin membelok atau menukar lorong.
    • Dilarang sesuka hati memotong barisan, terutamanya di garisan berkembar kerana ia adalah kawasan yang merbahaya dan dilarang memotong. 
    • Tidak memandu melawan arus, yang kini semakin kerap berlaku tanpa mengira waktu. 
    • Tidak memandu ketika mabuk.
    • Berhenti apabila lampu isyarat merah, dan elakkan membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan.
    • Berhati-hati dengan kehadiran motosikal dan menjaga blind spot kenderaan anda.
    • Memandu mengikut had kelajuan yang ditetapkan tidak kiralah di lebuh raya mahupun bukan.
    • Jaga adab dengan penggunaan jalan raya lain, hanya bunyikan hon apabila perlu sahaja.
    • Pastikan lampu brek, wiper dan signal kenderaan berfungsi dengan sebaiknya.

    Ikut peraturan jalan raya

    Jalan raya merupakan tempat atau kawasan yang terdedah dengan risiko kemalangan. Sebagai pengguna yang bertanggungjawab, elakkanlah melanggar peraturan jalan raya termasuklah dengan tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Ia bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa anda, bahkan juga orang lain.

    Ingat, jangan mementingkan diri sendiri. Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan sila ikutinya setiap masa.


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: