Skip to content
Home » Jangan Terpedaya dengan Sindiket Lesen Terbang

Jangan Terpedaya dengan Sindiket Lesen Terbang

    Sindiket lesen terbang di Malaysia

    Pada 31 Januari lepas, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan satu akaun Instagram yang secara terang-terangan mempromosikan perkhidmatan ‘lesen terbang’. 

    Akaun Instagram bernama ‘iteacherconsultingofficial’ tersebut menawarkan beberapa perkhidmatan termasuk penjualan lesen memandu. Lesen memandu yang ditawarkan mampu disiapkan dalam tempoh lima hari siap direkodkan dalam sistem JPJ, yang membolehkan pembayaran dibuat setelah lesen terbang dikeluarkan.

    Merujuk kepada hantaran JPJ di Facebook, pihaknya memandang serius sindiket lesen terbang tersebut dan akan melakukan siasatan lanjut termasuk melaporkan kegiatan berkenaan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    Contoh iklan pakej lesen terbang
    Contoh iklan pakej lesen terbang

    Apakah yang dimaksudkan dengan lesen terbang?

    ‘Lesen terbang’ atau nama lainnya ‘lesen kopi-o’ merujuk kepada lesen memandu yang diperoleh secara tidak sah atau haram dengan membayar pihak tertentu, tanpa perlu menjalani sebarang kursus atau menduduki ujian bertulis dan praktikal.

    Untuk pengetahuan anda, kegiatan penjualan lesen terbang bukanlah isu baharu. Berdasarkan laporan Berita Harian pada 13 September 2018, Kementerian Pengangkutan ketika itu mengesyaki pengeluaran kira-kira 14,000 lesen terbang dari 2016 hingga 2018.

    Berdasarkan laporan BERNAMA pada 1 Februari lalu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata apabila terdapat kes lesen terbang, pihak JPJ akan menyelesaikannya termasuk dengan melakukan penyamaran.

    Selain menyamar sebagai pembeli lesen terbang, pihak JPJ juga melakukan semakan dengan Cyber Security Malaysia (CSM) untuk mengenal pasti domain yang digunakan oleh ahli sindiket berkenaan apabila melibatkan penipuan atas talian atau online.

    Katakan tidak kepada lesen terbang, dapatkan lesen memandu secara sah

    Ikut prosedur yang sah untuk mendapatkan lesen memandu
    Ujian mendaki bukit di litar institut memandu

    Memetik kenyataan Zailani, “Jabatan kami (JPJ) ingin menegaskan, tidak ada satu situasi pun mana-mana orang di negara kita boleh mendapatkan lesen melalui bayaran kepada pihak-pihak berkenaan.”

    Oleh itu, dapatkanlah lesen memandu dengan mengikut prosedur yang sah.

    Untuk anda yang ingin mendapatkan lesen kereta atau motosikal, Bjak kongsikan di sini langkah-langkahnya:

    Daftar kursus memandu di institut memandu

    Pertama, hubungi sekolah atau institut memandu pilihan anda. Pihak institut memandu tersebut akan menguruskan pendaftaran kursus untuk anda mendapatkan lesen memandu.

    Anda boleh semak senarai institut memandu yang berdaftar di seluruh Malaysia mengikut negeri di laman web JPJ.

    Hadiri Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01)

    Kedua, anda wajib menghadiri Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) yang diadakan selama 6 jam dan biasanya dilakukan pada hujung minggu.

    Anda digalakkan untuk berpakaian kemas dan sopan semasa mengikuti kursus ini.

    Lengkapkan Ujian Komputer Lesen Memandu

    Setelah menghadiri kursus KPP01, anda perlu menduduki Ujian Teori Undang-undang Komputer selama 45 minit.

    Markah lulus minimum untuk ujian ini ialah sebanyak 42/50. Jika gagal, anda perlu menduduki ujian ulangan. 

    Anda boleh layari ujiankpp.com untuk melihat topik-topik ujian serta membuat simulasi sebagai persediaan.

    Dapatkan lesen L setelah lulus ujian komputer

    Anda akan diberikan Lesen L (Learner Driving License atau Lesen Belajar Memandu) dalam tempoh seminggu setelah lulus ujian komputer.

    Hadiri Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP02)

    Kursus ini merujuk kepada latihan praktikal di litar selama lapan jam.

    Bagi mendapatkan lesen motosikal, anda perlu menjalani latihan praktikal seperti membuat pusingan 8, laluan titi, halangan kon, serta brek kecemasan.

    Bagi lesen kereta pula, anda perlu menjalani latihan praktikal seperti mendaki bukit, side parking atau parking sisi dan ujian tiga penjuru.

    Jalani Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP03)

    Setelah selesai latihan memandu di litar, anda perlu menjalani Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP03).

    Kursus ini merujuk kepada latihan memandu di jalan raya di bawah pengawasan jurulatih berpengalaman di institut memandu selama lapan jam. Borang belajar memandu (SM4) akan dikeluarkan setelah anda berjaya menamatkan latihan.

    Lakukan ujian kelayakan QTI

    Anda perlu menduduki ujian kelayakan atau qualifying test QTI sebelum menjalani ujian praktikal JPJ. Ujian ini akan dikendalikan oleh jurulatih bertauliah di institut memandu.

    Sekiranya anda lulus, anda akan dibenarkan untuk menduduki ujian terakhir iaitu ujian praktikal JPJ.

    Lakukan ujian praktikal JPJ

    Setelah lulus ujian QTI, anda akan menduduki ujian praktikal JPJ pada hari yang ditetapkan mengikut kekosongan di institut memandu.

    Sekiranya anda lulus ujian praktikal JPJ, anda akan layak mendapat lesen memandu P (Probationary Driving License atau Lesen Memandu Percubaan). Tetapi, jika anda gagal, anda perlu menduduki ujian ulangan.

    Harga lesen memandu (motosikal dan kereta)

    Untuk pengetahuan anda, harga dan kos bagi mendapatkan lesen memandu berbeza mengikut negeri dan lokasi institut memandu. 

    Berita baik buat anda, Jawatankuasa Perlesenan Institut Memandu (JKPIM) di bawah pengurusan JPJ telah menetapkan harga siling atau harga maksimum bagi yuran pembelajaran dan latihan pemanduan di institut memandu di seluruh Malaysia.

    Berikut merupakan harga anggaran lesen memandu untuk motosikal dan kereta:

    Jenis lesenKelasHarga
    MotosikalB2RM350 hingga RM450
    MotosikalBRM900 hingga RM1,100
    Kereta manualDRM1,150 hingga RM1,300
    Kereta automatikDARM1,250 hingga RM1,500
    Nota: Kadar harga lesen motosikal dan kereta di atas adalah anggaran dan perubahan harga tertakluk kepada perkhidmatan tambahan lain.

    Dapatkan lesen memandu secara sah untuk keselamatan bersama

    Tiada jalan singkat untuk berjaya. Kenyataan ini juga benar jika anda ingin mendapatkan lesen memandu.

    Undang-undang dan prosedur untuk mendapatkan lesen memandu bertujuan untuk memastikan anda layak memandu sekali gus memelihara keselamatan bersama di jalan raya.

    Jadi, tolong jauhkan diri anda daripada mendapatkan lesen dengan cara terlarang seperti lesen terbang. 

    Ingat, sekiranya anda mendapatkan lesen terbang, anda bukan sahaja berdepan dengan tindakan undang-undang, bahkan anda juga membahayakan nyawa anda dan pengguna jalan raya yang lain. 


    Bjak ialah salah sebuah platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menawarkan 15 jenama insurans. Dapatkan sebut harga insurans kereta percuma di Bjak dan renew insurans kereta dan roadtax secara online dalam hanya 5 minit.