Bayangkan anda sedang memandu sebuah kereta dengan penuh hemah. Setelah memberi signal dan ketika menukar lorong, sebuah motosikal secara tiba-tiba melanggar sisi kereta anda sehingga kemek! Hanya anda yang tahu perasaan anda ketika itu. Terkejut, marah dan sedih bercampur-baur, lebih-lebih lagi apabila anda sering dimomokkan dengan kenyataan bahawa pemandu kereta akan disalahkan apabila terlibat dalam kemalangan dengan motosikal.
Antara hujah yang dikeluarkan ialah penunggang motosikal lebih terdedah kepada bahaya. Selain itu, kebanyakan motosikal tidak dilengkapi dengan beg udara sebagai ciri keselamatan.
Persoalannya, adakah pemandu kereta akan dikira salah secara automatik apabila terlibat dalam kemalangan dengan motosikal?
Mari kita rungkai persoalan ini!
Apa yang perlu anda lakukan apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya?
Tunggu dulu. Sebelum menentukan siapa yang betul atau salah, ambil tahu apa yang perlu anda lakukan apabila kereta anda terlibat dalam kemalangan dengan motosikal:
- Lakukan penilaian segera atas kerosakan kereta anda. Segera hubungi syarikat insurans anda sekiranya kereta anda mengalami kerosakan yang teruk sehingga memerlukan perkhidmatan tunda.
- Ambil gambar kereta anda termasuk motosikal yang terlibat dan catat maklumat termasuk nombor plat dan road tax.
- Dapatkan maklumat peribadi penunggang motosikal tersebut termasuk nama penuh, nombor telefon dan jika boleh, nombor kad pengenalan.
- Bawa kereta anda ke balai polis yang berhampiran dan buat laporan dalam tempoh 24 jam.
- Bawa kereta anda ke bengkel panel insurans.
- Sediakan dan serahkan dokumen-dokumen berkenaan kepada pihak bengkel panel insurans untuk proses tuntutan. Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah termasuk:
- Laporan polis (salinan asal)
- Polisi insurans
- Kad pengenalan pemandu & pemegang polisi (salinan)
- Lesen memandu pemandu & pemegang polisi (salinan)
- Setelah semuanya selesai, pekerja bengkel akan mengambil alih proses tuntutan insurans dan pembaikan kereta.
Bagaimana jika anda didakwa bersalah walaupun anda yakin anda tidak bersalah?
Jika anda sebagai pemandu kereta didakwa bersalah tetapi anda yakin bahawa penunggang motosikal berkenaan yang bersalah melanggar kereta anda, jangan risau. Anda mempunyai pilihan untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah. Anda boleh berunding dengan syarikat insurans anda untuk menguruskan peguam atau melibatkan diri secara peribadi.
Jika kemalangan tersebut dibuktikan berpunca daripada kelalaian penunggang motosikal yang melanggar kereta anda, maka kesalahan akan jatuh atas penunggang motosikal tersebut sepenuhnya.
Sebagai contoh, anda boleh rujuk kepada kes Ali bin Saad lawan Toyibah bt Ahmad Nordin (2017) seperti yang dipetik daripada artikel AskLegal. Dalam kes tersebut, sebuah kereta dilanggar seorang penunggang motosikal dari arah belakang di atas jambatan di Alor Setar. Kedua-kedua pihak membuat laporan polis tetapi dengan versi cerita yang berbeza. Penunggang motosikal tersebut melaporkan dia melalui jalan yang lurus apabila pemandu kereta tersebut yang berada di sebelah kanan membelok ke kiri secara mengejut. Pemandu kereta itu pula melaporkan bahawa dia melalui jalan yang lurus dan memberhentikan keretanya apabila kereta di hadapannya berhenti. Ketika memberhentikan keretanya, motosikal tersebut melanggar keretanya.
Dalam kes di atas, tiada bukti yang menunjukkan bahawa pemandu kereta tersebut menukar lorong. Oleh itu, penunggang motosikal tersebut didapati bertanggungjawab sepenuhnya.
Bolehkah buat tuntutan kerosakan kereta atas insurans motosikal?
Ramai yang menyangka bahawa mereka tidak boleh membuat tuntutan kerosakan kereta atas insurans motosikal. Sebenarnya, anda boleh membuat tuntutan atas insurans motosikal tersebut. Hal ini kerana menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap kenderaan bermotor yang menggunakan jalan awam di Malaysia perlu mempunyai sekurang-kurangnya insurans pihak ketiga. Ringkasnya, insurans pihak ketiga motosikal melindungi kerosakan pada kenderaan atau harta benda pihak ketiga apabila berlaku kemalangan, dan melindungi pemegang polisi apabila bertanggungjawab atas kecederaan atau kematian pihak ketiga.
Anda boleh membuat Tuntutan Kerosakan Harta Benda Pihak Ketiga (Third Party Property Damage) atas insurans motosikal tersebut melalui syarikat insurans motosikal tersebut.
Cara membuat Tuntutan Kerosakan Harta Benda Pihak Ketiga
Berikut merupakan ringkasan cara membuat Tuntutan Kerosakan Harta Benda Pihak Ketiga:
- Hantar kereta anda ke bengkel panel insurans.
- Lantik adjuster untuk menaksir kos kerosakan kereta anda.
- Kemukakan tuntutan kepada syarikat insurans motosikal tersebut:
- Laporan polis (salinan asal)
- Kad pengenalan pemandu & pemegang polisi (salinan)
- Lesen memandu pemandu & pemegang polisi (salinan)
- Sijil pemilikan kenderaan (salinan)
- Laporan adjuster
- Bil kos pembaikan kereta anda
- Gambar kejadian kemalangan dan kerosakan pada kenderaan
- Dokumen polis yang menyatakan pihak yang dikompaun bagi kesalahan jalan raya
Pemandu kereta tidak dikira salah secara automatik apabila terlibat dalam kemalangan dengan motosikal
Berdasarkan artikel AskLegal, pemandu kereta tidak dikira salah secara automatik apabila berlaku kemalangan antara motosikal dan kereta. Menurut AskLegal, Kod Lebuhraya Malaysia, Seksyen 10, menggariskan beberapa peraturan asas di jalan seperti bersikap ihsan. Berikut merupakan terjemahan petikan daripada seksyen tersebut:
Pemandu yang berbudi bahasa akan menunjukkan pertimbangan kepada semua pengguna jalan raya yang lain sama ada pemandu, penunggang basikal atau pejalan kaki. Dia mengawal emosinya dan mematuhi peraturan lalu lintas. Anda tidak boleh membiarkan kekasaran atau kebodohan pengguna jalan raya lain menjejaskan adab, pertimbangan dan tingkah laku anda sendiri semasa memandu.
Untuk pengetahuan anda, kanun di atas boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 68, dan dirujuk di mahkamah.
Pemanduan berbahaya sehingga menyebabkan kematian
Selain itu, Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan bahawa jika seseorang pemandu memandu secara berbahaya dan tidak berhati-hati sehingga menyebabkan kematian, pemandu tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 41. Pemandu tersebut boleh disaman di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 2 tahun tetapi tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM20,000. Lesen memandu pemandu juga mungkin digantung.
Bagaimana pula jika pemanduan secara berbahaya tersebut tidak menyebabkan kematian?
Menurut AskLegal lagi, Seksyen 42 memperuntukkan undang-undang terhadap orang yang bersalah memandu secara melulu dan berbahaya, tetapi tidak menyebabkan kematian. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjarakan tidak melebihi 5 tahun, dan didenda tidak kurang daripada RM5,000, tetapi tidak melebihi RM15,000. Sabitan seterusnya akan membawa kepada hukuman penjara yang lebih lama dan denda yang lebih berat. Seksyen 43 dan 44 pula masing-masing memperuntukkan undang-undang terhadap orang yang didapati memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa, dan memandu di bawah pengaruh (dadah dan/atau alkohol).
Berdasarkan poin-poin di atas, anda dapat lihat bahawa pemandu kereta tidak dikira salah secara automatik apabila terlibat dalam kemalangan dengan motosikal. Pihak mahkamah tidak akan terus memihak kepada penunggang motosikal hanya kerana jenis kenderaan yang digunakan. Sebaliknya, pihak mahkamah akan meneliti semua bukti yang ada dalam menentukan pihak yang bersalah.
Amalkan pemanduan berhemah dan ketahui hak anda sebagai pengguna jalan raya
Setiap pengguna jalan raya mempunyai hak sebagai pengguna. Anda tidak akan terus dikira salah sekiranya kereta anda terlibat dalam kemalangan dengan motosikal.
Jangan takut untuk mengambil tindakan undang-undang lebih-lebih lagi apabila anda yakin anda tidak bersalah. Bawa berbincang dengan pihak yang bersalah dengan cara yang baik dan berunding dengan syarikat insurans anda untuk mendapatkan khidmat guaman.
Sebagai peringatan bersama, pandu secara berhemah termasuk menjaga jarak kenderaan anda daripada kenderaan yang lain. Pastikan juga kereta atau motosikal anda mempunyai insurans dan roadtax yang sah sepanjang masa. Jika insurans atau roadtax anda hampir tamat tempoh, usah risau. Dapatkan sebut harga insurans kereta atau motosikal secara percuma dan perbaharui kedua-keduanya di Bjak secara dalam talian dalam hanya 5 minit.
Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!
Baca juga: