Skip to content
Home » Operasi Khas Motosikal: Memandu Tanpa Lesen Catat Saman Tertinggi

Operasi Khas Motosikal: Memandu Tanpa Lesen Catat Saman Tertinggi

    Operasi Khas Motosikal: Memandu Tanpa Lesen Mencatatkan Saman Tertinggi!

    Walaupun sudah memasuki tahun 2022, nampaknya masih ada lagi memandu di jalan raya tanpa mempunyai lesen. Tindakan ini jelas melanggar peraturan jalan raya dan meletakkan nyawa penunggang serta pengguna jalan raya yang lain dalam bahaya.

    Dalam Operasi Khas Motosikal di Nilai, Negeri Sembilan pada malam 7 Februari lepas,  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan telah mengeluarkan sejumlah 339 saman. Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, kesalahan memandu tanpa lesen mencatatkan saman tertinggi iaitu sebanyak 93 saman, diikuti kesalahan memandu kenderaan dengan roadtax tamat tempoh iaitu sebanyak 90 saman. 

    Mengikut laporan Harian Metro, Hanif berkata pihak JPJ turut mengeluarkan 5 saman atas kesalahan memandu dengan lesen tamat tempoh serta 65 saman kerana tidak mempunyai insurans kenderaan. 

    Selain JPJ, Operasi Khas Motosikal tersebut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Kesalahan memandu tanpa lesen, roadtax dan insurans kenderaan mencatatkan jumlah tertinggi

    “Kesalahan membabitkan tiada lesen memandu, cukai jalan (roadtax) dan insurans kenderaan masih mencatatkan jumlah paling tinggi dalam kalangan pengguna jalan raya meskipun sudah banyak sesi advokasi dilaksanakan,” ujar Hanif kepada media.

    Tambah Hanif, kebanyakan pengguna yang disaman atas kesalahan-kesalahan tersebut merupakan anak muda yang menunggang motosikal. Justeru, pihaknya mengingatkan ibu bapa agar lebih bertanggungjawab terhadap anak masing-masing.

    Memandu tanpa lesen? Anda boleh dikompaun dan kenderaan anda boleh disita

    Merujuk kepada laporan Astro Awani pada 3 Februari lepas, Hanif berkata individu yang memandu tanpa lesen boleh dikenakan kompaun maksimum RM300 dan kenderaan mereka boleh disita di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, dalam Operasi Khas Motosikal di Port Dickson pada 31 Januari lepas, Hanif berkata kepada Harian Metro bahawa Operasi Khas Motosikal akan dilaksanakan secara berterusan bagi menimbulkan persepsi bimbang ditahan atau perception of being caught dalam kalangan pengguna jalan raya. 

    Justeru, meskipun tidak tertangkap, tolong jangan memandu melainkan anda mempunyai lesen. Pastikan juga lesen memandu anda masih sah kerana memandu dengan lesen tamat tempoh juga merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan saman.

    Untuk ibu bapa pula, anda dinasihatkan untuk tidak membenarkan anak anda memandu jika mereka belum mempunyai lesen memandu. Sekiranya anak anda masih di bawah umur dan didapati menunggang motor atau memandu kereta, anda sebagai ibu bapa atau pemilik kenderaan berkenaan boleh dikenakan tindakan saman. 

    Dapatkan lesen memandu secara sah

    Latihan memandu di litar institut memandu

    Sekiranya anda ingin memandu, dapatkanlah lesen memandu terlebih dahulu meskipun anda rasa anda sudah cekap memandu. Tetapi awas, jangan dapatkan ‘lesen terbang’ atau lesen memandu tanpa mengambil kursus dan ujian kerana tindakan berikut merupakan satu kesalahan besar! 

    Jangan risau jika anda tidak pasti tentang cara untuk mendapatkan lesen memandu. Dalam artikel kami yang lepas, kami telah terangkan cara-cara untuk mendaftar kelas memandu sehingga cara mendapatkan lesen percubaan atau lesen P. Kami turut sertakan pautan kepada soalan-soalan ujian komputer teori memandu untuk mempersiapkan anda.

    Setelah memperoleh lesen memandu nanti, pastikan juga insurans dan roadtax anda hidup setiap masa. Kini, urusan memperbaharui insurans dan roadtax boleh dilakukan di hujung jari sahaja. Cuma perlu renew insurans dan roadtax di Bjak secara online dalam hanya 5 minit. 


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga insurans kereta atau motosikal percuma di Bjak hari ini.