Skip to content
Home » Kereta Rosak Ketika Memandu? Ini yang Anda Kena Lakukan

Kereta Rosak Ketika Memandu? Ini yang Anda Kena Lakukan

    Tips apabila kereta ketika memandu

    Kerosakan pada kereta boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuklah ketika sedang memandu. Apabila situasi ini berlaku, ia pastinya mengundang rasa cemas buat si pemandu dan penumpang, lebih-lebih lagi jika ia adalah pengalaman kali pertama.

    Sekiranya kereta rosak ketika memandu, apakah yang perlu anda lakukan? Perlukah anda teruskan pemanduan dan seterusnya merisikokan diri anda? Atau adakah anda perlu segera berhenti untuk memeriksa kerosakan?

    Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui tips serta tindakan yang perlu dilakukan jika kereta rosak ketika memandu di jalan raya. Moga bermanfaat!

    Tips bila kereta rosak ketika memandu

    Perlahankan kenderaan, nyalakan lampu amaran bahaya

    Nyalakan lampu kecemasan bagi memberi amaran kepada pengguna lain kereta anda sedang rosak

    Apabila anda sudah mula perasan ada sesuatu yang tidak kena pada kereta anda ketika sedang memandu, pastikan anda mula memperlahankan kereta anda dan nyalakan lampu amaran bahaya. Ini bagi memastikan kenderaan di belakang anda sedar bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena sedang berlaku pada kenderaan anda. 

    Elakkan berhenti terus secara mengejut. Jika boleh, perlahan-lahan gerakkan kereta anda ke bahu jalan sebelah kiri bagi mengelakkan kesesakan pada kenderaan lain.

    Biarkan lampu amaran bahaya terus menyala meskipun kereta sudah berhenti atau diparkir di tepi jalan.

    Tolak kereta jika mampu

    Bagaimana pula jika kereta berhenti tiba-tiba atau terkandas di tengah-tengah jalan?

    Jika ia berlaku, cuba tolak kenderaan anda ke tepi jalan (jika mampu). Ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain. Tolak gunakan bahu kiri sambil tangan mengawal stereng.

    Andai kata anda tidak mampu, cuba dapatkan bantuan daripada pengguna jalan raya yang lain. Jangan risau, ramai pemandu yang baik hati di atas jalan raya yang pastinya boleh membantu anda.

    Pakai jaket keselamatan

    Jaket keselamatan merupakan salah satu item yang seeloknya ada di dalam kereta bagi tujuan keselamatan. Jaket ini boleh dipakai sekiranya kereta anda rosak atau terlibat dalam kemalangan terutama ketika pada waktu malam atau cuaca buruk seperti hujan.

    Dengan memakai jaket ini, ia akan membolehkan pengguna jalan raya lain menyedari akan keberadaan anda dan seterusnya mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

    Sebaik sahaja kereta anda diberhentikan di tepi jalan, anda pakailah jaket ini sebelum keluar daripada kereta ya!

    Letakkan tanda segi tiga amaran bahaya

    Letakkan papan tanda amaran segi tiga 45 meter dari belakang kereta anda

    Papan tanda segi tiga amaran bahaya juga perlu sentiasa ada di dalam kereta. Letakkan papan tanda ini sekurang-kurangnya 45 meter dari arah belakang kereta anda yang sedang rosak sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya lain.

    Periksa kenderaan anda

    Untuk langkah awal, anda boleh lihat apakah kerosakan yang sedang berlaku pada kereta anda. Buka bonet hadapan kereta anda dan periksanya bagi membolehkan anda tahu masalah kereta anda.

    Minta bantuan tepi jalan daripada syarikat insurans anda

    Sebelum ini, Bjak ada menerangkan kepada anda mengenai fungsi servis bantuan tepi jalan yang disediakan oleh syarikat insurans. Secara dasarnya, bantuan tepi jalan meliputi pelbagai perkhidmatan yang berbeza-beza termasuk bantuan pembaikan (seperti jumpstart, penukaran tayar pancit, dan penghantaran minyak petrol), bantuan khidmat tunda dan lain-lain.

    Contohnya jika anda mendapati kereta anda bukanlah rosak teruk, tetapi mati di tengah jalan akibat kehabisan minyak, maka anda bolehlah menghubungi hotline insurans anda bagi mendapatkan bantuan tepi jalan dengan servis penghantaran minyak petrol (sila periksa sama ada syarikat insurans anda menyediakan servis ini atau tidak kerana ia berbeza mengikut syarikat insurans).

    Walau bagaimanapun perlu anda tahu, servis bantuan tepi jalan ini biasanya diberikan kepada pemegang polisi komprehensif sahaja. Namun, jika perlindungan insurans anda tidak memasukkan servis bantuan tepi jalan ini, anda mungkin boleh mendapatkannya sebagai tambahan.

    Hubungi 15550

    Selain menelefon terus syarikat insurans, anda juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan yang disediakan oleh Industri Insurans dan Takaful Malaysia di nombor 15500 untuk mendapatkan bantuan segera sekiranya berlaku kerosakan.

    Talian ini tersedia 24 jam dan melindungi serta menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan seperti di bawah:

    • Bantuan Kecemasan Tepi Jalan 
    • Khidmat Tunda (Perlu dibayar sendiri)
    • Bantuan untuk menyemak perlindungan dan menghubungkan anda dengan syarikat insurans
    • Pertanyaan tuntutan insurans kenderaan am
    • Siasatan prosedur kemalangan
    • Pemberitahuan Aduan
    • Pemberitahuan mengenai sebarang penipuan

    Dapatkan bantuan khidmat tunda

    Dapatkan bantuan khidmat tunda secara percuma daripada syarikat insurans anda

    Jika anda adalah pemegang polisi komprehensif, pada kebiasaannya anda boleh menikmati manfaat atau bantuan khidmat tunda secara percuma sahaja. Telefon syarikat insurans anda dan nyatakan bahawa kereta anda sedang rosak di tepi jalan dan anda memerlukan bantuan khidmat tunda daripada mereka untuk membawa kereta anda ke bengkel.

    Untuk makluman anda, kebanyakan syarikat insurans menawarkan manfaat khidmat tunda secara percuma mengikut had jarak atau jumlah wang. Jika ia melepasi salah satu syarat yang ditetapkan, maka anda perlu membayar lebihan bakinya. 

    Elakkan daripada mengambil perkhidmatan tunda luar atau yang bukan daripada insurans anda kerana ia akan merugikan anda. Mana tidaknya, anda mungkin perlu membayar kos yang jauh lebih mahal berbanding servis tunda daripada insurans anda sendiri yang diberikan secara percuma. 

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan tunda kereta, sila baca artikel yang pernah dikongsikan sebelum ini.

    Apakah tabiat yang menyebabkan kereta cepat rosak?

    Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan kereta anda boleh atau sering rosak secara tiba-tiba. Antaranya adalah kerana ‘tabiat salah’ yang sering dilakukan oleh pemandu ketika memandu kereta termasuklah:

    • Tidak panaskan enjin kereta sebelum memandu
    • Sering menekan brek ketika turun bukit
    • Hanya isi minyak ketika ia hampir habis
    • Mengabaikan bunyi aneh pada kereta
    • Sering rehatkan tangan pada gear

    Selain itu, antara faktor lain yang turut menyebabkan kereta anda cepat rosak adalah apabila anda gagal melakukan penyelenggaraan pada kereta mengikut tempoh yang sepatutnya.

    Melakukan penyelenggaraan kereta dengan kerap adalah sangat penting bagi memastikan prestasi kereta anda berada pada tahap yang optimum dan memastikan anda boleh memandu kereta dengan selamat.

    Baca tips penyelenggaraan kereta yang perlu dilakukan oleh pemilik kereta seperti yang pernah dikongsikan pada artikel sebelum ini untuk rujukan dan panduan anda.

    Jangan cemas jika kereta rosak!

    Kerosakan pada kereta boleh berlaku pada sesiapa sahaja, pada bila-bila masa. Sebaiknya, elakkan daripada terus berasa panik atau cemas jika ia berlaku pada anda. Ikut sahaja tips yang dikongsikan di atas dan dapatkan bantuan daripada pihak yang sepatutnya.

    Bagi mengelakkan kerosakan kereta berlaku dengan kerap, pastikanlah anda rajin melakukan penyelenggaraan kereta mengikut tempoh yang disarankan. Elak mengambil sikap sambil lewa demi keselamatan anda dan pengguna jalan raya lain.

    Dalam pada itu, pastikan juga kenderaan anda sentiasa memiliki perlindungan insurans yang sah dan secukupnya. Ia bagi memudahkan anda untuk mendapatkan bantuan tepi jalan daripada syarikat insurans sekiranya kereta anda rosak ketika memandu.

    Sebaiknya, dapatkanlah insurans komprehensif untuk kereta anda. Anda boleh lihat dan beli pelan komprehensif terbaik di Bjak. 15 jenama insurans disediakan untuk anda pilih. Layari Bjak untuk dapatkan sebut harga secara percuma dalam hanya 3 minit.

    Baca juga: