Skip to content
Home » Kereta Rosak Teruk Dihempap Pokok Besar Akibat Hujan Lebat

Kereta Rosak Teruk Dihempap Pokok Besar Akibat Hujan Lebat

    Kereta dihempap pokok

    Hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa kawasan pada petang 21 Februari 2022.

    Di Dengkil, sebanyak 20 buah kenderaan rosak selepas dihempap pokok yang tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kuat yang berlaku kira-kira 5:30 petang semalam.

    Menurut laporan Bernama, kesemua 20 kenderaan terbabit diletakkan di kawasan parkir di Cyber Valley ketika kejadian berlaku.

    Pokok besar tiba-tiba tumbang

    Kredit imej: Facebook My Dengkil

    Menurut salah seorang mangsa, Muhammad Harith Che Jusoh, 36, ketika kejadian beliau sedang membaiki kereta pelanggan sebelum pokok besar di hadapan bengkelnya tumbang secara tiba-tiba.

    Akibatnya, lima buah kereta pelanggannya rosak akibat malapetaka tersebut. 

    “Kira-kira lima buah kereta pelanggan saya rosak akibat kejadian ini… kali pertama kejadian teruk macam ini berlaku sejak tujuh tahun saya berniaga di tempat ini,” katanya kepada Bernama.

    Beliau justeru berharap agar pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Sepang (MPS) mengambil tindakan segera seperti memotong pokok besar di kawasan parkir itu bagi mengelak kejadian yang sama daripada berlaku lagi. 

    Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerusi Pengarahnya, Norazam Khamis memaklumkan bahawa tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut. 

    Kereta baru parkir 5 minit dihempap pokok

    Kredit imej: Sinar Harian

    Sementara itu dalam satu lagi kejadian berasingan, nasib tidak menyebelahi seorang individu apabila kereta yang baru diparkirnya di garaj selama kira-kira 5 minit dihempap pokok akibat kejadian hujan lebat dan ribut.

    Kejadian tersebut berlaku di gugusan Felda Jelai, Gemas pada Ahad, kira-kira jam 5:50 petang, 20 Februari 2022.

    Mangsa, Mohd Aminuddin Zaki yang berusia 42 tahun memaklumkan bahawa selain kereta Proton Wira miliknya, bumbung rumahnya di Felda Jelai 1 turut diterbangkan angin akibat kejadian tersebut.

    “Saya baru parkir kereta dalam garaj selepas pulang membeli barang dapur di kedai. Lima minit kemudian pokok berkenaan tumbang mengenai garaj dan kereta,” katanya seperti memetik laporan Sinar Harian.

    Tuntutan terhadap pihak berwajib

    Jika anda merupakan mangsa dan mendapati kereta dihempap pokok disebabkan oleh kerja-kerja jalan raya atau landskap, maka anda sebenarnya boleh sahaja membuat tuntutan terus kepada pihak majlis atau jabatan yang bertanggungjawab.

    Contohnya, pada 22 Disember lepas, berlaku kejadian di mana sebuah Perodua Axia remuk dihempap sebatang pokok berusia lebih daripada 100 tahun yang tumbang berdekatan sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Akibat kejadian itu, Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa mangsa  boleh membuat tuntutan insurans dengan DBKL berhubung kerosakan yang dialami. 

    Bolehkah claim insurans kenderaan?

    Sebagai pemilik kenderaan, anda mungkin tertanya-tanya sama ada bolehkah tuntutan insurans dibuat sekiranya kereta dihempap pokok?

    Jawapannya begini…

    Pada dasarnya, pelan insurans asas tidak menyediakan perlindungan kepada kerosakan kenderaan yang disebabkan oleh bencana alam seperti pokok tumbang, meskipun polisi yang dimiliki oleh anda pada ketika itu adalah polisi komprehensif.

    Walau bagaimanapun, perlu anda ketahui bahawa anda boleh atau layak mendapat perlindungan insurans sekiranya ketika pembaharuan insurans dibuat sebelum itu, anda ada menambah perlindungan tambahan peril khas (yang diperuntukkan untuk melindungi kenderaan akibat bencana alam) di dalam polisi anda. 

    Maka dengan perlindungan itu, anda tidak perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membaiki kerosakan pada kenderaan, dan boleh membuat tuntutan insurans bagi mendapatkan pampasan. 

    Bagaimanapun, tuntutan anda itu perlu dibuat di bawah tuntutan kerosakan sendiri (own damage) yang mana ia akan memberi kesan kepada kadar NCD semasa anda.

    Bersiap sedia dengan segala kemungkinan

    Seperti yang anda dapat lihat, kejadian malang boleh berlaku dalam sekelip mata. Justeru, sebagai pemilik kenderaan yang bijak, dapatkanlah perlindungan yang mencukupi seperti membeli perlindungan tambahan peril khas di dalam polisi komprehensif anda

    Ia bukan sahaja mampu melindungi kerosakan kereta akibat dihempap pokok, namun juga kerosakan yang disebabkan oleh bencana alam lain seperti banjir, taufan, tanah runtuh dan lain-lain. Jadi, tidak salah untuk anda bersiap sedia dengan membayar lebih sedikit sahaja untuk insurans kereta anda.

    Untuk lihat dan dapatkan pelan komprehensif terbaik, anda boleh cuba gunakan platform perbandingan insurans Bjak. 15 jenama insurans disediakan untuk pelanggan dan pilih satu yang terbaik untuk anda.