Skip to content
Home » Kumpul Wang 8 Tahun, Kereta Baru Beli 3 Bulan Hanyut Dalam Banjir

Kumpul Wang 8 Tahun, Kereta Baru Beli 3 Bulan Hanyut Dalam Banjir

    Kereta hanyut dalam banjir

    Bencana banjir yang sedang berlaku pada ketika ini sememangnya memberikan tamparan hebat buat rakyat Malaysia, khususnya mangsa yang terjejas.

    Ada yang kehilangan insan tersayang, malah tidak kurang ramai yang kerugian harta benda seperti rumah, perabot, kenderaan dan lain-lain.

    Kereta baru beli hanyut

    Ini kisah menyedihkan yang turut dilalui salah seorang mangsa banjir seperti dikongsikan portal Sinar Harian.

    Kereta Puan Nuarjan yang hanyut akibat banjir
    Sumber gambar: Sinar Harian

    Nuarjan Sulaiman, 36, terpaksa menerima hakikat apabila kereta Perodua Bezza yang baru dibelinya bersama suami tiga bulan lalu dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di  Sungai Lui, Batu 19, Hulu Langat pada Sabtu, 18 Disember 2021.

    Lebih menyedihkan, cerita wanita itu seperti memetik laporan tersebut, kereta itu dibeli selepas lapan tahun dia dan suami mengumpul wang bagi kegunaan pasangan itu bersama tiga anak mereka.

    Ditemui 100 meter dari lokasi asal

    Katanya, usaha untuk menyelamatkan kereta itu tidak boleh dilakukan kerana kejadian banjir tersebut tidak dijangka memandangkan kawasan tersebut tidak pernah mengalami banjir sebelum ini.

    “Kejadian memang tidak disangka. Tidak pernah kawasan ini banjir, tiba-tiba air sungai melimpah dan naik mendadak, satu barang pun tidak sempat diselamatkan.

    “Nak selamatkan kereta dah tak boleh, nyawa yang lebih utama. Kami terpaksa naik hingga siling untuk menyelamatkan diri. Lima jam duduk atas siling sebelum diselamatkan,” katanya.

    Kereta itu bagaimanapun ditemui 100 meter dari lokasi asal bersama timbunan kereta yang lain selepas tersangkut pada pokok.

    Kos baik pulih cecah RM5,000

    Ujar mangsa, kos pembaikan untuk kereta tersebut mungkin menelan belanja sehingga RM5,000 selepas ia rosak teruk malah bonet belakang turut tercabut, serta cermin sisi.

    Wanita itu bagaimanapun tidak pasti sama ada tuntutan insurans boleh dibuat atau perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membaiki semula keretanya itu.

    Boleh ke claim insurans kenderaan rosak akibat banjir?

    Musim banjir menyebabkan banyak kereta yang tenggelam dan hanyut sehingga mengalami kerosakan teruk

    Kisah di atas hanyalah salah satu contoh situasi memilukan yang sedang berlaku kepada mangsa banjir ketika ini. Mungkin ramai yang turut mengalami nasib yang serupa kerana dapat dilihat ribuan kenderaan kini tersadai di atas jalan dan rosak akibat banjir.

    Untuk mangsa-mangsa banjir, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Malaysian Takaful Association (MTA) menggesa semua pemegang polisi dan sijil menyemak perlindungan polisi bagi memastikan harta benda diinsuranskan terhadap banjir.

    Kata PIAM dan MTA, jika perlu, pemegang polisi / sijil dinasihatkan untuk menghubungi pengantara dan/atau penanggung insurans atau pengendali takaful masing-masing untuk mendapatkan nasihat dan penjelasan lanjut.

    Namun, ini untuk makluman awal anda, perlindungan insurans kenderaan asas tidak menawarkan perlindungan jika kenderaan anda rosak akibat banjir.

    Anda hanya boleh membuat tuntutan insurans untuk pembaikan kereta akibat banjir sekiranya anda ada atau telah membeli perlindungan tambahan peril khas (bencana alam) di dalam polisi komprehensif insurans kereta anda.

    Bagaimanapun, tuntutan anda itu perlu dibuat di bawah tuntutan kerosakan sendiri (own damage) yang mana ia akan memberi kesan kepada kadar NCD semasa anda. NCD anda akan kembali ke angka sifar dan insurans akan menjadi mahal pada tahun berikutnya.

    Cara claim insurans akibat banjir

    Cara claim insurans

    Berikut kami kongsikan cara untuk anda membuat tuntutan insurans bagi kenderaan yang rosak akibat banjir:

    Hubungi pihak insurans 

    Anda boleh hubungi pihak insurans anda sekiranya kereta rosak akibat banjir dan memerlukan bantuan khidmat tunda. Jangan cuba untuk memandu kereta anda sendiri kerana ia mungkin boleh menyebabkan kerosakan lebih teruk pada kenderaan. 

    Kumpulkan bukti

    Senarai dokumen yang diperlukan adalah:

    • Catatan lokasi dan masa/ tarikh kereta ditenggelami banjir
    • Gambar kerosakan kereta yang ditenggelami banjir
    • Salinan lesen memandu pemilik kereta
    • Salinan geran kereta
    • Salinan polisi insurans 
    • Butiran/ dokumen sokongan yang menjelaskan kerosakan kereta (jika ada)

    Buat laporan polis

    Jika mengikut undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, anda perlu membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam. Namun jika anda mempunyai alasan yang munasabah, anda masih boleh membuat laporan polis meskipun melepasi tempoh 24 jam.

    Serahkan borang tuntutan dan dokumen sokongan kepada syarikat insurans

    Serahkan borang tuntutan bersama dokumen-dokumen sokongan yang disenaraikan di atas kepada syarikat insurans anda. Mereka akan memaklumkan semula kepada anda tempoh masa yang diperlukan bagi memproses tuntutan anda

    Hantar kereta ke bengkel

    Pastikan kereta anda dihantar ke bengkel panel syarikat insurans anda. 

    Beberapa jenama kereta tawar bantuan

    Kejadian yang menimpa Nuarjan mungkin turut dialami oleh ramai pemilik kenderaan yang lain ketika ini.

    Justeru itu, kami ingin maklumkan kepada anda bahawa terdapat beberapa jenama kenderaan yang memberikan bantuan kepada mangsa banjir seperti di bawah untuk perhatian anda:

    Perodua

    Perodua menawarkan rebat perkhidmatan tunda, diskaun 20% ke atas alat ganti terpilih dan pemeriksaan percuma kepada pemilik kenderaan Perodua yang terjejas akibat banjir.

    Pelanggan Perodua boleh membuat claim untuk servis tunda sehingga maksimum RM100 di pusat servis Perodua mengikut syarat yang ditetapkan. 

    Pelanggan Perodua, yang kenderaannya mengalami kerosakan akibat banjir digalakkan untuk menghubungi talian perkhidmatan pelanggan bebas tol Perodua di 1-800-88-5555 untuk bantuan menunda (tertakluk kepada terma dan syarat).

    Proton

    Proton menawarkan diskaun 20% bagi alat ganti tertentu serta diskaun 20% untuk caj buruk kepada pelanggan Proton yang membuat laporan polis berhubung insiden itu.

    Selain itu, syarikat kereta jenama tempatan itu juga akan menanggung caj khidmat tunda sehingga RM200 serta caj pembersihan bahagian luar serta ruang enjin sebanyak RM100.

    Untuk keterangan lanjut boleh hubungi talian pelanggan Proton di 1-800-88-8398.

    Mercedes-Benz

    Mercedes-Benz menawarkan diskaun sehingga 30% bagi pembaikan semua bahagian, khidmat tunda kenderaan percuma oleh pengedar sah dan penilaian percuma bagi semua kos pembaikan yang diperlukan dengan pelan pembayaran mudah tanpa faedah sifar peratus. 

    Tawaran tersebut sah sehingga 31 Januari 2022. 

    Pemilik Mercedes-Benz yang terjejas boleh menghubungi pengedar Mercedes-Benz sah pilihan atau Mercedes-Benz Bantuan Tepi Jalan 24 Jam dan Pusat Khidmat Pelanggan di 1-800-88-1133.

    BMW

    BMW Group mengumumkan penurunan kos sebanyak 20% untuk pembaikan komponen jentera BMW, MINI dan BMW Motorrad yang terjejas akibat bencana banjir.

    Selain itu, terdapat juga rebat sehingga RM300 bagi kos tunda buat para pemilik yang terjejas.

    Penawaran penurunan kos dan rebat kos tunda ini sah sehingga 31 Januari 2022.

    Pemilik kenderaan jenama itu digalakkan untuk menghubungi pusat pengedar pilihan masing-masing, menghubungi sendiri BMW Roadside Assistance, atau Pusat Interaksi Pelanggan di 1 800 88 3000.

    Toyota

    UMW Toyota menawarkan program khas Toyota Flood Assist kepada para pelanggan yang terjejas akibat bencana banjir kilat.

    Inisiatif ini menawarkan diskaun sehingga 25% kepada jumlah bil yang perlu dibayar termasuk alat ganti dan kos buruh, beserta percuma servis menunda, penilaian dan juga sebut harga kos pembaikan yang merangkumi penyingkiran komponen yang terjejas.

    Pemilik Toyota boleh menghubungi 24SEVEN Road Assist yang dibuka setiap hari, 24 jam tujuh hari seminggu, atau Talian Bebas Tol Toyota di 1-800-8-TOYOTA (1-800-8-869682).

    TC Subaru

    Pengedar eksklusif kenderaan Subaru di Malaysia, TC Subaru menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus ke atas semua alat ganti kepada para pemilik kenderaan Subaru yang terjejas.

    Para pemilik boleh menghubungi Subaru Careline Assist di 1800-22-9898 atau membawa sendiri kenderaan Subaru ke mana-mana pusat servis sah Subaru, sah sehingga 31 Disember ini.

    Nissan

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bersama-sama Tan Chong Ekspress Auto Servis Sdn Bhd (TCEAS) menawarkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas banjir berbentuk:

    • Diskaun 20% ke atas alat ganti tulen dan kos upah
    • Restorasi upholsteri khas untuk sedan bernilai RM1,655, serta pakej bernilai RM1,988 untuk MPV, SUV, trak pikap dan van
    • Pelan Pembayaran Semula Mudah (EPP) sehingga 12 bulan
    • Jaminan enam bulan atau jarak perbatuan 10,000 km untuk penggantian alat ganti tulen.

    Selain itu, ETCM turut menawarkan khidmat tunda secara percuma (tertakluk kepada terma dan syarat), serta perkhidmatan Collect & Deliver untuk servis penyelenggaraan pada hujung minggu.

    Para pelanggan Nissan boleh menghubungi talian Nissan Customer Care Centre Hotline di 1800-88-3838 untuk maklumat lanjut.

    Honda

    Pelanggan Honda ditawarkan diskaun sehingga 25% untuk alat ganti tulen. Tawaran tersebut sah bermula sekarang sehingga 31 Januari 2022.

    Dalam pada itu, pelanggan Honda yang menyertai Honda Insurance Plus (HiP) boleh menikmati pemeriksaan percuma, perkhidmatan tunda percuma ke pusat pengedar sah Honda dan juga layak menerima elaun banjir sehingga RM1,500.

    Daihatsu

    Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd (DMSB) melancarkan program Daihatsu Flood Relief Program bermula 22 Disember 2021 sehingga 28 Februari 2022 di semua pusat servis sah Daihatsu.

    Program ini menawarkan subsidi kos tunda sehingga RM100 untuk setiap kenderaan yang ditunda ke pusat servis sah Daihatsu, diskaun sehingga 40% ke atas alat ganti tulen, diskaun 20 % kos upah, serta perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara percuma.

    Selain daripada itu, DMSB juga akan mengerahkan pasukan Daihatsu Mobile Team bagi membuat perkhidmatan servis di lokasi pelanggan, tertakluk kepada terma dan syarat.

    Mitsubishi

    Mitsubishi Motors Malaysia menawarkan bantuan berbentuk diskaun sehingga 30% ke atas alat ganti tulen Mitsubishi, serta diskaun sehingga 50% untuk kos buruh. Tawaran tersebut sah bermula sekarang sehingga 20 Januari 2022.

    Selain daripada itu, Mitsubishi Motors turut menawarkan khidmat tunda secara percuma kepada para pelanggannya yang terjejas banjir. Para pemilik yang terjejas hanya perlu menghubungi talian Mitsubishi Assist 24Hrs (MA24) di talian 1-800-88-2166.

    Dalam pada itu, pemilik yang menguruskan sendiri khidmat tunda tanpa melalui MA24 dan perlindungan insurans juga boleh mendapatkan rebat bernilai sehingga RM300. Pelanggan hanya perlu membuat laporan polis, dan menunda kenderaan yang terjejas ke pusat servis Mitsubishi Motors yang berdekatan.

    Dapatkan perlindungan secukupnya

    Perlindungan insurans adalah amat penting dan mampu membantu anda ketika keadaan mendesak kelak. Seeloknya, dapatkan perlindungan insurans komprehensif (jika layak) dan add-on perlindungan tambahan seperti perlindungan peril khas untuk melindungi kereta anda.

    Untuk memperbaharui insurans, anda juga boleh melihat dulu pelan terbaik di platform online Bjak. Buat perbandingan antara 15 syarikat insurans yang disediakan, dan pilih satu yang terbaik dan bersesuaian untuk kereta anda. Minta sebut harga percuma dalam hanya 3 minit sekarang.