Skip to content
Home » Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura Telah Dibuka

Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura Telah Dibuka

    Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura

    Bermula 29 November 2021, Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin atau Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Malaysia dan Singapura telah dibuka. 

    Sekiranya anda bercadang untuk ke Malaysia atau Singapura melalui VTL, sila baca dahulu artikel ini untuk mengetahui tentang prosedur-prosedur yang perlu dilalui.

    Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura

    Menurut kenyataan media Pejabat Perdana Menteri Malaysia pada 24 November 2021, kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) berkuat kuasa pada 29 November 2021. Ini susulan daripada kejayaan Malaysia dan Singapura yang masing-masing telah mencapai lebih daripada 95% kadar vaksinasi untuk populasi dewasa. 

    Merujuk kepada portal MySafeTravel, VTL telah diperkenalkan untuk membenarkan individu yang sudah lengkap vaksin memasuki negara lain TANPA kuarantin, tertakluk kepada penilaian Covid-19 dan syarat-syarat lain yang ditentukan oleh negara yang dituju. 

    Ketika ini, hanya Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura yang ditawarkan. Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin untuk negara-negara lain akan dibuat secara berperingkat berdasarkan penilaian risiko.

    Perdana Menteri Malaysia dan Singapura bersetuju melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura
    Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (kiri) dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong (kanan) telah bersetuju melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura bermula 29 November 2021

    Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin – Laluan Darat (VTL-Land)

    Pada masa ini, VTL- Land dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja sebagai langkah kawalan. Jenis pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.

    Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura adalah melalui Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) Johor sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street (QST) dan Terminal Pertukaran Bas Sementara Woodlands digunakan sebagai pusat turun dan naik penumpang di Singapura.

    Kerajaan kedua-dua negara juga telah menetapkan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan, dengan peningkatan dari minggu ke minggu.

    Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin - Laluan Darat (VTL-Land) melalui bas
    Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin – Laluan Darat (VTL-Land) melalui bas

    Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin – Laluan Udara (VTL-Air)

    Untuk laluan udara atau VTL-Air pula adalah antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Changi, Singapura

    Pintu masuk atau keluar lain di Malaysia dan Singapura mungkin ditambah selepas ini berdasarkan persetujuan bersama.

    Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin - Laluan Udara (VTL-Air) melalui kapal terbang
    Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin – Laluan Udara (VTL-Air) melalui kapal terbang

    Syarat kelayakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin

    Untuk menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin, anda perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

    Lengkap divaksin

    Anda hanya boleh menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin jika anda sudah lengkap divaksin

    Sekiranya anda menerima jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, anda perlu melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua untuk diiktiraf lengkap divaksin.

    Tetapi, jika anda menerima jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan seperti Johnson & Johnson dan CanSino, anda perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

    Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksin pula mesti ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

    Hanya individu yang lengkap divaksin dibenarkan menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin
    Hanya individu yang lengkap divaksin dibenarkan menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin

    Kategori pengembara

    Pengembara yang sudah lengkap divaksin dan dibenarkan mengambil bahagian dalam VTL adalah warganegara Malaysia atau Singapura, Penduduk Tetap serta Pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia atau Singapura. Bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksin, mereka perlu ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

    Selain itu, pengembara mesti berada di Malaysia atau Singapura selama 14 hari berturut-turut sebelum perjalanan ke Malaysia atau Singapura. 

    Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura terhad kepada warganegara Malaysia atau Singapura, Penduduk Tetap serta Pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia atau Singapura
    Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura terhad kepada warganegara Malaysia atau Singapura, Penduduk Tetap serta Pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia atau Singapura

    Tertakluk kepada ujian Covid-19 dan keperluan kesihatan

    Anda mesti mendapat keputusan negatif bagi ujian Covid-19 (Antigen Rapid Test (ART)/Real-Time Polymerase Chain Reaction Test (RT-PCR) yang wajib diambil dua (2) hari sebelum perjalanan.

    Selain itu, kelayakan VTL tertakluk kepada keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.

    Keputusan ujian Covid-19 anda mesti negatif untuk menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin
    Keputusan ujian Covid-19 anda mesti negatif untuk menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin

    Prosedur untuk menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin

    Pendaftaran VTL

    Pengembara dari Singapura ke Malaysia perlu mendaftar di https://mysafetravel.gov.my/

    Sementara itu, pengembara dari Malaysia ke Singapura perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal

    Anda digalakkan untuk membuat pendaftaran sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum perjalanan.

    Pembelian tiket

    Setelah membuat pendaftaran, anda boleh membeli tiket bas untuk VTL-Land di www.causewaylink.com.my atau www.transtar.travel

    Untuk VTL-Air pula, anda boleh mendapatkan tiket penerbangan di laman web AirAsia, Jetstar Asia, Malaysia Airlines, Malindo Air, Scoot atau Singapore Airlines (SIA).

    Ujian Covid-19

    Anda diwajibkan untuk mengambil ujian Covid-19 (Antigen Rapid Test (ART)/Real-Time Polymerase Chain Reaction Test (RT-PCR) dua (2) hari sebelum perjalanan. Ujian Covid-19 tersebut mesti dilakukan oleh profesional perubatan

    Sijil vaksinasi digital dan cetakan 

    Sekiranya anda divaksin di Malaysia, anda boleh memuat turun aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan sijil vaksinasi.

    Sekiranya anda divaksin di Singapura, anda boleh memuat turun aplikasi Notarise, HealthHub atau TraceTogether.

    Pas untuk pelancong yang telah divaksin

    Sekiranya anda Pemegang Pas Jangka Panjang mengembara dari Malaysia ke Singapura, anda perlu mendapatkan pas untuk pelancong yang telah divaksin melalui https://go.gov.sg/vtl-portal untuk memasuki Singapura. 

    Insurans perjalanan/perubatan

    Pelancong Malaysia yang ingin memasuki Singapura perlu mempunyai perlindungan insurans perjalanan atau perubatan untuk rawatan perubatan dan kemasukan ke hospital berkaitan Covid-19. Jumlah perlindungan insurans minimum yang ditetapkan ialah SGD30,000 bersamaan RM100,000.

    Patuhi SOP ketika mengembara

    Kemudahan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura tanpa kuarantin sudah tentu memberikan kelegaan kepada individu yang sudah lama tidak berjumpa keluarga serta sanak-saudara berikutan perintah kawalan pergerakan. 

    Pastikan anda mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan ketika mengembara untuk keselamatan bersama. Untuk maklumat lanjut mengenai VTL, sila layari laman web https://safetravel.ica.gov.sg/ untuk pengembara ke Singapura dan laman web https://mysafetravel.gov.my/ untuk pengembara ke Malaysia.

    Bacaan lanjut:


    Bjak menawarkan kemudahan memperbaharui insurans kenderaan dan roadtax secara online. Renew insurans dan roadtax anda di Bjak.my di mana sahaja anda berada. Dapatkan sebut harga insurans kereta percuma dalam hanya 3 minit hari ini.