Skip to content
Home » Pemeriksaan Kenderaan PUSPAKOM: Apa yang Anda Kena Tahu

Pemeriksaan Kenderaan PUSPAKOM: Apa yang Anda Kena Tahu

    Pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM

    Setiap tahun, PUSPAKOM melakukan pemeriksaan terhadap lebih daripada 3 juta kenderaan.

    PUSPAKOM, sebuah syarikat pemeriksaan kenderaan berkomputer Malaysia, memeriksa kenderaan yang diubah suai dan kenderaan komersial atau persendirian sebelum dijual atau dibeli.

    Jika anda tidak biasa dengan prosedurnya, anda mungkin beranggapan bahawa proses menghantar kereta untuk pemeriksaan PUSPAKOM agak menakutkan dan mengelirukan. Namun jangan risau kerana prosedur sebenarnya adalah mudah.

    Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui jenis-jenis pemeriksaan yang ditawarkan oleh PUSPAKOM, prosedur serta dokumen yang diperlukan.

    Apakah kepentingan pemeriksaan PUSPAKOM?

    Pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM penting untuk memastikan kenderaan selamat digunakan di jalan raya

    PUSPAKOM adalah sebuah syarikat pemeriksaan kenderaan yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia untuk menjalankan semua pemeriksaan mandatori bagi kenderaan komersial dan persendirian.

    Pemeriksaan itu bertujuan membantu menjamin keselamatan kenderaan dan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    Jenis-jenis pemeriksaan

    Terdapat beberapa jenis pemeriksaan kenderaan yang disediakan di PUSPAKOM. Anda boleh rujuk artikel ini untuk mengenal pasti pemeriksaan yang diperlukan untuk kenderaan anda:

    Pemeriksaan berkala

    Mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, kenderaan komersial perlu menjalani pemeriksaan rutin di PUSPAKOM setiap enam bulan.

    Pemeriksaan berkala dikenakan untuk semua kenderaan komersial termasuk teksi, kereta sewa, teksi limosin, bas, bas mini, van dan jeep. Bayaran sebanyak RM50 dikenakan untuk setiap pemeriksaan berkala.

    Pemindahan hak milik

    Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga mewajibkan semua kenderaan persendirian menjalani Pemeriksaan Pindahan Hak Milik di PUSPAKOM sebelum menukar hak milik kenderaan.

    Pemeriksaan ini membantu melindungi pemilik kenderaan baharu daripada membeli atau memiliki kenderaan yang menyalahi undang-undang, seperti kenderaan potong dan sambung. 

    Sebanyak RM30 akan dikenakan untuk caj pemeriksaan.

    *Nota: Jika anda tersalah letak atau kehilangan geran kereta asal anda, anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini untuk mengetahui cara menggantikan geran kereta anda yang hilang.

    Pemeriksaan awal

    Kenderaan komersial baharu atau terpakai yang masih belum ditukar hak miliknya perlu menjalani Pemeriksaan Awal sebelum didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan. Ini bagi memastikan kenderaan itu mematuhi standard piawaian pembinaan dan kegunaannya.

    Bayaran yang akan dikenakan adalah antara RM30 hingga RM90 bergantung pada jenis kenderaan.

    Pemeriksaan Sewa Beli

    Mengikut Akta Sewa Beli 1967, mana-mana pembeli yang memohon pinjaman untuk membeli kenderaan terpakai mesti menghantar kereta tersebut untuk Pemeriksaan Sewa Beli. Pemeriksaan ini membantu melindungi pembeli kenderaan terpakai daripada membeli kenderaan haram atau tidak boleh digunakan.

    Anda perlu membayar sebanyak RM60 untuk pemeriksaan ini.

    Pemeriksaan kenderaan secara sukarela

    Pemeriksaan Kenderaan secara Sukarela membantu anda untuk mengetahui keadaan kenderaan anda. Anda akan lebih memahami keperluan penyelenggaraan yang diperlukan bagi memastikan kenderaan anda lebih selamat digunakan di atas jalan raya. 

    Bagaimanapun, ia bukanlah pemeriksaan mandatori di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

    Bayaran sebanyak RM50 akan dikenakan untuk pemeriksaan ini. 

    Pemeriksaan khas

    Pemeriksaan Khas adalah wajib bagi kenderaan berikut:

    • Kenderaan persendirian dengan cukai jalan tamat tempoh melebihi 3 tahun
    • Kenderaan komersial atau persendirian yang menjalani pengubahsuaian kenderaan – auto body, casis atau pengubahsuaian enjin
    • Penukaran nombor plat kereta
    • Kenderaan import baharu atau terpakai yang akan didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan
    • Jenis keperluan lain yang dikehendaki oleh Jabatan Pengangkutan Jalan

    Bayaran pemeriksaan adalah berbeza mengikut jenis kenderaan iaitu antara RM30 hingga RM90.

    Dokumen yang diperlukan

    Dokumen yang diperlukan mungkin berbeza mengikut jenis pemeriksaan. Anda boleh merujuk ke laman web PUSPAKOM atau hubungi mereka untuk meminta butiran mengenai senarai dokumen yang diperlukan. 

    Bagaimana untuk menempah temujanji?

    Buat temu janji untuk pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM

    Anda boleh membuat janji temu secara dalam talian untuk melakukan pemeriksaan di mana-mana pusat pemeriksaan PUSPAKOM. Hanya log masuk ke laman web rasmi PUSPAKOM atau muat turun aplikasi MyPUSPAKOM daripada Google Play untuk mendapatkan janji temu anda.

    Ikuti langkah ini untuk membuat janji temu secara dalam talian:

    • Layari laman web MyPUSPAKOM.
    • Daftar akaun individu untuk kenderaan persendirian atau akaun dagangan untuk kenderaan komersial.
    • Berikan butiran kenderaan untuk membuat temujanji.
    • Pilih jenis, tempat, tarikh dan masa pemeriksaan.
    • Berikan butiran pembawa kenderaan yang akan hadir untuk pemeriksaan.
    • Sahkan butiran janji temu.
    • Buat pembayaran dalam talian.

    Anda akan menerima Slip Pengesahan Tempahan melalui e-mel, yang perlu anda bawa pada hari temujanji.

    Piawaian pemeriksaan

    Piawaian pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM

    PUSPAKOM mengenakan piawaian yang ketat bagi memastikan keselamatan dan kelayakan kenderaan di jalan raya dengan menjalankan pemeriksaan berikut:

    • Semakan pengenalan – Mengesahkan nombor pendaftaran, casis dan nombor enjin 
    • Ujian brek – Memeriksa kecekapan brek
    • Pelepasan asap – Mengukur gas/ asap yang dikeluarkan daripada enjin kenderaan agar ia tidak melebihi tahap yang dibenarkan
    • Cermin gelap – Mengukur kadar ketelusan cahaya cermin kenderaan
    • Ujian gelinciran sisi – Menguji penjajaran tayar dan keberkesanan pengendalian semasa penjajaran sisi
    • Pemeriksaan bahagian atas kenderaan – Memeriksa bahagian atas badan kenderaan untuk sebarang kecacatan
    • Pemeriksaan bahagian bawah kenderaan– Memeriksa bahagian bawah kenderaan untuk menyaring sebarang kemungkinan kecacatan
    • Ujian Lampu Depan – Menilai keadaan pancaran cahaya kenderaan
    • Ujian Suspensi – Menguji sistem suspensi kenderaan
    • Meter laju – Memeriksa ketepatan meter kelajuan berbanding kelajuan pada roda

    Buat pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM

    Semoga artikel ini dapat membantu anda untuk mengenal pasti jenis pemeriksaan yang mungkin diperlukan oleh kereta anda pada masa akan datang. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk ke laman web rasmi PUSPAKOM.


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: