Skip to content
Home » Soalan Lazim Mengenai Betterment Dalam Insurans Kereta

Soalan Lazim Mengenai Betterment Dalam Insurans Kereta

    betterment insurans kereta

    Caj betterment, juga dikenali sebagai “yuran betterment” atau “caj susut nilai”, adalah istilah yang biasanya dikaitkan dengan tuntutan insurans kereta. Caj ini mungkin timbul apabila kenderaan yang rosak, contohnya akibat kemalangan, sedang dibaiki atau diganti di bawah tuntutan insurans.

    Caj betterment merujuk kepada situasi di mana syarikat insurans mungkin memerlukan pemegang polisi membayar sebahagian daripada kos menggantikan bahagian yang rosak dengan yang baharu, walaupun bahagian yang rosak telah digunakan ataupun lama. Ini disebabkan oleh konsep penambahbaikan – yang membawa idea bahawa bahagian yang diganti kini “lebih baik” daripada yang lama.

    Berikut adalah beberapa soalan lazim yang mungkin anda ingin ketahui tentang caj betterment dalam insurans kereta. Kami telah mengumpulkan jawapan kepada soalan ini untuk membantu anda memahami bagaimana cara ia berfungsi.

    Mengapa penanggung insurans mengenakan caj betterment?

    Penanggung insurans mengenakan caj betterment untuk memastikan pemegang polisi tidak mendapat manfaat kewangan hasil daripada tuntutan insurans yang dipohon. Konsep ini adalah berdasarkan andaian bahawa pemegang polisi sebenarnya mahu menggantikan bahagian tertentu kerana haus dan lusuh (wear and tear) yang biasanya akan berlaku pada setiap kenderaan. Dengan ‘mewajibkan’ pemegang polisi berkongsi kos penggantian, ia boleh mengelakkan penanggung insurans daripada memberi pampasan berlebihan kepada pemegang polisi untuk sebarang kerosakan.

    Apakah bahagian yang dikenakan caj ini?

    Caj betterment biasanya dikenakan pada bahagian yang mempunyai jangka hayat tertentu atau tertakluk kepada dedahan dan pelunturan, seperti tayar, bateri dan komponen mekanikal tertentu. Bahagian ini dijangka merosot dari semasa ke semasa, jadi apabila ia diganti, pemegang polisi mungkin perlu menanggung sebahagian daripada kos jika bahagian baharu itu mempunyai jangka hayat yang lebih lama atau miliki prestasi yang lebih baik berbanding dengan yang asal.

    Bagaimanakah caj betterment dikira?

    Pengiraan caj betterment adalah berbeza-beza mengikut syarikat insurans. Secara amnya, penanggung insurans mengambil kira umur, keadaan dan baki hayat bahagian/ komponen asal yang rosak. Kenderaan yang berusia 5 tahun ke atas biasanya dikenakan bayaran betterment. Kadar bermula di antara 15% dan meningkat sehingga 40%, bergantung pada usia kenderaan anda.

    Adakah ia terpakai kepada semua tuntutan insurans?

    Caj betterment tidak terpakai dalam setiap tuntutan insurans. Ia biasanya terpakai apabila bahagian yang rosak sudah menghampiri penghujung jangka hayatnya atau apabila bahagian yang diganti jauh lebih baik daripada yang asal. Jika bahagian yang rosak agak baharu atau jangka hayat yang sepatutnya masih lama, caj betterment mungkin tidak dikenakan.

    Bolehkah caj betterment dirunding?

    Dalam sesetengah kes, pemegang polisi mungkin boleh berunding atau mempertikaikan caj betterment dengan syarikat insurans mereka. Menyediakan bukti tentang keadaan bahagian yang rosak dan baki hayat yang sepatutnya masih boleh digunakan mampu menyokong kes anda untuk mengurangkan atau mengetepikan caj ini.  Sila berbincang secara terus dengan syarikat insurans anda dan dapatkan sebab mengapa mereka mengenakan caj ini terhadap anda. 

    Bagaimanakah saya boleh mengelakkan caj betterment?

    Satu cara untuk mengelakkan caj ini adalah dengan membeli polisi insurans kereta yang menyediakan manfaat pengecualian betterment atau anda sendiri boleh membeli perlindungan tambahan ‘waiver of betterment’ di dalam polisi komprehensif anda. Perlindungan tambahan ini akan mengecualikan anda daripada dikenakan caj betterment sekiranya kenderaan anda yang sudah berusia 5 tahun ke atas memerlukan penggantian alat ganti kereta, yang mana caj betterment sepatutnya akan dikenakan. Selain itu, penting juga anda mengekalkan kereta anda dalam keadaan baik dan memastikan kereta anda hanya menggunakan alat ganti yang original dan sepatutnya sebelum tuntutan bagi meminimumkan keperluan membayar caj betterment.

    Betterment dalam insurans kereta

    Terma dan syarat dalam polisi insurans adalah berbeza, bergantung kepada syarikat. Pastikan anda fahami polisi insurans anda bagi memastikan tidak berlakunya sebarang masalah dan pertikaian terutamanya apabila melibatkan tuntutan insurans. Jika terdapat sebarang keraguan, hubungi sahaja syarikat insurans anda untuk mendapatkan kepastian dan penjelasan lanjut. 


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: