Skip to content
Home » 4 Punca Utama Tuntutan Insurans Kereta Anda Ditolak

4 Punca Utama Tuntutan Insurans Kereta Anda Ditolak

    tuntutan insurans kereta ditolak

    Hakikat sebagai seorang pemandu dan pemilik kenderaan, tidak ada sesiapa pun yang menginginkan kemalangan daripada berlaku. Namun, malang tidak berbau. Andai kata ia berlaku juga walaupun kita sudah begitu berhati-hati, tiada apa yang boleh dilakukan.

    Penyelesaian terbaik adalah dengan membuat tuntutan insurans bagi membaiki kerosakan yang berlaku. Namun tahukah anda, tidak semua tuntutan akan diterima terus oleh syarikat insurans meskipun anda miliki polisi insurans yang masih aktif. Ada kemungkinan claim anda itu akan ditolak insurans ya. Mengapa ia boleh berlaku?

    Jom ketahuinya di sini.

    Kenapa tuntutan insurans ditolak?

    Sebenarnya, ada beberapa sebab atau punca yang mungkin menyebabkan tuntutan insurans ditolak oleh pihak insurans kenderaan anda. 

    Antaranya adalah kerana:

    Anda tidak membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam

    Untuk meyakinkan pihak insurans bahawa kemalangan tersebut benar-benar berlaku, anda perlu memberikan satu salinan hasil laporan polis yang telah dibuat di balai polis dalam tempoh 24 jam selepas tragedi malang itu terjadi.

    Jika anda gagal membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam, tuntutan anda itu berkemungkinan besar akan ditolak oleh pihak insurans kerana laporan tersebut dianggap tidak sah melainkan atas sebab-sebab tertentu contohnya, anda cedera / koma akibat kemalangan hingga perlukan rawatan di hospital.

    Dalam pada itu, anda juga diingatkan untuk tidak menipu dalam laporan yang anda buat. Jika anda didapati melakukan kesalahan tersebut, tuntutan anda bukan sahaja akan terus ditolak, bahkan anda juga boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Maklumat tidak tepat

    Tuntutan insurans anda akan ditolak jika anda didapati tidak memberikan maklumat yang tepat ketika pembaharuan insurans dahulu, meskipun anda dibuktikan tidak bersalah dalam kemalangan itu. 

    Perlu anda tahu, susulan langkah liberalisasi tarif insurans motor yang telah dilaksanakan sejak Julai 2017 lalu, syarikat insurans memerlukan lebih banyak maklumat anda sebelum menentukan harga insurans yang perlu dibayar. Ia termasuklah:

    • Status anda
    • Pekerjaan anda
    • Ciri-ciri keselamatan kereta
    • Tempat tinggal anda

    Selain kerosakan akibat kemalangan, jika kereta anda dicuri atau rosak akibat kebakaran juga, syarikat insurans berhak untuk menolak tuntutan anda jika didapati maklumat yang anda berikan sebelum ini tidak 100% tepat. 

    Kemalangan akibat pengaruh alkohol

    Untuk makluman anda, di Malaysia, memandu di bawah pengaruh alkohol adalah pengecualian umum untuk insurans kereta. 

    Ini bermakna, syarikat insurans tidak akan melindungi kerosakan kenderaan atau harta benda anda akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Namun, syarikat insurans akan membayar kos kecederaan dan juga kerosakan yang dialami oleh pihak ketiga. 

    *Penting untuk anda tahu, syarikat insurans juga masih berhak untuk membuat tuntutan balik ke atas apa yang diinsuranskan. Selepas kemalangan itu, polisi insurans anda mungkin akan terbatal atau anda perlu membayar dua kali ganda untuk insurans kenderaan setelah mengakibatkan kemalangan.

    Pemandu tidak dinamakan

    Jika kereta anda terbabit dalam kemalangan akibat pemandu yang tidak dinamakan, tuntutan anda mungkin tidak ditolak, namun anda sebagai pemilik kenderaan perlu membayar ekses sebanyak RM400 kepada syarikat insurans.

    Disebabkan itulah ketika memperbaharui insurans, anda sangat digalakkan untuk meletakkan nama-nama pemandu tambahan yang dijangka kerap memandu kenderaan anda di kemudian hari. Kini, banyak syarikat insurans serta takaful yang menyediakan manfaat semua pemandu secara percuma di dalam pelan insuransnya. Namun, ada juga syarikat insurans yang mengenakan caj sebanyak RM10 untuk setiap pemandu tambahan yang dinamakan di dalam polisi insurans.

    Tuntutan insurans ditolak, apa anda perlu lakukan?

    Meskipun tuntutan insurans anda pada awalnya ditolak, anda mungkin boleh membuat rayuan lagi terhadap syarikat insurans agar mempertimbangkannya semula.

    Berbincang dengan ejen insurans anda

    Anda boleh berbincang dengan ejen anda untuk mendapatkan penjelasan tentang sebab tuntutan insurans anda ditolak. Kenal pasti alasannya dan pastikan anda memahami sebab-sebab tersebut.

    Dapatkan penjelasan daripada bahagian tuntutan

    Anda beli insurans bukan menerusi ejen? Jadi, anda bolehlah hubungi jabatan atau bahagian tuntutan untuk mendapatkan penjelasan mengenai penolakan insurans anda. Penanggung insurans anda mungkin boleh memberi penjelasan menyeluruh kepada anda berhubung perkara itu.

    Anda juga boleh memfailkan aduan rasmi kepada unit aduan. Anda perlu menyediakan dokumen sokongan yang diperlukan. 

    Dapatkan bantuan daripada pihak berkaitan

    Tuntutan insurans kereta ditolak? Anda juga boleh mengemukakan aduan kepada pihak berkaitan iaitu PIAM atau Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS) dengan menyertakan maklumat dan dokumen yang lengkap untuk pertimbangan mereka bagi menjalankan siasatan.

    Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang mesti anda ikuti jika ingin memfailkan aduan sama ada kepada PIAM atau OFS:

    • Polisi insurans anda adalah dengan syarikat yang merupakan ahli PIAM atau Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS). Semua ahli PIAM adalah ahli OFS.
    • Anda dan syarikat insurans anda telah gagal mencapai persetujuan dan ia adalah dalam tempoh enam bulan dari keputusan muktamad pihak pengurusan.
    • Anda belum memulakan prosiding undang-undang.

    Semoga perkongsian ini bermanfaat!


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: