Skip to content
Home » 5 Salah Faham Yang Sering Berlaku Dalam Insurans Kenderaan

5 Salah Faham Yang Sering Berlaku Dalam Insurans Kenderaan

    fahami polisi insurans kenderaan

    Meskipun setiap tahun insurans kenderaan diperbaharui, namun boleh dikatakan ramai lagi pemilik kenderaan tidak betul-betul memahami apakah bentuk perlindungan yang diberikan, justeru timbul salah faham ketika ingin membuat tuntutan.

    Ada beberapa perkara atau situasi yang biasanya disalah erti oleh pemegang polisi dan menganggap perlindungan akan turut ditawarkan syarikat insurans terutamanya apabila sudah membeli pelan komprehensif, yang juga dikenali sebagai insurans kereta 1st party. Salah faham ini berlaku kerana ramai dalam kalangan kita tidak membaca terma & syarat dalam polisi dan kurang jelas mengenai bentuk perlindungan sebenar yang diberikan. 

    Jadi pada artikel ini, Bjak akan senaraikan beberapa salah faham dalam insurans kenderaan yang sering berlaku supaya anda dapat fahami dengan lebih baik.

    Salah faham dalam insurans kenderaan

    Antara salah faham mengenai insurans kenderaan yang sering berlaku adalah:

    “Saya dilindungi insurans jika cedera atau meninggal dunia akibat kemalangan”

    insurans kenderaan tidak melindungi kederaaan badan akibat kemalangan yang berpunca daripada diri sendiri

    Oppss! Tolong jangan salah faham lagi ya. Anda tidak akan diberikan ganti rugi oleh syarikat insurans sekiranya mengalami kecederaan atau meninggal dunia dalam kemalangan yang berpunca daripada diri sendiri. Melainkan anda adalah pihak ketiga (pihak yang dilanggar), maka anda boleh dan layak mendapat pampasan dengan membuat tuntutan di bawah polisi pihak yang melanggar anda. 

    Jadi, apa boleh anda buat? 

    Jika anda ada membeli perlindungan insurans untuk kemalangan peribadi di bawah polisi insurans kenderaan anda atau insurans kemalangan peribadi yang berasingan, maka tuntutan insurans bolehlah dilakukan jika anda cedera atau meninggal dunia akibat kemalangan yang berpunca daripada diri sendiri. Disebabkan itu, penting untuk anda membeli insurans kemalangan peribadi ini kerana tidak ada siapa pun tahu apa yang akan berlaku ketika sedang memandu.

    “Kereta rosak sebab banjir, takpelah boleh claim insurans”

    Perlu anda tahu, jika anda miliki polisi komprehensif sekalipun, anda tidak layak untuk membuat tuntutan insurans ya jika kereta rosak akibat banjir atau bahkan bencana alam lain seperti tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain.

    Tuntutan hanya boleh dibuat jika anda ada membeli perlindungan tambahan peril khas (bencana alam) di dalam polisi komprehensif anda ketika memperbaharui insurans tempoh hari. 

    Jadi, sila pastikan anda miliki dan beli perlindungan tambahan peril khas ini terutama jika lokasi anda terdedah kepada bencana seperti banjir.

    “Aksesori dan modifikasi dalam kereta saya dilindungi jika rosak atau dicuri”

    Malangnya tidak ya! Contoh jika anda memakai sport rim baru, atau kerusi kulit yang dipasang oleh anda sendiri rosak atau hilang, anda tidak boleh membuat tuntutan insurans atas kerugian yang berlaku ya. 

    Melainkan anda ada menginsuranskan aksesori tersebut dalam polisi insurans komprehensif anda, jadi bolehlah anda buat tuntutan insurans. Bagaimanapun, sudah tentulah premium insurans anda juga akan lebih mahal apabila menambah perlindungan tambahan untuk aksesori kereta anda itu.

    “Ada motor accident sebab penumpang saya buka pintu kereta tiba-tiba. Nasib boleh claim je nanti”

    Penting ya untuk anda ingatkan penumpang anda supaya sentiasa berhati-hati dan tidak melakukan sesuatu yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

    Antara yang biasa dilakukan penumpang adalah membuka pintu kenderaan secara tiba-tiba tanpa melihat keadaan sekeliling. Malang pula bila ada motosikal tiba-tiba melalui jalan itu dan terjatuh akibat perbuatan yang dilakukan penumpang tersebut.

    Kemalangan yang berlaku disebabkan oleh penumpang yang cuai ini tidak akan dilindungi insurans kereta, jadi sila pastikan penumpang anda sentiasa berhati-hati agar tidak memberi masalah kepada anda.

    “Laptop saya dicuri ketika letak dalam kereta, boleh kot claim insurans nanti”

    insurans kenderaan tidak melindungi kecurian barangan peribadi dari dalam kereta

    Ini kecuaian anda sendiri, dan pihak insurans tidak akan melayan tuntutan anda itu. Anda tidak akan dibayar pampasan atas kehilangan barangan peribadi yang disimpan di dalam kereta. 

    Disebabkan itu, jangan sesekali meletakkan barang berharga seperti laptop, telefon bimbit, jam, beg atau lain-lain di dalam kereta khususnya ketika anda meninggalkan kenderaan.

    Ingat, kecurian dan rompakan boleh berlaku dalam sekelip mata. Jadi sila jaga barang peribadi anda dengan baik pada setiap masa. 

    Jangan mengharapkan segalanya akan dilindungi pihak insurans kenderaan. Setiap syarikat insurans mengenakan terma & syarat berbeza-beza, jadi sila semak dan baca dengan teliti polisi insurans anda itu bagi mengelakkan salah faham pada masa akan datang.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: