Skip to content
Home » Kenali Jenis Petak Parkir Kenderaan

Kenali Jenis Petak Parkir Kenderaan

    petak parkir kenderaan

    Perasan atau tidak, sehingga ke hari ini masih ada lagi pemandu yang tidak begitu arif mengenai petak parkir atau petak tempat letak kenderaan. Ramai yang masih mengambil mudah dan meletakkan sahaja kenderaan mereka dengan sesuka hati tanpa mempedulikan sama ada ia boleh atau tidak asalkan ruang itu kosong.

    Lebih membimbangkan, ada yang sehingga bergaduh kerana cuba mendapatkan petak parkir mereka. Malang sungguh!

    Parkir di tempat betul

    Baru-baru ini, pihak berkuasa polis trafik menerusi satu hantaran di laman facebook rasminya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM ,mengingatkan orang ramai untuk memastikan kenderaan diparkirkan di petak yang betul.

    Menurut hantaran itu, pengguna kenderaan perlu memastikan kenderaan diparkirkan di tempat yang disediakan bagi mengelakkan berlakunya kesesakan sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain.

    Bahkan peringatan turut diberikan agar petak parkir tidak diletakkan sebarang halangan seperti payung, gerai berniaga, ‘cop’ parkir dan lain-lain kesalahan.

    Kegagalan untuk mematuhi peraturan parkir boleh menyebabkan individu dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 atau di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) mengikut bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan.

    jenis petak parkir kenderaan

    Fahami ciri-ciri petak khas parkir

    Anda mungkin sudah faham atau biasa lihat petak parkir dengan garisan berwarna putih atau kuning kan? Mudah sahaja, ini bermakna petak parkir itu dibuat khas untuk kenderaan ringan dan anda boleh memarkirkan di dalam petak tersebut tanpa sebarang masalah.

    Petak parkir dengan garisan merah

    petak parkir dengan garisan merah

    Namun, bagaimana pula dengan petak parkir berwarna merah yang sering ada di hadapan premis perniagaan? Bolehkah anda parkirkan kenderaan anda di situ?

    Sebenarnya ini dinamakan sebagai petak parkir khas, dan tidak semua kenderaan boleh menggunakannya. 

    Untuk makluman anda, petak parkir dengan garisan berwarna merah ini sebenarnya dikhaskan untuk orang atau kenderaan tertentu yang mana ‘dia’ telah membayar secara bulanan untuk petak parkir tersebut kepada pihak Majlis Perbandaran.

    Contohnya untuk harga bagi petak khas dibawah MBPJ, yuran bulanan yang dikenakan adalah RM400 bagi premis makanan dan kedai biasa manakala RM200 sebulan bagi kegunaan bengkel.

    Biasanya, petak parkir khas ini ada di hadapan premis perniagaan, bangunan seperti hospital, kedai aksesori, bengkel kereta dan lain-lain.

    Ada had waktu

    Namun perlu anda tahu juga, lot parkir khas ini juga sebenarnya ada had waktunya di mana petak tersebut mesti dibuka kepada orang ramai selepas jam 6.30 petang. Ini bermakna, petak parkir yang disewa itu hanya terpakai sewaktu operasi perniagaan sahaja, iaitu dari jam 8 pagi hingga 6.30 petang, Isnin hingga Jumaat. 

    Petak parkir khas untuk OKU

    petak parkir OKU

    Petak parkir berwarna biru dan mempunyai logo/ lambang OKU secara jelas dibina khas untuk pemandu OKU Fizikal. Perasan atau tidak, kotak yang dikhaskan untuk golongan OKU ini mempunyai ruang petak yang lebih besar. Ini direka bagi memuatkan kerusi roda pemandu itu. 

    Siapa boleh guna petak parkir OKU?

    • Pemandu yang ada kad OKU (JKM)
    • Pemegang lesen memandu OKU (JPJ)
    • Kenderaan berdaftar untuk kegunaan OKU (JPJ)
    • Kenderaan yang miliki pelekat OKU di cermin keretanya

    Parkir khas untuk wanita

    Parkir khas wanita

    Kebanyakan pusat membeli-belah ada menyediakan ruang parkir khas untuk wanita. Ini bagi membolehkan pemandu wanita yang memandu secara berseorangan atau bersama anak yang masih kecil meletakkan kenderaan di kawasan khas tersebut agar rasa lebih selamat.

    Biasanya, kawasan parkir khas itu dipantau sama ada pengawal atau kamera keselamatan.

    Parkir di tempat yang betul

    Jangan pentingkan diri sendiri. Pastikan anda memarkirkan kenderaan anda di petak yang betul agar tidak menyusahkan pengguna jalan raya lain. Sila bertimbang rasa dan sentiasalah ikut peraturan yang ditetapkan ya.


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: