Setelah mendapatkan perlindungan insurans kenderaan, ramai dalam kalangan kita pastinya mengharapkan bahawa syarikat insurans boleh melindungi kenderaan kita dalam apa jua keadaan. Namun, bolehkah insurans kereta turut merangkumi kos perbelanjaan seperti tayar rosak atau meletup? Mudah kata di sini, bolehkah anda sebagai pemilik kenderaan claim insurans jika tayar kereta/ motor anda meletup atau rosak?
Jom ketahui dengan lebih lanjut mengenainya menerusi perkongsian pada artikel ini.
Boleh ke claim insurans tayar kereta meletup atau rosak?
Sebagai pemilik kenderaan, kita pastinya sudah sedia maklum bahawa kos untuk menukar satu biji tayar boleh dikatakan agak mahal. Justeru itu, ada yang mungkin terniat untuk hanya claim insurans berbanding menggunakan wang sendiri bagi menggantikan tayar yang telah rosak atau meletup.
Persoalannya di sini, adakah anda layak untuk claim insurans bagi tayar yang telah rosak itu?
Sebenarnya, ya, anda boleh membuat tuntutan insurans bagi menggantikan tayar yang telah rosak, namun ia adalah bersyarat dan bergantung kepada beberapa faktor.
Pertama sekali, anda perlulah memastikan jenis insurans kereta yang anda miliki adalah polisi komprehensif ataupun polisi pihak ketiga, kebakaran dan kecurian (TPFT).
Kedua, tidak semua jenis kerosakan tayar akan melayakkan anda untuk membuat tuntutan insurans. Antara sebab-sebab kerosakan tayar yang akan membolehkan anda untuk membuat tuntutan insurans adalah:
- Keadaan jalan raya
- Jika tayar kenderaan anda rosak teruk sehingga meletup akibat keadaan jalan raya (seperti jalan raya yang terlalu banyak lubang/ lopak dalam), maka, ya, anda boleh membuat tuntutan insurans bagi mendapatkan pampasan. Tuntutan anda itu bagaimanapun boleh dibuat jika anda adalah pemegang polisi komprehensif sahaja.
- Kecurian
- Ada sesetengah pemilik kereta/ motor juga menimpa nasib malang apabila tayar kenderaan mereka dicuri mahupun ditoreh oleh individu tidak bertanggungjawab. Dalam keadaan ini, anda boleh cuba membuat tuntutan insurans atas kerugian yang dialami namun anda perlulah memastikan bahawa anda memiliki polisi insurans komprehensif ataupun polisi insurans pihak ketiga, kebakaran dan kecurian (TPFT).
- Kebakaran
- Sekiranya tayar kereta atau motor anda meletup mahupun rosak akibat kejadian kebakaran, jadi anda bolehlah mengemukakan tuntutan kepada pihak insurans. Namun, sila pastikan anda adalah pemegang polisi komprehensif atau polisi pihak ketiga, kebakaran dan kecurian agar tuntutan anda tidak ditolak.
Tayar saya dah lama, bolehkah claim insurans untuk tukar tayar baru?
Berbeza dengan keadaan atau situasi di atas, anda tidak boleh membuat tuntutan insurans semata-mata untuk menggantikan tayar yang sudah lama, haus dan mulai botak.
Anda tiada pilihan melainkan terpaksa menggunakan wang sendiri bagi menggantikan tayar lama anda itu. Tidak ada satu pelan insurans pun yang akan membolehkan mana-mana pemilik kenderaan claim insurans untuk tayar lama.
4 Tips penting penjagaan tayar kereta
Tayar kereta merupakan salah satu komponen kereta yang teramat penting yang perlu dijaga bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang di atas jalan raya. Selain itu, ia juga perlu dijaga dengan baik agar anda tidak perlu menukar tayar sebelum tiba waktunya dan secara tidak langsung membantu anda menjimatkan ratusan atau bahkan ribuan ringgit.
Selain atas sebab atau keadaan yang tidak dapat dielakkan seperti yang dinyatakan di atas – keadaan jalan raya, kebakaran, kecurian, anda boleh mengekalkan keadaan tayar dalam kondisi terbaik dengan:
Menjaga tekanan angin tayar
Perlu anda tahu bahawa tekanan angin tayar perlu diperiksa pada setiap bulan. Ini kerana apabila tayar kereta anda kurang tekanan, kapasiti muatan tayar akan berkurangan, manakala rintangan putaran roda pula akan bertambah. Ini seterusnya akan menyebabkan haba bertambah dan berlaku kerosakan mekanikal.
Untuk pengetahuan anda, tayar yang kurang tekanan juga akan menyebabkan kereta anda menggunakan petrol yang lebih dari sepatutnya akibat daripada rintangan yang lebih. Selain itu, tayar yang sentiasa mempunyai tekanan yang rendah juga dikatakan akan mempunyai jangka hayat yang lebih pendek.
Periksa keadaan bunga tayar
Purata tayar kereta memiliki kira-kira 8mm kedalaman bunga bagi produk baharu. Apabila mencapai takat 3mm, anda disarankan untuk menggantikan tayar, dan pada kedalaman bunga minimum 1.5mm (sekitar 3¼ permukaan tayar), tayar kereta anda secara teknikal sudah haus sepenuhnya.
Apabila kedalaman bunga pada tayar kurang, maka ia juga secara tidak langsung akan menyebabkan fungsi tayar berkurangan. Ini bermakna, keupayaan ia untuk menyingkirkan air dan cengkaman berkurangan dan jarak membrek juga akan meningkat.
Silang/ tukar posisi tayar kereta
Anda sebenarnya perlu menukar posisi tayar kereta (rotating) setiap 10,000km atau enam bulan sekali bergantung pada keadaan tayar dan juga jenis kenderaan. Silangan tayar ini perlu dibuat bagi mengagihkan paten haus tayar yang berbeza supaya tidak tertumpu pada bahagian tertentu sahaja. Contoh, tayar belakang kereta pada kebiasaannya cenderung untuk mengalami haus jenis flat (tengah), manakala tayar depan pula kerap haus di bahagian bahu (tepi).
Dengan menyilangkan posisi tayar, anda bakal memberi ruang kepada tayar belakang untuk haus pada bahagian bahu, dan tayar depan haus pada bahagian tengah. Ini juga secara tidak langsung boleh memanjangkan jangka hayat tayar kereta anda dan mengurangkan kehausan tidak sekata.
Buat balancing dan alignment
Balancing dan alignment adalah dua perkara yang berbeza, namun anda digalakkan untuk membuat kedua-duanya sekaligus bagi memantapkan kondisi tayar kereta anda.
Balancing perlu dilakukan apabila anda mendapati stereng kereta anda bergegar dengan kuat ketika sedang memandu. Balancing tayar penting bagi memastikan putaran tayar berserta rim seimbang dengan paksi putarannya. Anda disarankan untuk membuat balancing pada tayar setiap 6 bulan sekali bagi memastikan tayar kereta berada dalam keadaan yang baik.
Alignment pula perlu dilakukan apabila anda mendapati stereng kereta anda senget dan tidak selari bersama tayar kereta. Tayar kereta yang sudah haus pada satu bahagian sahaja merupakan petanda bahawa tayar kereta anda memerlukan alignment. Untuk pengetahuan anda, proses alignment tayar kereta perlu dilakukan untuk mendapatkan Toe dan Chamber.
Ini bagi memastikan tayar kereta tersebut dapat berjalan dengan baik dan mencengkam pada jalan raya dengan kuat.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!
Baca juga: