Skip to content
Home » Boleh Ke Nak Klaim Insurans Kereta Kalau Kereta Dicuri Di Kedai Cuci Kereta?

Boleh Ke Nak Klaim Insurans Kereta Kalau Kereta Dicuri Di Kedai Cuci Kereta?

    tuntut insurans curi - cover

    Salah satu komitmen sebagai pemilik kereta adalah menghantar kenderaan untuk dibersihkan ke tempat cuci kereta. Semasa berbuat demikian, ada diantara pemilik kereta ini yang akan menunggu dan mengawasi kereta tersebut sambil melihat pekerja tempat cuci kereta menyelesaikan tugas mereka. Pada masa yang sama, ada juga yang memilih untuk meninggalkan kenderaan mereka untuk pergi ke kedai atau berjalan-jalan kerana malas nak menunggu lama.

    Tapi, jika perkara yang tak dijangka seperti kereta anda dicuri berlaku kepada anda, apakah yang boleh anda lakukan? Bolehkah anda memfailkan tuntutan insurans untuk mendapatkan pampasan bagi kerugian tersebut? Baca artikel ini untuk mengetahui perkara yang anda boleh dan tidak boleh lakukan jika situasi itu terjadi kepada anda.

    Tuntutan insurans untuk kecurian kenderaan

    Pemilik kereta di Malaysia kebiasaannya akan menyerahkan kunci kereta mereka kepada pekerja di tempat cuci kereta dan akan mengambilnya semula beberapa minit atau jam kemudian. Walaupun urus niaga selalunya tidak akan direkodkan, kita sudah terbiasa dengan gaya perniagaan seperti ini.

    Sikap sambil lewa ini sebenarnya mungkin akan menyebabkan masalah salah faham dalam kandungan polisi insuran kereta anda. Mungkin anda mempunyai pelan insurans yang komprehensif, dan anda berfikiran bahawa ia akan menyelamatkan anda daripada setiap masalah. Tetapi pada hakikatnya, terdapat juga beberapa perkara yang polisi anda tidak akan tanggung.

    Bayangkan situasi di mana seorang wanita yang bernama Aisyah ini sedang berkunjung ke pusat beli belah di KL untuk membeli belah. Aisyah nak ambil keretanya yang dibasuh di tempat cuci kereta yang berada di luar pusat beli belah tersebut. Aisyah berpendapat bahawa tidak mengapa untuk menyerahkan kunci keretanya kepada salah seorang pekerja di tempat cuci kereta tersebut dan terus meninggalkan keretanya itu semasa membeli-belah. Kira-kira sejam kemudian, dia kembali untuk mengambil keretanya. Tahu-tahu, keretanya itu telah tiada.

    Salah seorang pekerja di tempat cuci kereta itu menyatakan bahawa dia telah tersilap menyerahkan kunci kereta Aisyah kepada orang yang salah. Kini setelah kereta itu hilang, Aisyah telah memutuskan untuk melakukan apa yang akan dilakukan oleh setiap pemilik kereta. Dia segera menghubungi syarikat insurans untuk mendapatkan bantuan dan memfailkan tuntutan untuk kecurian kereta kerana polisi insurans kenderaan komprehensifnya melindungi kes kecurian. Malangnya, syarikat insurans menolak tuntutannya kerana kejadian itu berlaku akibat daripada kecuaiannya.

    Kenapa dan mengapa kena tolak?

    Dalam kebanyakan kes, syarikat insurans kereta tidak akan membayar pampasan bagi kehilangan kenderaan akibat kecuaian pemilik. Perkara ini sering dinyatakan dalam polisi. Walaupun benar bahawa pelan komprehensif menawarkan perlindungan terhadap kecurian kenderaan, ia hanya terpakai pada situasi di luar kawalan pemilik. Contohnya, kereta anda yang diletakkan tiba-tiba hilang dari tempat letak kereta pusat beli-belah.

    Tetapi jika seperti dalam kes Aisyah, dia dengan rela hatinya memberikan kunci keretanya kepada seseorang telah menunjukkan bahawa dia tahu risikonya dan akan bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku kepada kenderaannya selepas itu. Jadi, sekiranya berlaku kecurian, syarikat insurans akan mengenal pasti kerugian tersebut adalah akibat daripada kecuaian dan menolak tuntutan.

    Apa yang boleh anda buat?

    Secara jujurnya, tiada apa yang boleh anda lakukan jika kereta anda hilang di tempat cuci kereta selain cuba melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. Anda juga boleh menyaman tempat cuci kereta itu untuk kerugian yang terpaksa anda tanggung. Tapi, kedua-dua cara ini mungkin tidak akan mendatangkan hasil seperti yang anda mahukan jika anda tidak mempunyai apa-apa bukti bagi membuktikan kejadian jenayah tersebut.

    Oleh itu, untuk mengelakkan diri anda daripada mengalami situasi sedemikian pada masa hadapan, beringatlah untuk melakukan perkara berikut semasa kunjungan yang seterusnya ke tempat cuci kereta:

    1. Cuci kereta di tempat cuci kereta yang berdaftar – Biasakan diri untuk menghantar kereta anda di tempat cuci kereta yang berdaftar sebanyak mungkin. Ia secara tidak langsung boleh menyelamatkan anda daripada terjebak dengan pelbagai masalah berbanding dengan tempat yang tidak beroperasi dengan lesen yang sah.
    2. Bertegas untuk dapatkan resit – Tidak kiralah pusat cucian kereta yang anda pergi, sentiasa ingat untuk mendapatkan resit atau sebarang dokumen bertulis daripada tempat cuci kereta tersebut. Dalam resit itu, perlu diakui bahawa ada transaksi yang dilakukan. Ia akan berguna apabila anda melaporkan kecurian atau kerosakan pada kereta anda.
    3. Tunggu dan jaga – Daripada meninggalkan kenderaan anda, disarankan agar anda menunggu dan mengawasi kereta anda semasa proses pembersihan selesai. Dengan cara ini, anda tidak akan terlepas pandang tentang apa yang berlaku pada kenderaan anda apabila anda tiada.
    4. Ambil beberapa gambar – Jika anda perlu meninggalkan kereta anda, disyorkan untuk ambil beberapa gambar kenderaan anda bersama dengan pekerja yang sedang mencuci kereta anda itu. Sama seperti resit, gambar boleh menjadi sumber bukti yang baik jika anda perlu melaporkan kecurian atau kerosakan.

    Lindungi kereta anda

    Seperti yang anda ketahui, kehilangan kereta di tempat cuci kereta boleh memberi impak kepada polisi insurans kerana ia tidak dilindungi. Jadi, jika anda berkunjung ke tempat cuci kereta selepas ini, sila lebih berhati-hati.

    Fikir dua kali sebelum menyerahkan kunci kepada pekerja dan tinggalkan kenderaan anda. Ingat untuk mengikuti tip di atas untuk melindungi diri anda dan kereta anda daripada kemalangan.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: