Skip to content
Home » Jangan Pandang Remeh, Ini 6 Kesalahan Trafik Yang Orang Selalu Terlepas Pandang

Jangan Pandang Remeh, Ini 6 Kesalahan Trafik Yang Orang Selalu Terlepas Pandang

    Kesalahan Trafik Yang Orang Selalu Terlepas Pandang

    Jalan raya bukanlah tempat bermain, jadi memang wajarlah pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik dikenakan saman. Mungkin membebankan, tetapi ingat, peraturan jalan raya dikuatkuasakan untuk keselamatan bersama. 

    Walaupun sedar akan risiko kemalangan, sesetengah pengguna jalan raya selamba sahaja melanggar peraturan jalan raya. Antara kesalahan trafik yang sering dilakukan pemandu ialah memotong lampu merah, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memandu di lorong kecemasan dan tidak memakai tali pinggang keledar. Selain kesalahan-kesalahan besar tersebut, ramai pemandu yang terlepas pandang kesalahan-kesalahan trafik lain yang mungkin dilihat tidak signifikan tetapi boleh membawa kepada saman dan kecelakaan.

    Untuk kesedaran bersama, Bjak kongsikan di sini enam kesalahan trafik yang mungkin tidak disedari ramai.

    Meninggalkan kenderaan dengan enjin hidup

    Sesetengah pemandu mungkin menyangka tindakan meninggalkan kenderaan dengan enjin hidup adalah tidak salah.

    Hakikatnya, tindakan tersebut merupakan suatu kesalahan dan anda boleh disaman sebanyak RM300 jika didapati bersalah.

    Tetapi, apakah risiko meninggalkan kenderaan dengan enjin hidup? 

    Walaupun kereta anda diparkir, terdapat dua situasi berbahaya yang mungkin berlaku. 

    Pertama, jika anda tidak menarik brek tangan sepenuhnya, kereta anda berisiko untuk bergerak. 

    Kedua, kereta yang diberhentikan terlalu lama dengan enjin hidup boleh menyebabkan keracunan karbon monoksida. Ini berlaku apabila asap toksik dari ekzos kereta memasuki kereta kerana diberhentikan terlalu lama. Hati-hati, keracunan karbon monoksida boleh membawa maut!

    Jadi, matikan enjin setelah memberhentikan kenderaan anda.

    Penumpang belakang tidak memakai tali pinggang keledar

    Penumpang belakang tidak memakai tali pinggang keledar merupakan satu kesalahan lalu lintas

    Anda pasti sudah tahu bahawa pemandu dan penumpang tempat duduk hadapan wajib memakai tali pinggang keledar semasa dalam perjalanan.

    Tetapi adakah anda tahu bahawa penumpang tempat duduk belakang juga mesti memakai tali pinggang keledar?

    Untuk pengetahuan anda, undang-undang pemakaian tali pinggang belakan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2009 melalui Kaedah-kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar)(Pindaaan 2008) dan pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sedarlah bahawa pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan atau belakang dapat mengurangkan risiko kematian jika terlibat dalam kemalangan. 

    “Mengikut kajian, sekiranya pemandu dan penumpang kenderaan terbabit nahas jalan raya, risiko kematian dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus tanpa beg udara dan meningkat hingga 80 peratus kalau digunakan bersama tali pinggang,” kata Datuk Suret Singh, mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kepada Bernama pada tahun lalu. 

    Sebagai pemandu, bantu ingatkan penumpang anda di hadapan atau di belakang untuk sentiasa memakai tali pinggang keledar semasa perjalanan untuk keselamatan bersama. 

    Tidak meletakkan bayi atau kanak-kanak di kerusi keselamatan khas kanak-kanak

    Tidak meletakkan bayi atau kanak-kanak di kerusi keselamatan khas kanak-kanak merupakan satu kesalahan

    Sekiranya anda membawa anak kecil dalam kereta anda, anda mesti meletakkan mereka di kerusi keselamatan khas kanak-kanak atau ‘Child Restraint System’ (CRS). 

    Menurut MIROS, bermula 1 Januari 2020, kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135cm ke bawah diwajibkan menggunakan CRS mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu R44 atau R129. Berdasarkan laporan Sinar Harian pada 1 Julai 2020, Kementerian Pengangkutan Malaysia meneruskan peraturan ini atas dasar keselamatan kanak-kanak yang menaiki kenderaan. Aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan memfokuskan kepada aspek mendidik, menasihati dan mengingatkan orang ramai tentang kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.

    Buat ibu bapa terutamanya daripada golongan B40, kerusi keselamatan kanak-kanak yang berharga dalam lingkungan RM200 hingga RM600 mungkin agak membebankan.

    Berita baik buat anda yang memerlukan. Demi memastikan penggunaan kerusi keselamatan di dalam kereta, kerajaan menerusi Bajet 2022 memberikan subsidi 50% atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak kepada keluarga B40. Sejumlah RM30 juta disediakan untuk tujuan ini, memanfaatkan 188,000 keluarga B40.

    Infografik tentang penguatkuasaan kerusi keselamatan kanak-kanak

    Lampu brek ketiga tidak berfungsi

    Jika lampu brek ketiga anda tidak berfungsi, anda berdepan risiko untuk disaman sebanyak RM150

    Lampu brek ketiga merupakan langkah keselamatan dan keperluan undang-undang jalan raya. Oleh itu, periksa dahulu lampu brek ketiga dan lampu-lampu lain sebelum memulakan perjalanan anda. 

    Pengelap (wiper) tidak berfungsi

    Seperti yang anda tahu, pengelap atau wiper berfungsi untuk mengelap sisa air hujan serta kotoran sekali gus meningkatkan tahap kebolehlihatan anda semasa memandu.

    Jika wiper anda didapati rosak atau patah, anda boleh disaman sebanyak RM100.

    Oleh itu, selenggara wiper kereta anda dan gantikannya jika sudah haus atau rosak. 

    Hon kereta tidak berfungsi

    Jangan salah guna alat ini. Hon bukanlah alat untuk melepaskan geram apabila terperangkap dalam kesesakan jalan raya. 

    Sebaliknya, hon digunakan untuk memberikan amaran atau makluman kepada pengguna lain tentang keberadaan anda, lebih-lebih lagi pada kawasan titik buta.

    Selain itu, anda juga perlu menekan hon sewajarnya untuk menyedarkan pemandu lain apabila mereka memandu secara berbahaya seperti memotong di sebelah kiri. Anda juga perlu menekan hon apabila menghampiri pejalan kaki untuk memaklumkan kepada mereka bahawa anda melalui jalan tersebut.

    Jika hon anda tidak berfungsi, anda dikira melakukan kesalahan yang membawa kepada saman sebanyak RM70.

    Patuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama

    Semoga perkongsian di atas dapat memberikan kesedaran kepada semua pengguna jalan raya.

    Sekiranya anda pernah melakukan mana-mana kesalahan trafik di atas, tolong jangan ulangi kesalahan tersebut. 

    Selain memelihara keselamatan bersama, pematuhan setiap peraturan jalan raya adalah penting untuk mengelakkan anda daripada disaman. Jadi, sayangi nyawa dan juga wang anda.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga:

    Tags: