Skip to content
Home » Subsidi 50% atau Sehingga RM150 untuk Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak, Mohon Mulai 1 Mac

Subsidi 50% atau Sehingga RM150 untuk Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak, Mohon Mulai 1 Mac

    Subsidi 50% atau Sehingga RM150 untuk Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak

    Kes bayi atau kanak-kanak tercampak keluar dari kereta yang pernah berlaku sebelum ini mungkin menimbulkan keresahan dalam hati mereka yang bergelar ibu atau bapa. Dua tahun sudah, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun nyaris maut setelah tercampak keluar dari sebuah kereta di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) apabila kereta yang dipandu bapanya hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan. Mujur kanak-kanak tersebut sempat diselamatkan oleh seorang pemandu lori yang bertindak pantas mengangkat kanak-kanak berkenaan dan menyerahkannya kepada bapanya. 

    Situasi yang menggentarkan itu pastinya menjadi mimpi ngeri kepada setiap ibu atau bapa. Meskipun malang tidak berbau, ibu bapa atau pemandu mesti melakukan yang terbaik untuk memastikan keselamatan sendiri dan penumpang. Meletakkan anak kecil di kerusi keselamatan kanak-kanak adalah antara tindakan yang bertanggungjawab. Malah, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak telah dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2020. 

    Penguatkuasaan kerusi keselamatan kanak-kanak

    Bermula 1 Januari 2020, kerajaan telah menguatkuasakan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak atau Child Restraint System (CRS) di dalam kenderaan persendirian

    Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135cm ke bawah mesti diletakkan di kerusi keselamatan kanak-kanak mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu R44 atau R129. 

    Berdasarkan laporan Sinar Harian pada 1 Julai 2020, Kementerian Pengangkutan Malaysia meneruskan peraturan ini atas dasar keselamatan kanak-kanak yang menaiki kenderaan. Aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan memfokuskan kepada aspek mendidik, menasihati dan mengingatkan orang ramai tentang kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.

    Sebagai panduan, berikut merupakan panduan tentang penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang disediakan oleh Bernama berdasarkan sumber daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS):

    Penguatkuasaan kerusi keselamatan kanak-kanak

    Subsidi sebanyak 50% atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak kepada keluarga B40

    Demi memastikan penggunaan kerusi keselamatan di dalam kereta, kerajaan menerusi Bajet 2022 memperuntukkan subsidi sebanyak 50% atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak kepada keluarga B40. 

    Sekiranya kerusi keselamatan kanak-kanak tersebut berharga RM300 dan ke bawah, penerima subsidi akan mendapat subsidi sebanyak 50%. Untuk kerusi keselamatan kanak-kanak yang berharga RM301 dan ke atas, subsidi maksimum yang akan diberikan adalah sebanyak RM150.

    Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Bajet 2022, kerajaan menyediakan sejumlah RM30 juta untuk pemberian subsidi ini yang bakal memanfaatkan 188,000 keluarga B40.

    Perincian subsidi sebanyak 50% atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak

    Syarat kelayakan

    Berdasarkan perkongsian daripada The Rakyat Post, pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut untuk memohon subsidi yang ditawarkan:

    1. Tergolong dalam kategori isi rumah B40 (Nota: Rujukan data utama daripada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 berdasarkan maklumat yang diterima oleh LHDN/e-Kasih ICU)
    2. Berumur 21 tahun dan ke atas
    3. Mempunyai anak atau anak angkat berumur 12 tahun dan ke bawah
    4. Warganegara yang menetap di Malaysia
    5. 1 keluarga layak menuntut subsidi untuk 1 kerusi keselamatan kanak-kanak

    Cara permohonan

    Untuk menebus subsidi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak, pemohon perlu menghantar permohonan di laman web www.mycrs.gov.my.

    Laman web ini hanya akan diaktifkan dan dibuka untuk permohonan bermula 1 Mac 2022.

    Cara semak status kelayakan permohonan

    Status kelayakan penerima subsidi ini akan diumumkan pada 1 April 2022.

    Sebagai pemohon, anda boleh menyemak status kelayakan atau kelulusan permohonan anda juga melalui laman web www.mycrs.gov.my bermula 1 April.

    Jika permohonan anda diluluskan, anda boleh menebus subsidi tersebut melalui pembelian dengan harga rebat daripada penjual bertauliah yang akan disenaraikan di laman web MIROS.

    Untuk pengetahuan anda, MIROS akan meluluskan kedai dan vendor yang dilatih sebagai Penasihat Keselamatan Penghuni Kanak-kanak atau Child Occupant Safety Advisor (COSA). Hal ini bagi memastikan pembeli diajar cara yang betul untuk memasang kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta.

    Pastikan aspek keselamatan terjaga 

    Kami percaya tiada ibu atau bapa yang ingin merisikokan nyawa anaknya. Walaupun kos untuk mendapatkan kerusi keselamatan kanak-kanak mungkin membebankan, anda dinasihatkan untuk cuba mendapatkan sekurang-kurangnya kerusi keselamatan kanak-kanak yang paling asas.

    Sekiranya layak, mohonlah subsidi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak mulai 1 Mac ini. Semoga subsidi yang diberikan sedikit sebanyak meringankan beban kewangan anda.

    Di samping itu, pastikan juga setiap aspek keselamatan kenderaan dan pemanduan anda terjaga. Periksa dan selenggara kenderaan anda secara berjadual untuk memastikan kenderaan anda sentiasa berada dalam kenderaan yang baik.

    Pastikan juga kenderaan anda mempunyai perlindungan insurans kereta dan roadtax yang sah. Dengan Bjak, anda boleh pilih untuk membayar insurans dan roadtax secara sekali gus atau ansuran. Pilih mod pembayaran ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL) atau ‘Beli Dahulu Bayar Kemudian’ untuk pembayaran secara ansuran tanpa sebarang faedah. Dapatkan dahulu sebut harga insurans kereta di Bjak secara percuma. 


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga:

    Tags: