Skip to content
Home » Panduan Lengkap Insuran Kereta Takaful di Malaysia

Panduan Lengkap Insuran Kereta Takaful di Malaysia

    Etiqa takaful

    Insurans konvensional dan takaful. Kedua-duanya menyediakan perlindungan dari segi kewangan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka terhadap pemegang polisi. Pemegang polisi akan dilindungi oleh pihak insuran konvensional atau insuran kereta takaful jika berlaku kerosakan pada kenderaan akibat kemalangan atau lain-lain.

    Pertama sekali, untuk mendapatkan perlindungan, anda boleh memilih sama ada untuk membeli produk insurans konvensional ataupun produk insuran kereta takaful. Kedua-duanya menyediakan perlindungan dari segi kewangan, namun masih terdapat perbezaan yang perlu anda ketahui dan fahami. 

    Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai apakah bezanya takaful berbanding insurans konvensional, teruskan membaca artikel ini. 

    Apakah itu insuran kereta takaful?

    Takaful merupakan satu konsep insurans yang berlandaskan hukum syariah di mana ia bebas daripada tiga unsur yang dilarang oleh Islam – riba, gharar (ragu-ragu) dan masyir (judi), yang mana ciri-ciri ini ada dalam insurans konvensional. 

    Juga berbeza dengan insurans konvensional, insuran kereta takaful menggunakan konsep yang berteraskan kerjasama, di mana segala risiko akan ditanggung dan dikongsi bersama oleh syarikat insurans takaful termasuk semua pihak di bawah perlindungan takaful.

    Selain itu, produk takaful juga mengenakan konsep polisi no-claim cashback. Polisi ini bermakna jika anda tidak membuat sebarang tuntutan semasa dalam tempoh perlindungan, maka anda layak untuk menerima rebat tunai daripada syarikat takaful tersebut. Jumlah rebat adalah berbeza-beza mengikut syarikat takaful. 

    Tujuan takaful ditubuhkan adalah sebagai satu alternatif bagi individu khususnya umat Islam beralih daripada membeli produk insurans konvensional kepada produk yang lebih patuh syariah.

    Untuk mengetahui perbezaan lanjut di antara insurans konvensional dengan takaful, sila rujuk ringkasan rajah di bawah:

    Perbezaan insuran kereta takaful dengan insuran konvensional 

    Takaful kereta

    Terdapat banyak bentuk perlindungan takaful yang boleh diperoleh oleh anda seperti takaful perubatan, takaful nyawa, takaful rumah dan takaful kenderaan, termasuklah takaful kereta.

    Di bawah ini akan diterangkan dengan lebih lanjut mengenai produk takaful kereta yang mungkin anda perlu tahu dan fahami.

    Mengenai insuran kereta takaful

    Sama seperti insurans konvensional, insuran kereta takaful turut menawarkan tiga jenis polisi kepada pemilik kenderaan, iaitu polisi jenis komprehensif, polisi pihak ketiga, kebakaran dan kecurian, serta polisi paling asas iaitu polisi pihak ketiga. 

    Polisi takaful komprehensif 

    Polisi takaful kereta komprehensif menawarkan perlindungan yang paling menyeluruh kepada pemilik kereta. Polisi ini melindungi pemilik kereta daripada kerugian atau kerosakan harta benda sendiri dan tuntutan pihak ketiga yang merangkumi kerugian atau kerosakan harta benda pihak terbabit, serta kecederaan atau kematian yang disebabkan oleh kenderaan anda.

    Kebiasaannya, polisi komprehensif diwajibkan untuk kereta baharu dan kereta yang berusia sehingga 10 tahun. 

    Polisi takaful pihak ketiga, kebakaran dan kecurian

    Polisi takaful kereta pihak ketiga, kebakaran dan kecurian menyediakan perlindungan untuk pemandu daripada tuntutan pihak ketiga yang merangkumi kerugian atau kerosakan harta benda, serta kecederaan atau kematian yang disebabkan oleh kenderaan anda.

    Selain itu, polisi ini turut menawarkan perlindungan tambahan yang akan melindungi kenderaan anda jika berlaku kejadian seperti kebakaran atau kecurian.

    Polisi ini lebih sesuai bagi kenderaan yang berusia 10 tahun ke atas dan kenderaan yang jarang digunakan.

    Polisi takaful pihak ketiga 

    Polisi takaful pihak ketiga adalah polisi perlindungan yang paling asas dan hanya melindungi pihak ketiga sahaja. 

    Perlindungan yang diberikan merangkumi kerosakan atau kerugian ke atas harta benda pihak ketiga, serta kecederaan dan kematian pihak tersebut akibat kemalangan yang disebabkan oleh anda.

    Kerosakan pada kenderaan anda perlu dibaiki menggunakan wang anda sendiri.

    Bolehkah orang bukan Islam membeli insuran kereta takaful?

    Ya, boleh. Produk takaful kereta tidak hanya boleh dibeli oleh orang Islam sahaja. Semua individu berhak dan boleh mendapatkannya termasuklah yang bukan beragama Islam. 

    Apakah hukum orang Islam membeli produk insurans konvensional?

    Memandangkan produk insurans konvensional mempunyai ciri-ciri atau unsur yang dilarang oleh Islam iaitu riba’ (faedah), gharar (ragu-ragu) dan juga maysir (judi), maka secara umumnya semua jenis insurans konvensional termasuk insurans konvensional adalah haram untuk dibeli. – Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK), berdasarkan kepada keputusan mengenai perbahasan tentang status insurans konvensional.

    Panduan beli takaful kereta terbaik – Etiqa Takaful, Zurich Takaful, Takaful Malaysia atau Takaful Ikhlas?

    Pastikan ejen berdaftar di bawah MTA

    Untuk makluman anda, semua ejen syarikat yang menawarkan perkhidmatan takaful perlu berdaftar dengan MTA (Malaysian Takaful Association) sebelum boleh mengiklankan dan menjual produk Takaful. Jadi, sila semak sama ada ejen anda itu sudah berdaftar dengan MTA atau tidak sebelum membuat keputusan untuk mendapatkan produk insurans daripadanya. Anda boleh membuat semakan menerusi laman web MTA.

    Bandingkan perlindungan dan manfaat tambahan daripada pelbagai syarikat – Etiqa Takaful, Zurich Takaful, Takaful Malaysia atau Takaful Ikhlas

    Untuk mendapatkan perlindungan yang terbaik, bandingkan dahulu perlindungan percuma atau complimentary coverage yang ditawarkan syarikat-syarikat takaful di Malaysia.

    Cara untuk mengetahui dengan jelas perlindungan percuma yang ditawarkan syarikat takaful adalah dengan membaca product disclosure sheet. Selalunya, anda boleh dapatkan maklumat ini melalui laman web syarikat takaful masing-masing.

    Cek cawangan bengkel panel takaful

    Sila buat semakan mengenai cawangan bengkel panel takaful tersebut. Hal ini kerana kebanyakan syarikat insurans dan takaful hanya membenarkan anda untuk membaiki kereta anda di bengkel panel. Ini juga bagi memastikan bengkel berkenaan menepati standard perkhidmatan yang digariskan oleh pihak takaful.

    Anda disarankan untuk mendapatkan takaful insurans kereta yang mempunyai bengkel panel di seluruh Malaysia. Ini untuk memudahkan anda mendapatkan perkhidmatan pembaikan kereta di mana-mana.

    Bandingkan tahap kualiti dan servis syarikat takaful

    Sebolehnya, dapatkan takaful kereta yang mampu menyediakan servis perkhidmatan pelanggan 24 jam supaya anda boleh mendapatkan bantuan bila-bila masa sahaja yang anda perlukan. 

    Selain itu, ketahui juga proses tuntutan yang disediakan oleh setiap syarikat takaful. Semakin mudah proses tuntutannya, semakin laju urusan tuntutan anda nanti. 

    Di manakah anda boleh dapatkan pelan takaful kereta terbaik?

    Berdasarkan laman web Persatuan Takaful Malaysia atau Malaysian Takaful Association (MTA), terdapat empat syarikat atau pengendali takaful kereta di Malaysia iaitu Etiqa Takaful, Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, dan Zurich Takaful.

    Etiqa Takaful

    Insuran kereta Etiqa Takaful

    Etiqa Takaful merupakan salah satu syarikat takaful kereta terbaik di Malaysia yang mana ia mengikuti prinsip seperti berikut:

    Memberi perlindungan untuk semua pemandu – Pemegang polisi tidak perlu meletakkan senarai nama pemandu lain di dalam polisi kerana Etiqa Takaful menyediakan manfaat perlindungan untuk semua pemandu secara percuma dan automatik tanpa tambahan premium.

    Nilai yang dipersetujui, bukan nilai pasaran – Tuntutan anda akan dibayar mengikut nilai yang dipersetujui semasa pembaharuan. Ini bermakna sekiranya kereta anda dicuri atau rosak teruk (total lost) akibat kemalangan, anda akan diberi pampasan dengan jumlah penuh yang diinsuranskan. 

    Tiada excess – Sesetengah syarikat insurans meminta anda untuk membayar sebahagian kos untuk kerosakan sendiri apabila terlibat dalam kemalangan, yang mana ia dipanggil sebagai excess. Dengan prinsip ‘tiada excess’ yang disediakan oleh Etiqa Takaful ini, maka anda (pemandu berusia 21 tahun ke atas) tidak perlu membayar sebahagian kos untuk kerosakan tersebut.

    Kereta ihsan percuma selepas kemalangan – Etiqa Takaful menawarkan kereta ihsan percuma selama 14 hari. Ia adalah manfaat yang sangat jarang diberikan oleh mana-mana syarikat takaful atau insurans lain dan berguna terutamanya jika anda sangat bergantung kepada satu-satunya kereta anda sebagai pengangkutan harian.

    Takaful Malaysia

    Insuran kereta Takaful Malaysia

    Menerusi myMotor, Takaful Malaysia menyediakan perlindungan untuk kenderaan anda daripada kerugian dan kerosakan serta tanggungjawab undang-undang untuk pihak ketiga. Takaful myMotor menyediakan dua jenis perlindungan untuk dipilih iaitu:

    Perlindungan komprehensif – Pampasan akan diberikan untuk kerugian, atau kerosakan pada kenderaan sendiri akibat daripada kemalangan, kecurian atau kebakaran yang tidak disengajakan. Polisi ini juga turut melindungi pihak ketiga daripada kecederaan, kematian dan kerugian serta kerosakan harta benda; dan

    Perlindungan pihak ketiga, kebakaran dan kecurian – Pampasan akan dibayar sekiranya berlaku kematian, atau kecederaan terhadap pihak ketiga, serta kerosakan atau kerugian pada kenderaan pihak tersebut. Perlindungan pada kenderaan anda bagaimanapun terhad kepada sebarang kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh kebakaran, letupan, kilat, rompakan, pecah rumah atau kecurian sahaja.

    Sama seperti Etiqa Takaful, Takaful Malaysia turut memberikan perlindungan untuk semua pemandu secara percuma. Malah lebih menarik, syarikat ini turut menyediakan perlindungan kemalangan peribadi secara percuma bernilai RM15,000 yang diberikan kepada setiap pemandu dan penumpang sekiranya kematian tidak sengaja atau keilatan kekal ketika dalam perjalanan atau sedang turun dari kenderaan.

    Selain itu, pemegang polisi juga berpeluang untuk mendapatkan pulangan tunai sekiranya tidak pernah membuat tuntutan sebanyak 7.5%.

    Takaful Ikhlas

    Insuran kereta Takaful Ikhlas

    Takaful Ikhlas juga merupakan salah satu syarikat takaful kereta terbaik di Malaysia yang turut menyediakan perlindungan komprehensif bagi kerosakan atau kerugian pada kenderaan anda akibat kemalangan, kecurian atau kebakaran yang tidak disengajakan. Ia juga turut melindungi daripada liabiliti terhadap pihak ketiga untuk kecederaan atau kematian, kerosakan atau kerugian harta benda.

    Selain itu, Takaful Ikhlas memberikan manfaat percuma untuk 10 pemandu tambahan, selain turut menyediakan insurans kemalangan peribadi khusus untuk pemilik dengan jumlah perlindungan sebanyak RM10,000. Bukan itu sahaja, syarikat takaful ini turut menawarkan pengecualian excess wajib untuk pemandu yang tidak dinamakan. Manfaat lain ialah bayaran balik fi untuk penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam sehingga RM100, semasa kereta anda dibaiki di panel workshop.

    Zurich Takaful

    Insuran kereta Zurich Takaful

    Sama seperti Takaful kereta yang lain, Zurich Takaful turut menyediakan perlindungan terhadap liabiliti kepada pihak ketiga untuk kecederaan atau kematian, kerosakan harta benda pihak ketiga dan juga kerosakan pada kenderaan sendiri akibat daripada kemalangan, kecurian atau kebakaran. 

    Polisi komprehensif Takaful Zurich menerusi produk Z-Driver Takaful menyediakan perlindungan tambahan kemalangan peribadi untuk peserta dengan mengenakan bayaran serendah RM15 setahun untuk perlindungan sehingga RM175,000, tertakluk kepada terma dan syarat. Pelan tambahan ini dapat melindungi anda serta seluruh keluarga anda atau mana-mana penumpang lain di dalam kereta anda. 

    Selain itu, anda juga boleh menerima perlindungan percuma pemandu dinamakan untuk kegunaan peribadi.  Apa yang lebih menarik, anda juga boleh memilih untuk menambah perlindungan waiver of betterment (pengecualian kos penambahbaikan) yang mana hanya sesetengah syarikat insurans sahaja menyediakan perlindungan tambahan ini.

    Cara claim takaful selepas terlibat kemalangan kereta

    Untuk tuntutan kerosakan sendiri (Own Damage Claim)

    1. Buat penilaian segera kerosakan pada kenderaan anda. Hubungi syarikat takaful anda jika kereta anda mengalami kerosakan yang teruk dan memerlukan perkhidmatan tunda.
    2. Ambil gambar kenderaan termasuk kenderaan yang terbabit dalam kemalangan tersebut.
    3. Saling tukar maklumat peribadi dengan pihak yang turut terlibat dengan mengambil nombor telefon, nama penuh, dan nombor kad pengenalan dengan cara yang baik.
    4. Segera bawa kereta anda ke balai polis dan buat laporan dalam tempoh 24 jam.
    5. Bawa kereta anda ke bengkel panel takaful untuk membolehkan kerosakan dibaiki di bawah tuntutan insurans
    6. Sediakan dan serahkan dokumen untuk proses tuntutan. Dokumen-dokumen yang diperlukan termasuk salinan asal laporan polis, polisi insurans takaful, salinan kad pengenalan dan salinan lesen memandu.
    7. Setelah selesai, pihak bengkel akan ambil alih proses tuntutan anda untuk pembaikan kereta.

    Nota: Tuntutan kemalangan sendiri hanya boleh dilakukan oleh pemegang polisi insurans kereta 1st party (polisi komprehensif) dan ia bagi membaiki kerosakan pada kenderaan sendiri. 

    Tuntutan pihak ketiga

    1. Hubungi syarikat takaful anda atau Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan yang menyediakan khidmat pelanggan 24 jam di talian 15500 jika kereta anda mengalami kerosakan yang teruk dan memerlukan perkhidmatan trak tunda
    2. Kumpulkan bukti dengan i) catatkan lokasi dan masa kemalangan, dan ii) ambil gambar kejadian kemalangan serta kerosakan kenderaan yang terlibat
    3. Bertukar maklumat dengan pihak lain yang terlibat seperti i) nombor lesen memandu, ii) nombor telefon, iii) model dan nombor pendaftaran kenderaan, dan iv) syarikat insurans/takaful
    4. Buat laporan polis dalam tempoh 24 jam 
    5. Maklumkan kepada syarikat takaful anda dalam masa 7 hari dari tarikh kemalangan dan kemukakan tuntutan secepat mungkin
    6. Hantar kereta anda ke bengkel panel syarikat takaful
    7. Dapatkan adjuster untuk menaksir kerosakan kereta anda
    8. Kemukakan kepada syarikat insurans/takaful pihak lain dokumen berikut:
    • Salinan asal laporan polis
    • Salinan kad pengenalan dan lesen memandu
    • Sijil pemilikan kenderaan (salinan)
    • Laporan adjuster
    • Bil kos pembaikan kereta anda
    • Dokumen polis yang menyatakan pihak yang dikompaun bagi kesalahan jalan raya
    1. Setelah selesai, pihak bengkel akan mengambil alih proses tuntutan insurans anda (pembaikan kereta).

    Nota: Anda boleh membuat tuntutan pihak ketiga jika terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan lain, yang bukan berpunca daripada anda. Tuntutan ini boleh dibuat meskipun anda hanya pemegang polisi pihak ketiga sahaja.

    Perkara yang tidak dilindungi dalam pelan takaful kereta

    Meskipun anda merupakan pemegang takaful komprehensif, namun anda mungkin tidak akan menerima perlindungan secara menyeluruh. Antara perkara-perkara yang tidak dilindungi dalam pelan takaful adalah:

    1. Kecederaan atau kematian pada diri sendiri akibat kemalangan yang berpunca daripada diri sendiri
    2. Kerosakan kereta akibat bencana alam – untuk memastikan anda boleh membuat tuntutan jika kereta rosak akibat kejadian seperti banjir, tanah runtuh atau bencana alam lain, anda boleh mendapatkan perlindungan tambahan peril khas di dalam polisi komprehensif ketika memperbaharui insurans. 
    3. Liabiliti terhadap tuntutan daripada penumpang kenderaan anda – anda bagaimanapun boleh memilih untuk mendapatkan perlindungan ini dengan membeli perlindungan tambahan liabiliti undang-undang kepada penumpang.
    4. Kerosakan kereta akibat kemalangan ketika pemanduan separa sedar (mabuk).
    5. Kehilangan aksesori kereta – jika anda memiliki perlindungan tambahan aksesori kereta tertentu, maka anda boleh membuat tuntutan bagi aksesori tersebut. 
    6. Kerosakan kereta akibat rusuhan awam – polisi takaful kereta tidak melindungi kerosakan kereta yang disebabkan oleh rusuhan atau perbalahan. Bagaimanapun, perlindungan akan diberikan jika anda memiliki perlindungan tambahan rusuhan awam di dalam polisi anda itu. 

    Dapatkan pelan takaful terbaik untuk kereta anda

    Semoga artikel ini dapat membantu anda mendapatkan pelan takaful yang terbaik buat kenderaan anda. Bandingkan dahulu keempat-empat jenama takaful yang ada supaya anda boleh mendapatkan pelan paling komprehensif dengan harga yang terbaik.

    Untuk lebih mudah, anda juga boleh mendapatkannya secara online di Bjak. Bandingkan keempat-empat pelan takaful secara sekaligus menerusi platform kami. Dapatkan dahulu sebut harga takaful kereta untuk mulakan. 


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga:

    Tags: