Skip to content
Home » Peristiwa Bersejarah di Malaysia Tahun 2021

Peristiwa Bersejarah di Malaysia Tahun 2021

    Peristiwa Bersejarah di Malaysia Tahun 2021

    Memandangkan kita makin menghampiri tahun 2022, ini waktu yang baik untuk kita melihat semula apa yang telah kita kecapi sepanjang tahun ini. Sama ada kecil atau besar, kemenangan tetap perlu diraikan, disamping mula merancang untuk tahun yang lebih baik.

    Negara Malaysia telah menempa kejayaan, tidak kurang menempuh pelbagai cabaran sepanjang tahun 2021. Dalam kita menilai pencapaian peribadi, marilah kita belajar daripada beberapa peristiwa bersejarah di Malaysia pada tahun ini.

    Darurat

    Tempoh: 11 Januari – 1 Ogos 2021 (ditamatkan di Sarawak pada 3 November 2021)

    Pengumuman darurat di Malaysia 2021

    Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara berkuat kuasa pada 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021, dalam usaha menangani penularan Covid-19. 

    Tidak seperti di negeri-negeri lain, darurat di negeri Sarawak dilanjutkan bermula 2 Ogos sehingga 2 Februari 2022, untuk mengekang wabak Covid-19. Pelanjutan darurat di Sarawak sekali gus menggantung pilihan raya negeri di Bumi Kenyalang tersebut. Pada ketika itu, Dewan Undangan Negeri Sarawak dijangka dibubarkan pada 7 Jun setelah mencapai tempoh matang.

    Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan untuk menamatkan proklamasi darurat di Sarawak berkuat kuasa pada 3 November 2021, lebih awal dari tarikh asal, lalu memberi ruang kepada pilihan raya negeri Sarawak. 

    MCO 2.0 di Wilayah-wilayah Persekutuan dan lima buah negeri lain

    Tempoh: 13 – 26 Januari 2021

    MCO 2.0 di Wilayah-wilayah Persekutuan dan lima negeri lain

    Kerajaan mengembalikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, mulai 13 hingga 26 Januari 2021.

    Selain sekatan perjalanan antara negeri dan daerah, perhimpunan sosial secara fizikal seperti majlis perkahwinan, persidangan, perarakan keagamaan, mesyuarat, seminar, kursus, dan aktiviti sukan berkumpulan juga tidak dibenarkan.

    Ketibaan vaksin Covid-19 pertama di Malaysia

    Tarikh: 21 Februari 2021

    Ketibaan vaksin Covid-19 pertama di Malaysia

    Malaysia akhirnya menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 – vaksin Pfizer-BioNTech pada 21 Februari 2021, menjelang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

    Pendaftaran secara sukarela vaksin AstraZeneca

    Tarikh: 2 Mei 2021

    Pendaftaran secara sukarela vaksin AstraZeneca

    268,000 orang di Selangor dan Kuala Lumpur mendaftar untuk vaksin AstraZeneca pada 2 Mei 2021. Disebabkan permintaan yang tinggi, semua slot diambil dalam masa 3 jam 20 minit sahaja.

    Kerajaan menawarkan pendaftaran secara sukarela untuk vaksin AstraZeneca di Lembah Klang atas dasar “first click, first-served“. Langkah itu dibuat berikutan kebimbangan yang dibangkitkan mengenai keselamatan vaksin.

    Pusingan kedua untuk pendaftaran secara sukarela vaksin AstraZeneca

    Tarikh: 23 Mei 2021

    Pusingan kedua untuk pendaftaran secara sukarela vaksin AstraZeneca

    Berbeza dengan pendaftaran pertama yang terhad kepada penduduk di Lembah Klang, pusingan kedua pendaftaran secara sukarela untuk vaksin AstraZeneca diperluaskan kepada mereka di Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

    Semua slot yang tersedia diambil dalam masa kurang daripada 90 minit. Selain itu, disebabkan trafik yang tinggi, ramai yang meluahkan kekecewaan di media sosial ekoran gangguan di laman pendaftaran ketika mencuba untuk mendapatkan slot.

    Perlanggaran tren LRT Kelana Jaya

    Tarikh: 24 Mei 2021

    Perlanggaran tren LRT Kelana Jaya

    Dua tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung berhampiran stesen KLCC pada 24 Mei 2021, jam 8.33 malam. Kemalangan tersebut melibatkan sebuah tren yang mengangkut penumpang dan sebuah lagi tren kosong yang sedang menjalani ujian. Akibat perlanggaran tersebut, 47 penumpang mengalami kecederaan parah, manakala 166 yang lain cedera ringan.

    Susulan kejadian itu, Prasarana Malaysia Bhd memberikan pampasan RM1,000 kepada kesemua 213 penumpang yang terlibat dalam kemalangan itu. Syarikat itu juga menanggung kos perubatan mereka yang dimasukkan ke hospital. Selain itu, mereka yang menghadapi kehilangan pendapatan sementara akibat kemalangan itu turut menerima pampasan.

    ‘Lockdown’ di seluruh negara

    Tempoh: 1 – 14 Jun 2021

    'Lockdown' di seluruh negara

    Malaysia memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) selama 14 hari dari 1 hingga 14 Jun 2021.

    Semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential services) dalam tempoh tersebut.

    Keputusan itu dibuat berikutan peningkatan kes Covid-19 yang melebihi paras 8,000 kes dengan lebih 70,000 kes aktif. Ekoran peningkatan kes jangkitan, kapasiti hospital di negara ini untuk merawat pesakit Covid-19 juga berkurang ketika itu. 

    1 perak dan 1 gangsa buat Malaysia di Sukan Olimpik Musim Panas Tokyo 2020

    Tempoh: 23 Julai – 8 Ogos 2021

    1 perak dan 1 gangsa buat Malaysia di Sukan Olimpik Musim Panas Tokyo 2020

    Setelah setahun penangguhan akibat pandemik Covid-19, Sukan Olimpik Musim Panas 2020 berlangsung di Jepun dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

    Malaysia membawa pulang 2 pingat; pingat perak sumbangan pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin manakala pingat gangsa menerusi pemain badminton kebangsaan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam acara beregu lelaki.

    Untuk rekod, Datuk Mohd Azizulhasni Awang atau The Pocket Rocketman“, memenangi gangsa dalam acara keirin individu pada Sukan Olimpik Musim Panas 2016 di Rio de Janeiro.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri

    Tarikh: 16 Ogos 2021

    Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri

    Setelah memegang jawatan selama 17 bulan, Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021, kerana kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen Dewan Rakyat. Peletakan jawatan beliau sekali gus membubarkan kabinet Perikatan Nasional (PN).

    Susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri sementara sehingga pemilihan Perdana Menteri baharu.

    Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9

    Tarikh: 21 Ogos 2021

    Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9

    Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kesemua 220 Ahli Parlimen menyerahkan akuan berkanun mencalonkan Perdana Menteri yang baharu. Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu juga diadakan berhubung pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

    Daripada 220 Ahli Parlimen, 114 telah mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri, yang merupakan majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu. Susulan itu, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu pada 21 Ogos 2021.

    3 emas dan 2 perak buat Malaysia di Sukan Paralimpik Musim Panas Tokyo 2020

    Tempoh: 24 Ogos – 5 September 2021

    3 emas dan 2 perak buat Malaysia di Sukan Paralimpik Musim Panas Tokyo 2020

    Kontinjen Malaysia membawa pulang 3 emas dan 2 perak dalam Sukan Paralimpik, melepasi sasaran tiga emas. Pencapaian itu menjadi pencapaian terbaik Malaysia sejak bertanding dalam Paralimpik pertama pada tahun 1972 di Heidelberg, Jerman. Sesungguhnya, pemenang pingat dan seluruh kontinjen telah membanggakan negara dengan pencapaian mereka. Berikut adalah senarai pingat yang dimenangi oleh Malaysia dalam Sukan Paralimpik:

    PingatNamaSukanAcara
    EmasAbdul Latif RomlyOlahragaLompat jauh lelaki T20
    EmasCheah Liek HouBadmintonPerseorangan lelaki SU5
    EmasBonnie Bunyau GustinPowerliftingLelaki 72 kg
    PerakJong Yee KhiePowerliftingLelaki 107 kg
    PerakChew Wei LunBocciaIndividu campuran BC1

    Malaysia hampir memenangi satu lagi emas dalam acara lontar peluru lelaki F20 dengan rekod dunia baharu bagi acara tersebut. Bagaimanapun, Muhammad Ziyad Zolkefli diklasifikasikan sebagai Tidak Mula atau Did Not Start (DNS) kerana didakwa tidak masuk ke bilik panggilan tepat pada masanya. Sudah tentu, kejadian tersebut merupakan satu pengajaran yang pahit untuk ditelan, tetapi negara memuji Ziyad atas pencapaiannya yang luar biasa. 

    Gelembung pelancongan Langkawi

    Tarikh: 16 September 2021

    Gelembung pelancongan Langkawi

    Langkawi menjadi gelembung pelancongan domestik pertama negara berkuat kuasa pada 16 September 2021. Berikutan itu, individu di Malaysia yang telah divaksin sepenuhnya dibenarkan melancong ke Langkawi. Sementara itu, individu di bawah umur 18 tahun yang melancong ke Langkawi mesti ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

    Selain daripada penggunaan kemudahan di hotel dan inap desa, aktiviti pelancongan dan kebudayaan lain boleh dijalankan, tertakluk kepada SOP am Fasa 4 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    90% populasi dewasa lengkap vaksin Covid-19

    Tarikh: 10 Oktober 2021

    90% populasi dewasa lengkap vaksin Covid-19

    Pada 10 Oktober 2021, Malaysia mencapai sasaran 90% populasi dewasa lengkap dua dos vaksin Covid-19

    Untuk rekod, Malaysia melancarkan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 pada 24 Februari 2021.

    Banjir kilat di Semenanjung Malaysia

    Tarikh: 22 Oktober & 4 November 2021

    Banjir kilat di Semenanjung Malaysia

    Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dan aliran lumpur, mengakibatkan kerosakan serta pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara. 

    Menurut reliefweb, setakat 22 Oktober, banjir merosakkan 260 buah rumah, dan lebih 1,000 orang di negeri-negeri terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. 

    Dalam laporan lain oleh reliefweb, setakat 4 November, banjir merentasi Perlis, Kedah, Johor dan Melaka menyebabkan 890 orang dipindahkan ke 17 pusat pemindahan sementara.

    Pilihan raya negeri Melaka

    Tarikh: 20 November 2021

    Pilihan raya negeri Melaka

    Pilihan raya negeri Melaka pada 20 November 2021 menyaksikan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri baharu setelah memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. Berikutan itu, ADUN Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang ke-13.

    Pilihan raya Melaka dilaksanakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu.

    Laluan perjalanan lengkap vaksin Malaysia-Singapura

    Tarikh: 29 November 2021

    Laluan perjalanan lengkap vaksin Malaysia-Singapura

    Malaysia dan Singapura mencapai kata sepakat untuk melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura (VTL) berkuat kuasa pada 29 November 2021. VTL dapat dilaksanakan susulan kejayaan Malaysia dan Singapura yang mencapai lebih daripada 95% kadar vaksinasi bagi populasi dewasa. 

    VTL membolehkan individu yang divaksin sepenuhnya memasuki mana-mana negara tanpa kuarantin. Bagaimanapun, ini tertakluk kepada penilaian Covid-19 dan keperluan lain yang ditetapkan oleh negara destinasi.

    Setakat ini, hanya Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura sahaja yang tersedia. VTL untuk negara lain akan disediakan secara berperingkat tertakluk kepada penilaian risiko.

    Ketahui keperluan dan prosedur untuk mendaftar untuk VTL dalam artikel kami yang lalu.

    Banjir kilat di lapan buah negeri di Semenanjung Malaysia

    Tempoh: 17 Disember 2021 – masih berlaku di beberapa buah negeri

    Banjir kilat di lapan negeri di Semenanjung Malaysia

    Tragedi menimpa ramai penduduk di Semenanjung Malaysia apabila banjir kilat melanda lapan buah negeri, meragut nyawa serta mengakibatkan lebih 71,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. Lapan buah negeri yang terjejas banjir ialah Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

    Kami telah kongsikan kejadian banjir tersebut, bantuan yang diberikan kepada mangsa dan prosedur tuntutan insurans untuk kenderaan yang rosak akibat banjir dalam artikel kami yang lepas. 

    Pilihan raya negeri Sarawak

    Tarikh: 18 Disember 2021

    Pilihan raya negeri Sarawak

    Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti dua pertiga, mengekalkan kuasa pada pilihan raya negeri Sarawak ke-12. Gabungan itu memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN, termasuk satu yang kekal sementara.

    GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

    Akhiri tahun ini dengan penuh semangat

    Apakah yang anda boleh pelajari daripada pelbagai peristiwa yang telah kita lalui tahun ini?

    Sambil kita belajar daripada peristiwa lalu dan bersiap sedia untuk tahun 2022, gunakan kesempatan ini untuk menyelesaikan perkara yang belum dilaksanakan. 

    Selain itu, kami ingin mengingatkan anda bahawa tarikh akhir pembaharuan roadtax ialah 31 Disember ini. Jangan tunggu lagi. Kurang daripada 5 minit diperlukan untuk anda renew kedua-kedua insurans dan roadtax di Bjak. Hanya tunggu di rumah kerana kami akan menghantar roadtax anda, terus ke depan pintu anda.


    Bjak ialah salah satu platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menawarkan 15 jenama insurans. Dapatkan sebut harga insurans kereta percuma di Bjak.my dan renew insurans kereta dan roadtax secara online dalam hanya 5 minit.