Lebuh raya di Malaysia kini dipenuhi dengan jutaan kenderaan setiap hari, tanpa mengira musim. Dalam kesesakan itu, banyak kemalangan juga dilaporkan sering berlaku membabitkan pelbagai jenis kenderaan. Memandu di lebuh raya sebenarnya berisiko jika keselamatan tidak dijaga.
Memetik laporan Berita Harian, analisa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati, masalah utama keselamatan di lebuh raya adalah pemanduan melebihi had laju, dengan risiko kemalangan maut dan kecederaan parah bertambah tinggi apabila terdapat objek berbahaya di kawasan tepi lebuh raya yang tidak dilindungi penghadang jalan.
Pada artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda sebagai pemandu mengenai beberapa perkara penting yang perlu diberikan perhatian apabila memandu di lebuh raya untuk keselamatan anda, penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Kelajuan
Apabila di lebuh raya, ramai yang merasa ‘sedap’ dan terlalu selesa memandu sehingga mengabaikan had yang ditetapkan dan seterusnya bertindak memandu dengan terlalu laju. Ia sering berlaku terutamanya apabila lebuh raya dilihat tidak begitu sesak dan padat dengan kenderaan.
Sikap yang boleh dianggap tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja boleh membahayakan diri sendiri malah juga pengguna jalan raya lain. Sebaiknya, cuba kekalkan dan ikut kelajuan yang disyorkan. Contohnya jika di bahu jalan lebih raya memaparkan had kelajuan adalah 110km/j, maka ikut sahajalah had itu. Ia ditetapkan bagi keselamatan anda.
Lorong yang betul
Jika dilihat, salah satu kesilapan yang sering dilakukan oleh ramai pemandu adalah memandu di lorong yang salah. Lorong paling kanan sepatutnya digunakan untuk memotong, tetapi sering digunakan sebagai lorong memandu pada kelajuan biasa.
Sebagai contoh jika anda bergerak dengan perlahan di lorong memotong, ia secara tidak langsung boleh menjadi bahaya dan menyebabkan berlakunya pelanggaran.
Selain lorong memotong, ramai pemandu juga memandu di lorong kecemasan untuk mempercepatkan perjalanan mereka. Ini adalah salah di sisi undang-undang. Ia bukan sahaja mengganggu kenderaan kecemasan yang akan melalui jalan itu, malah juga boleh menambah kesesakan jalan raya.
Jadi, pastikan anda memandu di lorong yang betul ya!
Menukar lorong
Menukar lorong adalah antara gerakan pemanduan yang sangat penting, terutamanya di lebuh raya. Kesilapan pemandu menukar lorong dengan cara dan waktu yang tidak betul semestinya boleh membahayakan pengguna lain, terutamanya penunggang motosikal.
Sebelum menukar lorong, pastikan anda menyalakan lampu signal. Meskipun mudah sahaja untuk melakukannya, namun masih ramai dalam kalangan pemandu yang mengambil mudah tentang perkara ini. Selepas nyalakan signal, anda janganlah bertindak menukar terus lorong. Lihat dulu keadaan sekeliling menerusi cermin sisi dan cermin pandang belakang. Jika selamat, baru tukar lorong anda.
Jarak antara kenderaan
Di lebuh raya, elak memandu dengan terlalu dekat di antara kenderaan. Anda tidak tahu apa yang menanti di depan. Jika anda mengekori kenderaan di hadapan dengan terlalu dekat, ia berisiko untuk menyebabkan kemalangan, lebih-lebih lagi jika kenderaan berkenaan membrek secara mengejut.
Sebaiknya, amalkan peraturan 3 saat ketika memandu. Ia akan memberi masa untuk anda bertindak balas andai kata kenderaan di hadapan brek secara mengejut atau melanggar kenderaan lain.
Memotong
Aktiviti memotong sememangnya kerap dilakukan di lebuh raya. Pertimbangan dan masa yang betul adalah perkara penting untuk diambil kira sebelum memotong. Nilaikan kelajuan kereta di hadapan anda, dan perhatikan kenderaan di lorong bersebelahan atau yang menghampiri dari belakang.
Jika anda rasa sudah selamat, maka nyalakan signal bagi memberi amaran kepada kenderaan berhampiran bahawa anda ingin memotong. Selepas memotong, sebaiknya anda bina jarak antara kenderaan anda dengan kenderaan yang dipotong bagi memastikan lebih selamat.
Pandang cermin kereta
Ketika sedang memandu, penting untuk anda sentiasa melihat cermin sisi kiri dan kanan serta cermin pandang belakang bagi memantau keadaan sekeliling. Biasakan diri untuk melihat cermin-cermin ini terutamanya jika anda ingin menukar lorong atau memotong.
Berjaga-jaga dengan titik buta kerana cermin kereta anda mungkin tidak dapat melihat secara keseluruhan. Untuk lebih membantu anda, pasang cermin titik buta (cermin kecil) pada cermin sisi kereta anda supaya lebih selamat dan membantu memberi pandangan yang lebih luas.
Pit stop
Ketika memandu untuk perjalanan jauh di lebuh raya, anda disarankan untuk berhenti dan berehat seketika beberapa jam sekali. Ia bagi mencergaskan semula diri anda sebelum meneruskan pemanduan. Ingat, keletihan pada pemandu boleh jadi sangat merbahaya.
Jika mengantuk, tidur seketika di tempat yang betul seperti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau tukar pemandu (pastikan pemandu ada lesen memandu yang sah) jika anda tidak berseorangan.
Minyak kereta
Jangan memandu dengan paras minyak yang sudah hampir habis. Di lebuh raya, pada kebiasaannya stesen minyak berada pada jarak yang agak jauh antara satu sama lain.
Jadi bagi mengelakkan kereta secara tiba-tiba berhenti/ rosak di lebuh raya, pastikan anda penuhkan tangki minyak kereta anda terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Ia sangat penting terutamanya untuk perjalanan yang jauh.
Kad Touch ‘n Go
Apabila menggunakan lebuh raya, anda pastinya akan melalui tol. Jadi, pastikan kad Touch ‘n Go anda mempunyai baki yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan. Jika bakinya dirasakan kurang, sila tambah nilai dengan kadar segera. Anda boleh juga lakukannya secara online menerusi aplikasi Touch ‘n Go e-wallet, atau buat di mana-mana stesen petrol, kedai serbaneka dan lain-lain.
Kerosakan kereta
Jika kereta anda rosak ketika sedang memandu, sila bertenang dan ikut sahaja tips yang pernah kami kongsikan sebelum ini. Jangan berasa gelisah atau terlalu risau ya. Anda boleh sahaja dapatkan bantuan daripada syarikat lebuh raya yang anda lalui ataupun syarikat insurans anda.
Dalam pada itu, anda dinasihatkan untuk menyimpan nombor hotline insurans anda untuk memudahkan anda kelak.
Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.
Baca juga: