Skip to content
Home » Insurans Kereta: Perlukah Ambil Perlindungan Liabiliti Undang-Undang kepada Penumpang?

Insurans Kereta: Perlukah Ambil Perlindungan Liabiliti Undang-Undang kepada Penumpang?

    penumpang saman pemandu?

    Bayangkan anda menumpangkan seorang rakan dari tempat kerja ke rumah pada suatu petang. Dalam perjalanan, tiba-tiba, anda terlanggar belakang sebuah kereta. Akibat pelanggaran yang kuat, rakan anda mengalami kecederaan serius di kepala. Walaupun kejadian tersebut tidak disengajakan, rakan anda boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap anda kerana kecederaannya adalah berpunca daripada kecuaian anda.

    Persoalannya, adakah insurans kereta anda akan menanggung kos yang dituntut oleh rakan anda sebagai penumpang atas kecederaannya?

    Untuk menjawab persoalan tersebut, mari kita fahami tentang perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang.

    Maksud perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang

    Sebelum kita pergi lebih lanjut, anda perlu tahu bahawa perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang tidak termasuk dalam polisi asas insurans kereta, tidak kiralah sama ada anda mengambil insurans kereta 1st party, insurans pihak ketiga, kebakaran dan kecurian atau insurans kereta third party. Anda perlu mendapatkan perlindungan tambahan ini secara berasingan dengan bayaran premium tambahan. 

    Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang?

    Perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang merujuk kepada perlindungan terhad kepada anda atau pemandu yang dibenarkan daripada sebarang liabiliti undang-undang atas kematian atau kecederaan tubuh badan penumpang akibat kecuaian pemanduan anda atau pemandu yang dibenarkan. 

    Jika anda memiliki perlindungan tambahan ini, insurans anda akan menanggung kerugian liabiliti anda atau pemandu yang dibenarkan terhadap mana-mana penumpang yang dibawa di dalam, semasa menaiki, memasuki atau turun dari kereta anda.

    Berdasarkan situasi di perenggan pertama, lihat contoh di bawah untuk memahami bagaimana perlindungan ini dapat memberi manfaat kepada anda.

    Contoh: Rakan anda yang mengalami kecederaan serius di kepalanya akibat kecuaian pemanduan anda mengambil tindakan undang-undang terhadap anda. Anda dibuktikan bersalah dan dikehendaki untuk membayar kos kerugian kepada penumpang tersebut. Sekiranya anda memiliki perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang, insurans anda akan membayar kos kerugian yang ditanggung akibat liabiliti ini. Tanpa perlindungan tambahan ini, anda perlu mengeluarkan wang anda sendiri untuk membayar kos kerugian yang dituntut. 

    Pengecualian perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang

    Untuk pengetahuan anda, perlindungan ini adalah terhad dan tidak merangkumi semua situasi. 

    Pihak insurans kereta tidak menanggung kos kerugian dalam situasi-situasi di bawah:

    1. Kematian atau kecederaan tubuh badan mana-mana penumpang yang dibawa untuk sewaan atau mengutip tambang;
    2. Kematian atau kecederaan tubuh badan mana-mana orang di mana kematian atau kecederaan tersebut berpunca daripada dan semasa orang berkenaan melaksanakan tugasan dengan Anda atau dengan Pemandu Dibenarkan;
    3. Kerosakan terhadap harta kepunyaan, atau di bawah jagaan atau di bawah kawalan atau diamanahkan kepada Anda atau Pemandu Dibenarkan dan/atau mana-mana Ahli Keluarga Anda atau Ahli Keluarga Pemandu Dibenarkan;
    4. Liabiliti kepada mana-mana orang yang juga Ahli Keluarga Anda dan/atau Ahli Keluarga Pemandu Dibenarkan yang menjadi penumpang di dalam atau di atas Kereta Anda kecuali dia dikehendaki dibawa dengan sebab atau bagi tujuan melaksanakan kontrak pekerjaannya dengan Anda atau Pemandu Dibenarkan dan/atau majikannya;
    5. Liabiliti yang disebabkan oleh penumpang yang menaiki atau turun dari Kereta Anda;
    6. Apa-apa tuntutan yang dibawa terhadap Anda oleh mana-mana pemandu Kereta Anda sama ada dibenarkan atau tidak;
    7. Apa-apa tuntutan yang dibawa ke mahkamah terhadap mana-mana orang di mana-mana negara di luar Malaysia, Singapura atau Brunei; dan/atau;
    8. Semua kos dan perbelanjaan perundangan yang tidak tertanggung atau boleh dituntut balik di Malaysia, Singapura dan Brunei.

    Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk polisi insurans kereta anda untuk mengetahui pengecualian bagi perlindungan tambahan ini serta terma dan syarat

    Adakah anda wajib mendapatkan perlindungan ini? 

    Di Malaysia, anda tidak diwajibkan untuk mendapatkan perlindungan ini. 

    Tetapi jika anda ingin memandu kereta anda di Singapura, anda dikehendaki di bawah undang-undang Singapura untuk mempunyai perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang

    Berapakah yang perlu anda bayar untuk mendapatkan perlindungan ini? 

    Asasnya, anda perlu membayar 25% daripada jumlah premium polisi pihak ketiga untuk mendapatkan perlindungan tambahan ini. 

    Bolehkah tuntutan dibuat sekiranya anda membawa penumpang melebihi had maksimum?

    Jika anda membawa penumpang melebihi had maksimum ketika kejadian, liabiliti yang ditanggung insurans anda akan dihadkan kepada bilangan had maksimum penumpang yang dinyatakan pada kenderaan yang didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

    Oleh itu, jika anda membawa penumpang melebihi had penumpang dan terlibat dalam kemalangan, insurans anda tidak akan membayar tuntutan secara penuh. Sebaliknya, insurans anda akan membahagikan tuntutan yang dibuat di bawah perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang mengikut formula di bawah:

    Formula pengiraan tuntutan sekiranya membawa penumpang melebihi had penumpang

    Apakah perbezaan antara perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang dan perlindungan liabiliti penumpang di sisi undang-undang?

    Jangan keliru antara kedua-kedua perlindungan tambahan yang disebutkan di atas. Berikut merupakan perbezaan antara kedua-kedua perlindungan tersebut dari segi maksud, contoh situasi dan premium tambahan:

    Jenis perlindunganPerlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpangPerlindungan liabiliti penumpang di sisi undang-undang
    MaksudPerlindungan ini  melindungi anda ataupun pemandu dibenarkan daripada liabiliti undang-undang yang diambil terhadap anda atas kematian atau kecederaan tubuh badan penumpang akibat kecuaian pemanduan andaPerlindungan ini melindungi anda daripada liabiliti undang-undang yang diambil oleh pihak ketiga atas kelalaian yang dilakukan oleh penumpang anda
    ContohKereta yang anda pandu terlibat dalam kemalangan sehingga mencederakan penumpang anda. Sekiranya penumpang tersebut dapat membuktikan kemalangan itu berpunca daripada kecuaian anda, mereka boleh menyaman anda.

    Perlindungan ini melindungi anda daripada risiko yang disebutkan, dengan membayar kos kerugian yang ditanggung akibat liabiliti ini
    Penumpang kereta anda membuka pintu kereta tanpa menoleh ke belakang terlebih dahulu lalu mencederakan penumpang motosikal yang melalui kereta anda. Anda boleh disaman atas sebab merosakkan harta benda dan mencederakan penunggang tersebut.

    Perlindungan ini melindungi anda daripada liabiliti tersebut
    Premium tambahan25% daripada jumlah premium polisi pihak ketigaRM 7.50 bagi setiap kenderaan

    Dapatkan perlindungan insurans kereta terbaik

    Kesimpulannya, perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang melindungi anda atau pemandu dibenarkan daripada liabiliti undang-undang yang diambil terhadap anda oleh mana-mana penumpang anda atas kecederaan atau kematian berpunca daripada kelalaian anda atau pemandu dibenarkan. Dengan mempunyai perlindungan ini, insurans anda akan menanggung kos kerugian akibat liabiliti tersebut terhad kepada situasi-situasi yang diberikan perlindungan.

    Walaupun perlindungan ini tidak diwajibkan di Malaysia, anda wajib mendapatkan perlindungan ini sekiranya ingin memandu di Singapura.

    Jika anda ingin mendapatkan perlindungan liabiliti undang-undang kepada penumpang atau

    perlindungan-perlindungan tambahan insurans kereta yang lain, mudah sahaja. Cuma perbaharui insurans di Bjak dan tambahkan perlindungan tambahan yang diperlukan dalam polisi anda.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: