Skip to content
Home » TERKINI! Lesen Memandu Boleh Diperbaharui Untuk Tempoh 10 Tahun

TERKINI! Lesen Memandu Boleh Diperbaharui Untuk Tempoh 10 Tahun

    Renew lesen memandu 10 tahun

    Sebagai pemilik kenderaan, anda pasti sudah sedia maklum bahawa selain insurans kereta dan roadtax yang perlu diaktifkan semula pada setiap tahun, anda juga diwajibkan untuk memperbaharui lesen memandu sebelum ia tamat tempoh.

    Jika sebelum ini orang ramai dihadkan untuk perbaharui lesen memandu sehingga tempoh 5 tahun sahaja, kini tidak lagi ya!

    Tempoh renew lesen memandu dipanjangkan

    Berita baik untuk anda!

    Bermula 8 Mei ini, Lesen Memandu Malaysia (LMM) boleh diperbaharui untuk tempoh maksimum 10 tahun di pejabat atau kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Menerusi pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini, perkara itu merupakan antara dua inisiatif pembaharuan LMM yang dilaksanakan kementeriannya.

    Katanya, mana-mana individu yang berhasrat untuk perbaharui lesen memandu bagi tempoh 10 tahun sekali gus hanya akan dikenakan bayaran bagi tempoh sembilan tahun sahaja.

    “Maksudnya ada diskaun 10 peratus. Untuk makluman, bayaran lesen memandu adalah RM30 setahun. Jikalau membayar 10 tahun sekali gus bayaran yang akan dikenakan adalah RM270, penjimatan RM30.

    “Bagi orang ramai yang berminat, mereka hendaklah memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun,” jelasnya dalam satu sidang media hari ini.

    Namun katanya, orang ramai juga masih dibenarkan untuk memperbaharui lesen memandu mereka di antara tempoh 1 sehingga 10 tahun.

    Loke dalam pada itu menjelaskan bahawa inisiatif tersebut adalah untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing.

    Kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh

    Dalam sidang media yang sama, Loke turut mengumumkan inisiatif kedua yang dibuat Kementerian Pengangkutan, iaitu kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh.

    Katanya menerusi inisiatif itu, kementeriannya akan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM yang telah tamat tempoh sah laku untuk memperbaharui LMM masing-masing tanpa perlu menjalani semula ujian.

    “Namun, kebenaran khas ini hanya terhad kepada LMM yang mana tempoh sah laku telah tamat mulai 1 Januari 2018 dan ke hadapan sahaja.

    “Tempoh kebenaran khas ini hanya berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2023 sahaja. Peraturan sedia ada akan berkuat kuasa semula pada 1 Januari 2024,” jelasnya.

    Untuk makluman anda, ketika ini dasar sedia ada menetapkan jika lesen memandu sudah tamat tempoh melebihi tiga tahun, maka individu tersebut tidak boleh memperbaharui lagi lesennya dan ujian semula perlu diambil.

    Inisiatif kedua ini dilakukan selepas mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang pandemik COVID-19 serta kekangan dihadapi rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM masing-masing kerana tidak berpeluang untuk pulang ke tanah air.

    Namun begitu jelas Loke, inisiatif dan kebenaran khas ini hanya boleh dinikmati oleh pemegang LMM yang bebas daripada sebarang sekatan urus niaga JPJ dan tidak disenarai hitam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain itu, individu tersebut juga perlu bebas daripada sebarang penggantungan akibat suatu hukuman atau Perintah Mahkamah.

    Urusan hanya di kaunter JPJ sahaja

    Sebagai makluman tambahan, kedua-dua inisiatif yang baru diumumkan itu hanya boleh dilakukan di pejabat atau kaunter JPJ sahaja buat masa ini.

    Manakala, pelaksanaan urus niaga terbabit melalui platform disediakan oleh rakan niaga JPJ seperti Pos Malaysia akan tertakluk kepada kesediaan perubahan sistem oleh pihak berkenaan.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga:

    Tags: