Banjir buruk yang melanda sekurang-kurangnya tujuh buah negeri di Semenanjung Malaysia pada pertengahan Disember lepas telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. Selain kerosakan rumah, perabot dan perkakas, banyak kenderaan juga terjejas akibat banjir. Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menganggarkan jumlah tuntutan insurans berkaitan banjir sekitar RM2 bilion sehingga RM3 bilion.
Sebagai suatu inisiatif tanggungjawab sosial korporat, PIAM telah menyediakan Dana Bantuan Banjir PIAM dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.43 juta.
Subsidi pembersihan mekanikal kenderaan terjejas banjir
PIAM menyediakan subsidi kepada pemegang-pemegang polisi layak yang mempunyai kenderaan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, yang memerlukan pembersihan mekanikal khusus di bengkel-bengkel kompeten. Menurut kenyataan PIAM pada 7 Januari 2022, subsidi untuk kos pembersihan mekanikal yang disediakan adalah tidak termasuk kos pembaikan.
Subsidi yang disediakan hanya terpakai kepada pembersihan mekanikal kenderaan seperti pembersihan khusus komponen-komponen enjin. Subsidi tidak disediakan untuk pembersihan biasa badan kenderaan.
Jumlah subsidi tertakluk kepada jenis kenderaan
Subsidi disediakan secara sekali bayaran (one-off payment) bagi setiap kenderaan seperti berikut:
- Motosikal (sehingga RM100);
- Kenderaan persendirian (sehingga RM500); dan
- Kenderaan komersial (sehingga RM500)
Untuk pengetahuan anda, jumlah subsidi yang diberikan bergantung kepada kos pembersihan sebenar dan tertakluk kepada had dan jenis kenderaan yang ditetapkan.
Sebagai contoh, sekiranya kos pembersihan mekanikal kenderaan persendirian anda ialah RM300 (termasuk SST), maka subsidi yang diberikan ialah sebanyak RM300. Sementara itu, jika kos pembersihan mekanikal kenderaan persendirian anda berjumlah RM700, anda hanya akan menerima subsidi sebanyak RM500.
Siapakah yang layak untuk memohon subsidi Dana Bantuan Banjir PIAM?
Subsidi ini diberikan kepada setiap kenderaan yang memenuhi kriteria berikut:
- Jenis kenderaan:
- Motosikal;
- Kenderaan persendirian; dan
- Kenderaan komersial
- Semua jenis polisi motor:
- Perlindungan Komprehensif dengan tambahan Bencana Khas (Peril Khas);
- Perlindungan Komprehensif tanpa tambahan Bencana Khas;
- Perlindungan Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian; dan
- Perlindungan Pihak Ketiga
- Status polisi motor:
- Motor insurans yang sah ketika banjir berlaku; atau
- Motor insurans yang telah tamat tempoh ketika banjir berlaku, pada atau selepas 1 Jun 2021
Cara membuat tuntutan Dana Bantuan Banjir PIAM
Anda boleh mengemukakan tuntutan anda secara online melalui portal MyCSR-Flood.my bermula dari 15 Januari 2022.
Anda perlu mengemukakan maklumat-maklumat penting seperti berikut:
(a) Nama pemegang polisi;
(b) Nombor telefon;
(c) Alamat emel (sekiranya ada);
(d) Nombor kad pengenalan/nombor passport/nombor pendaftaran perniagaan;
(e) Nombor kenderaan;
(f) Maklumat perbankan bagi tujuan pembayaran tuntutan;
(g) Jenis kenderaan;
(h) Tarikh kerugian/kerosakan;
(i) Jumlah yang dituntut (terhad kepada jumlah subsidi yang diperuntukkan untuk jenis kenderaan);
(j) Gambar kenderaan yang jelas sebelum dan selepas pembersihan; dan
(k) Resit/bil tunai yang dikeluarkan oleh bengkel kenderaan
Sebagai kemudahan bagi pemegang polisi, borang tuntutan tidak diperlukan untuk tujuan permohonan subsidi ini.
Anda boleh semak status tuntutan dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh tuntutan dikemukakan, dengan menghubungi syarikat insurans anda. Syarikat insurans anda juga akan memaklumkan status tuntutan anda.
Sekiranya permohonan anda berjaya, pembayaran tuntutan akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank anda. Jika alamat emel diberikan, anda juga akan dimaklumkan melalui emel setelah pembayaran dibuat.
Sila ambil maklum bahawa keputusan syarikat insurans sama ada tuntutan anda berjaya atau tidak adalah muktamad dan tiada rayuan akan dilayan.
Bolehkah membuat tuntutan untuk lebih daripada satu kenderaan?
Ya. Anda layak menuntut untuk lebih daripada satu kenderaan yang didaftarkan atas nama sendiri mengikut rekod pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan setiap kenderaan adalah tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan Dana Bantuan Banjir PIAM.
Adakah anda perlu menghantar kenderaan anda ke bengkel PIAM Approved Repairers Scheme (PARS) atau bengkel panel insurans bagi kerja pembersihan?
Tidak.
Adakah subsidi ini akan memberi kesan kepada NCD anda?
Tidak. Diskaun Tanpa Tuntutan atau No Claim Discount (NCD) anda tidak akan terjejas. Hal ini kerana subsidi ini bukanlah suatu bayaran tuntutan atas polisi insurans motor yang anda beli.
Apakah yang boleh anda lakukan sekiranya anda tidak ingat syarikat insurans kenderaan anda?
Anda dinasihatkan untuk menghubungi ejen insurans anda atau Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan (AACC) di talian 15500 untuk mengetahui syarikat insurans kenderaan anda.
Untuk memudahkan anda, semak syarikat insurans anda secara online di MyCarInfo secara percuma. Anda juga boleh semak tarikh tamat insurans kenderaan anda di MyCarInfo, juga secara percuma.
Mohon subsidi Dana Bantuan Banjir PIAM bermula 15 Januari 2022
Sekiranya anda layak untuk memohon subsidi yang ditawarkan PIAM, segera sediakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk memudahkan urusan permohonan anda nanti.
Memandangkan Dana Bantuan Banjir PIAM akan ditutup apabila keseluruhan RM2.43 juta sudah dituntut, sila bertindak pantas agar tidak terlepas bantuan yang ditawarkan.
Dalam pada itu, mangsa banjir juga boleh mendapatkan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia bagi pembaikan kereta.
Baucar bernilai sehingga RM1,000 diberikan oleh kerajaan melalui pengumuman yang dibuat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Baucar tersebut boleh digunakan oleh pemilik kenderaan warganegara yang layak di pusat servis atau pengedar sah syarikat automotif terlibat.
Dengan bantuan-bantuan yang diberikan PIAM dan kerajaan ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terjejas.
Bjak ialah salah satu platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menawarkan 15 jenama insurans. Dapatkan sebut harga insurans kereta percuma di Bjak.my dan renew insurans kereta dan roadtax secara online dalam hanya 5 minit.