Skip to content
Home » Kemalangan Jalan Raya: Perlukah Anda Membuat Tuntutan Insurans Atau Tanggung Sendiri Kerosakan Yang Dialami?

Kemalangan Jalan Raya: Perlukah Anda Membuat Tuntutan Insurans Atau Tanggung Sendiri Kerosakan Yang Dialami?

    tuntutan insurans

    Kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa ketika anda sedang memandu. Boleh jadi, kemalangan yang dialami itu adalah teruk, atau sebaliknya. Jika berlaku kemalangan teruk, sudah tentu langkah yang terbaik adalah dengan membuat tuntutan insurans bagi menampung kos pembaikannya. Namun, bagaimana jika ia hanya kemalangan kecil yang menyebabkan kerosakan biasa pada kereta? Perlukah anda membuat tuntutan insurans atau bayar sahaja menggunakan wang anda?

    Jom ketahui dengan lebih lanjut mengenainya menerusi perkongsian pada artikel ini.

    Bila anda perlu failkan tuntutan insurans selepas kemalangan?

    tuntutan insurans

    “Insurans kan ada, claim sahajalah! Buat apa nak guna duit sendiri?”

    Tuntutan insurans memang boleh dibuat jika ia dilindungi di dalam polisi anda. Namun perlu anda tahu, ia juga akan memberi kesan pada premium insurans kereta anda di tahun berikutnya jika kemalangan tersebut berpunca daripada diri anda sendiri. 

    Walau bagaimanapun, terdapat beberapa situasi yang tidak menyebabkan anda rugi apabila memfailkan tuntutan insurans. Apakah ia?

    Teruskan membaca perkongsian di bawah:

    Kemalangan tersebut bukan salah anda

    kemalangan kereta

    Jika kemalangan tersebut berlaku bukan disebabkan oleh kecuaian/ kesalahan anda, maka anda digalakkan untuk membuat tuntutan insurans bagi menampung kerugian yang dialami. Jangan risau, tuntutan anda itu tidak akan menjejaskan kadar NCD insurans kereta anda ya.

    “Namun saya tidak pasti siapa salah dalam kemalangan itu”

    Jika anda tidak yakin siapa yang bersalah dalam insiden itu, anda masih boleh membuat tuntutan dengan melaporkan terlebih dahulu mengenai kejadian itu kepada syarikat insurans anda. Kebanyakan pelan insurans kereta 1st party mempunyai manfaat untuk pembelaan liabiliti. Jadi jika anda disaman di mahkamah, pelan insurans anda boleh membantu anda menampung sebahagian daripada yuran litigasi anda. Sebaliknya jika anda tidak memfailkan tuntutan atau melaporkan kejadian itu kepada syarikat insurans, anda mungkin tidak mendapat manfaat ini.

    Disebabkan itu penting untuk anda ingat, apabila kemalangan berlaku, jangan mengaku salah anda dengan serta-merta. 

    Bila NCD anda tidak akan terjejas

    Jika kemalangan tersebut bukan berpunca daripada anda, secara automatik anda boleh membuat tuntutan pihak ketiga atau tuntutan knock-for-knock. Tuntutan ini akan dibuat terhadap pihak yang melanggar anda, dan bukannya dibuat di bawah polisi anda sendiri. Ini juga bermakna, kadar NCD anda tidak akan terjejas dan tidak akan memberi kesan kepada premium insurans anda pada pembaharuan tahun akan datang.

    Selain itu, NCD anda juga tidak akan terjejas sekiranya anda ingin membuat tuntutan bagi membaiki windscreen kereta anda yang telah retak atau pecah. Namun syaratnya, anda telah memiliki perlindungan tambahan untuk windscreen kereta di dalam polisi anda ya. Tanpa perlindungan tambahan windscreen, NCD anda akan terjejas sebaik tuntutan dibuat dan menyebabkan premium insurans anda mahal di tahun berikutnya.

    Jika ada yang tercedera

    Anda tidak dapat mengagak apakah tahap kecederaan atau kos perubatan yang perlu ditanggung sekiranya ada yang tercedera akibat kemalangan itu. Jadi, sebaiknya anda memfailkan tuntutan atau melaporkan mengenai kejadian itu apabila seseorang cedera. Kegagalan anda berbuat demikian boleh menyebabkan anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk perbelanjaan perubatan serta kos pembaikan pihak tersebut, menggunakan wang anda sendiri. 

    Seperti yang dinyatakan di atas, kebanyakan pelan komprehensif akan memberikan manfaat untuk litigasi yang melibatkan liabiliti pihak ketiga (jika tiada pengecualian lain dikenakan). Disebabkan itu, anda digalakkan untuk melaporkan mengenai insiden kemalangan kepada syarikat insurans selain daripada membuat laporan polis sahaja.

    Bila anda tidak mampu tanggung kos pembaikan

    Buat sahaja tuntutan insurans jika anda tidak mampu untuk menanggung kos pembaikan pada kereta menggunakan wang anda sendiri. Inilah fungsinya insurans anda itu. Ia bertujuan untuk mengurangkan bebanan kos kewangan yang bakal ditanggung sekiranya berlaku sesuatu pada kenderaan anda.

    Walau bagaimanapun, sila pastikan anda melaporkan mengenai insiden tersebut kepada pihak polis dan syarikat insurans dengan kadar segera ya. Kegagalan anda berbuat demikian boleh menyebabkan tuntutan insurans anda ditolak dan seterusnya merugikan anda. 

    Bila anda perlu bayar sahaja kos pembaikan guna wang sendiri?

    Jika kemalangan tersebut hanyalah kemalangan kecil dan tidak melibatkan kecederaan kepada mana-mana pihak, maka anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk membayar sendiri kos pembaikan tersebut tanpa perlu membuat tuntutan insurans. 

    Selain membantu menjimatkan masa anda, ia juga boleh membantu menyelamatkan kadar NCD anda (jika anda penyebab berlakunya kemalangan). 

    Untuk kekalkan kadar NCD anda

    No-Claim Discount (NCD) merupakan diskaun yang diberikan oleh syarikat insurans kepada pemandu yang tidak pernah membuat sebarang tuntutan insurans sebelum ini. Kadarnya berbeza, bermula dari 0% di tahun pertama pembelian kereta, dan akan meningkat sehingga maksima 55% dari tahun keenam dan seterusnya. 

    Jika kemalangan tersebut berpunca daripada anda dan tuntutan dibuat, maka secara automatik NCD anda akan kembali ke 0% di tahun berikutnya.

    Jadi, jika kos pembaikan bagi kerosakan kereta anda yang telah rosak lebih rendah daripada anggaran kadar diskaun yang mampu anda peroleh ketika pembaharuan insurans di tahun berikutnya, maka anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk tidak membuat tuntutan insurans dan tanggung sendiri kos pembaikan bagi kenderaan anda itu.

    Untuk mengekalkan anda sebagai pemandu berisiko rendah

    Profil risiko anda juga memainkan peranan penting dalam penentuan harga insurans. Selain faktor umur, jantina, pengalaman pemanduan dan rekod kesalahan trafik, sejarah tuntutan insurans juga akan menentukan sama ada anda adalah pemandu berisiko tinggi atau rendah. 

    Anda akan dianggap sebagai pemandu berisiko tinggi sekiranya pernah atau kerap membuat tuntutan daripada syarikat insurans. Kesannya, syarikat insurans mungkin akan menetapkan kadar premium insurans yang lebih tinggi kepada anda, berbanding pemandu lain yang tidak pernah membuat tuntutan insurans. 

    Buat penilaian bijak sebelum ingin memfailkan tuntutan insurans

    Nilaikan dahulu keuntungan dan kerugian yang bakal dialami sebelum anda ingin mengemukakan tuntutan insurans. Ya, ia adalah hak anda sama ada untuk membuat tuntutan atau tidak, namun pastikan ia berbaloi ya.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: