Skip to content
Home » Soalan Lazim Mengenai Deductible Insurans Kereta

Soalan Lazim Mengenai Deductible Insurans Kereta

    Deductible insurans kereta

    Deductible dalam insurans kereta merujuk kepada jumlah tetap yang telah anda bersetuju untuk bayar sebelum syarikat insurans anda mula memberikan pampasan bagi kerugian akibat kemalangan.

    Tanpa lengahkan masa, kami ingin menjawab beberapa persoalan lazim mengenai deductible agar anda dapat memahaminya dengan lebih lanjut dan mendalam.

    Adakah kadar/ tahap deductible yang berbeza akan mempengaruhi premium insurans?

    Ya, kadar atau jumlah deductible anda akan mempengaruhi premium insurans kereta yang bakal ditetapkan. Secara amnya, kadar deductible yang lebih tinggi akan membuatkan premium insurans anda menjadi lebih murah kerana anda secara tidak langsung telah bersetuju untuk mengeluarkan perbelanjaan yang lebih banyak menggunakan wang sendiri ketika tuntutan insurans nanti.

    Nisbah di antara deductible-premium juga mungkin berbeza-beza mengikut syarikat insurans kerana setiap syarikat biasanya mempunyai peraturan yang berbeza mengenai cara deductible dimasukkan ke dalam polisi insurans kereta. Tetapi secara keseluruhan, sekiranya anda meningkatkan kadar deductible contohnya dari RM500 kepada RM1,000, maka ia akan mengurangkan kos premium insurans anda.

    Apakah kekurangan menetapkan kadar deductible yang tinggi? 

    Kita andaikan seorang pemandu tidak dinamakan telah memandu kereta anda sehingga menyebabkan kemalangan, dengan kos kerugian yang dialami adalah sebanyak RM500.

    Jika kadar deductible yang telah ditetapkan ketika renew insurans sebelum ini adalah RM1,000, ini bermakna anda sebagai pemilik kenderaan perlu tanggung/ bayar sendiri kos kerugian sebanyak RM500 itu. Namun, jika deductible yang anda tetapkan dahulu adalah RM200 sahaja, maka anda hanya perlu mengeluarkan wang RM200 dan baki RM300 lagi akan ditanggung oleh pihak insurans.  

    Adakah rekod memandu seseorang akan menjejaskan pilihan deductible?

    Ya, rekod pemanduan seseorang akan mempengaruhi ketetapan kadar deductible. Individu dengan rekod yang bersih biasanya layak mendapat deductible yang lebih tinggi untuk membolehkan premium dibayar lebih rendah, manakala individu dengan rekod yang kurang bersih pula akan dikenakan kadar deductible yang lebih sedikit dan secara tidak langsung terpaksa membayar premium yang lebih mahal.

    Pada masa yang sama, jika anda menetap atau kerap memandu di sekitar kawasan yang sering berlaku kemalangan, adalah lebih baik untuk mempertimbangkan deductible yang rendah/ premium yang lebih tinggi kerana ia akan menjimatkan wang anda dikemudian hari. 

    Adakah saya perlu membayar deductible jika saya melanggar kereta?

    Anda tidak perlu membayar deduktibel jika anda mengalami kemalangan tanpa merosakkan kereta anda. Dalam kes ini, perlindungan liabiliti anda akan melindungi kecederaan serta kerosakan harta benda pemandu lain, yang tidak memerlukan ‘yuran’ deductible ini. Tetapi jika kenderaan anda sendiri rosak dan anda perlu failkan tuntutan untuk membuat pembaikan, maka anda perlu membayar deductible seperti yang telah ditetapkan di dalam polisi anda.

    Adakah saya perlu membayar deductible jika saya tidak bersalah?

    Jika pemandu lain disahkan bersalah, syarikat insurans pihak tersebut akan membayar pampasan kepada anda untuk pembaikan kereta anda itu sekiranya anda ada memfailkan tuntutan. Jika anda mempunyai perlindungan untuk pelanggaran, anda juga boleh buat tuntutan melalui syarikat insurans anda dahulu, dan anda akan mendapat bayaran balik (termasuk deductible anda) daripada syarikat insurans pihak ketiga. Jika kemalangan itu adalah kesalahan daripada dua-dua pihak, maka anda boleh membayar semua atau sebahagian daripada caj deductible insurans kereta anda.

    Adakah lebih baik jika tidak mempunyai deductible dan bayar premium yang lebih tinggi?

    Ia bergantung juga, kerana seseorang yang memilih deductible yang rendah dengan premium yang lebih tinggi boleh melalui tempoh 10 tahun tanpa memfailkan tuntutan insurans. Dalam kes ini, individu itu secara tidak langsung telah mengeluarkan lebih banyak wang (untuk bayar insuransnya yang mahal) berbanding seseorang yang menetapkan kadar deductible yang lebih tinggi.

    Dengan mengandaikan bahawa kedua-dua individu itu tidak pernah mengalami sebarang kemalangan dan membuat tuntutan, maka individu yang memilih tetapan caj deductible yang lebih rendah sebenarnya sebenarnya lebih rugi dan telah membelanjakan lebih banyak wang untuk premium insurans keretanya. 

    Sebaliknya, jika seseorang itu merasakan akan kerap memfailkan beberapa tuntutan insurans dalam tempoh setahun, jadi adalah lebih baik untuk menetapkan kadar deductible yang lebih rendah agar mereka tidak perlu menanggung sebahagian besar kos pembaikan nanti. 

    Fahami deductible insurans kereta

    Bagi mengelakkan sebarang masalah dan salah faham khususnya ketika tuntutan insurans nanti, maka sangat penting untuk anda fahami bagaimana caj deductible ini berfungsi. Jika anda mempunyai sebarang kekeliruan tentang mana-mana terma, syarat atau istilah dalam polisi insurans anda, dapatkan sahaja bantuan daripada pihak insurans anda untuk penjelasan lanjut agar ia tidak merugikan anda ketika melakukan pembaharuan insurans, dan juga akan datang!


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: