Setiap pemilik kereta pastinya menyedari kepentingan memiliki insurans kereta bukan? Mana tidaknya, tanpa insurans anda tidak boleh membuat sebarang tuntutan sekiranya berlaku sesuatu pada kenderaan anda termasuklah dalam kejadian seperti kemalangan, kecurian atau bahkan kebakaran.
Untuk pemilik kenderaan baru khususnya, mungkin terdapat beberapa perkara yang anda selalu dengar mengenai insurans untuk kenderaan anda, yang kadang-kala masuk akal atau tidak – fakta atau mitos? Jangan! Lebih banyak mitos anda percaya, lebih sukar atau tidak tepat pemilihan insurans ketika anda ingin memperbaharuinya nanti.
Jom teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui beberapa mitos mengenai insurans kereta yang anda mungkin boleh abaikan.
“Semua pelan insurans kereta mempunyai ciri yang sama”
“Ambil jelah insurans ni, sama je mana-mana pelan pun”. Jangan salah faham ya! Setiap pelan insurans kereta mempunyai ciri dan perlindungan yang berbeza-beza, bergantung polisi jenis apa yang anda ingin miliki untuk kereta anda itu.
Sebab itu, penting untuk anda fahami tiga jenis polisi insurans yang ada di pasaran seperti yang pernah kami kongsikan sebelum ini. Secara ringkas yang perlu anda tahu, polisi komprehensif akan menyediakan perlindungan paling menyeluruh untuk kenderaan anda, manakala polisi pihak ketiga pula hanya akan memberikan perlindungan paling asas, iaitu untuk kenderaan yang dilanggar oleh anda sahaja dan bukannya kereta anda sendiri.
Setiap kategori polisi ini menyediakan tahap pampasan dan perlindungan yang berbeza-beza bahkan anda juga boleh ubah suai atau menambah perlindungan tambahan yang anda ingini. Nilai dan tentukan dahulu tahap keperluan bagi anda dan kenderaan. Jangan terlebih mahupun terkurang. Contohnya, jika anda tinggal di kawasan yang berisiko banjir, dapatkan perlindungan peril khas (bencana alam) untuk kenderaan anda itu. Jika kereta anda kerap dipandu oleh pemandu lain, dapatkan perlindungan untuk pemandu tambahan sekali dan pelbagai lagi.
Untuk tahu jenis perlindungan tambahan yang anda boleh dapatkan dan kadar premium yang akan dikenakan, anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini mengenainya.
“Semua pelan insurans kereta sama je mahalnya”
Opps!! Ini satu lagi mitos yang anda perlu abaikan. Harga atau premium bagi insurans kereta adalah bergantung kepada beberapa faktor termasuklah jenis polisi yang anda inginkan, kadar NCD anda, serta perlindungan tambahan yang anda tambah di dalam polisi.
Jika anda mengambil pelan insurans komprehensif, sudah tentulah harganya akan lebih mahal berbanding pelan insurans pihak ketiga. Konsepnya mudah, lebih menyeluruh polisi insurans yang anda cuba dapatkan, lebih tinggi premium yang anda perlu bayar.
Bahkan, harganya juga berbeza mengikut syarikat insurans. Contohnya jika anda ingin membeli insurans komprehensif, pelan insurans komprehensif di syarikat insurans A mungkin lebih murah dari syarikat insurans B dan sebaliknya. Disebabkan itu, sangat penting untuk anda membuat perbandingan dengan beberapa buah syarikat insurans dahulu walaupun untuk jenis polisi yang sama bagi memastikan harga yang anda peroleh itu adalah terendah boleh anda miliki.
“Kadar premium insurans saya kekal/ sama setiap tahun”
Jangan salah faham ya! Jumlah premium insurans yang anda bayar setiap tahun adalah tidak sama dan boleh berubah setiap tahun. Boleh jadi, premium insurans yang dibayar pada tahun ini lebih murah berbanding tahun sebelumnya atau sebaliknya.
Bagaimana ia berlaku?
Selain bergantung kepada jenis polisi yang anda ingin miliki, premium insurans yang dibayar setiap tahun juga dipengaruhi oleh kadar NCD.
Andai kata anda tidak pernah membuat sebarang tuntutan sebelum ini, kadar NCD anda akan meningkat sehingga ke jumlah maksima iaitu sebanyak 55%.
Contohnya jika premium asas yang anda sepatutnya bayar adalah sebanyak RM680, dan kadar NCD anda miliki pada tahun itu adalah sebanyak 45%, maka anda hanya perlu membayar RM374 (belum termasuk caj SST dan Duti Setem) untuk premium insurans anda itu.
Namun, jika anda pernah membuat tuntutan insurans pada tahun ini, maka premium yang anda bayar untuk pembaharuan insurans di tahun berikutnya akan kembali mahal kerana kadar NCD anda kembali ke 0%. Secara ringkasnya, kadar NCD anda merupakan salah satu faktor utama yang akan mempengaruhi jumlah premium insurans yang perlu anda bayar.
Selain itu, syarikat insurans juga mungkin menawarkan diskaun sekiranya anda memperbaharui insurans secara online. Secara tidak langsung, ini akan menyebabkan premium insurans anda berubah daripada tahun sebelumnya.
“Tabiat memandu saya tidak akan mempengaruhi premium insurans kereta saya”
Salah! Tabiat memandu anda sebenarnya akan mempengaruhi premium insurans yang anda akan bayar ya!
Perlu anda tahu, profil risiko anda juga akan mempengaruhi kadar premium yang bakal ditetapkan oleh syarikat insurans. Profil risiko tersebut termasuklah:
- umur anda
- jantina
- berapa lama anda telah memandu
- rekod kesalahan trafik dan lalu lintas yang pernah dilakukan
- sejarah tuntutan insurans yang pernah anda buat
Semakin baik profil risiko anda, semakin rendah premium insurans yang anda akan bayar untuk pelan insurans kereta anda.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!
Baca juga: