Skip to content
Home » Kereta Total Loss, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Kereta Total Loss, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

    Kereta Total Loss, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

    Banjir besar yang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia pada Disember lepas dan awal tahun ini sesungguhnya memberikan kesan yang mendalam kepada mangsa. 

    Salah seorang mangsa, Hazalizan Ramli, 37, terpaksa menerima hakikat apabila Perodua Myvi miliknya total loss akibat banjir di Jelebu, Negeri Sembilan pada 17 Disember lepas. Berkata kepada Utusan Malaysia, Hazalizan hanya mampu melihat keretanya ditenggelami banjir sebelum dibawa arus air yang deras.

    Banjir yang menimpa Hazalizan sehingga membuatkan Perodua Myvi miliknya total loss boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Sekiranya kereta anda mengalami kerosakan sehingga total loss, apakah yang perlu anda lakukan?

    Untuk membantu anda, kami akan terangkan maksud kereta total loss, jumlah pampasan serta prosedur tuntutan insurans kereta total loss.

    Apakah maksud total loss?

    Contoh kenderaan total loss
    Kredit imej: Lapeze & Johns

    Secara amnya, jika sesebuah kereta disahkan oleh syarikat insurans sebagai total loss, ini bermaksud kenderaan tersebut “Tidak Berhemat Dibaiki” atau Beyond Economic Repair (BER). Maksudnya, kenderaan tersebut tidak selamat atau tidak dapat dibaiki lagi atau kos anggaran untuk membaiki atau menggantikan kereta tersebut melebihi nilai tunai sebenar kenderaan tersebut. Nilai tunai sebenar kenderaan anda merujuk kepada amaun yang akan dibayar oleh syarikat insurans anda jika kenderaan anda total loss.

    Untuk memberikan gambaran kepada anda, antara situasi kenderaan total loss ialah apabila:

    1) Kenderaan mengalami kerosakan yang teruk sehingga tidak selamat atau tidak dapat dibaiki lagi

    Sebagai contoh, andaikan kereta Proton Saga Ahmad terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori. Akibat pelanggaran tersebut, kereta Ahmad dihantar ke bengkel panel. Setelah diperiksa segala kerosakan, adjuster insurans mengesahkan bahawa kereta Ahmad total loss kerana sudah tidak selamat dan tidak dapat dibaiki. 

    Nota:

    Adjuster merujuk kepada orang atau entiti yang berdaftar di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang dilantik oleh syarikat insurans berkenaan untuk menyiasat sebab dan keadaan berlakunya kerugian dan untuk menentukan amaun kerugian.

    2) Kenderaan masih boleh dibaiki tetapi kos anggaran pembaikan melebihi nilai tunai sebenar kenderaan tersebut

    Bayangkan pula kereta Ahmad yang dilanggar lori tersebut masih boleh dibaiki. Setelah dinilai, kos anggaran pembaikan termasuk alat ganti kereta Ahmad melebihi nilai tunai sebenar kereta Ahmad. Sebagai contoh, kos anggaran pembaikan kereta Ahmad ialah sebanyak RM20,000, sedangkan nilai tunai sebenar keretanya hanyalah RM10,000. Dalam situasi ini, kereta Ahmad disahkan sebagai total loss kerana kos anggaran pembaikan melebihi nilai tunai sebenar keretanya. 

    Pampasan untuk kereta total loss

    Sekiranya kereta anda total loss, anda boleh menuntut pampasan daripada syarikat insurans anda, tertakluk kepada polisi yang dipilih.

    Anda hanya boleh membuat tuntutan total loss jika kereta anda dilindungi polisi komprehensif. Sekiranya anda mendapatkan polisi pihak ketiga, kebakaran atau kecurian ataupun polisi pihak ketiga, anda tidak boleh membuat tuntutan tersebut kepada syarikat insurans anda.

    Bagaimanakah pula jumlah pampasan untuk kereta total loss dikira?

    Asasnya, pihak insurans menentukan jumlah pampasan berdasarkan jumlah perlindungan atau sum insured kenderaan anda. Sebelum memperbaharui insurans kenderaan, anda perlu memilih jumlah perlindungan kenderaan sama ada mengikut market value (nilai pasaran) atau agreed value (nilai dipersetujui).

    Sekiranya anda memilih market value, jumlah pampasan akan mengikut market value kereta anda ketika kereta anda total loss, bukan market value ketika anda renew insurans anda.

    Berikut merupakan senario jumlah pampasan jika anda memilih market value atau agreed value:

    Market value 

    • Sum insured mengikut market value ketika renew insurans: RM20,000
    • Jumlah pampasan total loss: RM12,000 (mengikut market value kereta ketika kejadian)

    Untuk makluman anda, jika sum insured kereta anda kurang daripada market value pada masa kerugian, syarikat insurans anda hanya akan menanggung sebahagian daripada kerugian mengikut nisbah perbezaan antara market value dan sum insured. Walaubagaimanapun, ini hanya akan terpakai jika jumlah terkurang diinsuranskan (under-insurance) melebihi 10% daripada market value.

    Agreed value 

    • Sum insured mengikut agreed value ketika renew insurans: RM20,000
    • Jumlah pampasan total loss: RM20,000 (tidak terjejas oleh market value kereta ketika kejadian)

    Seperti yang anda dapat lihat, jumlah pampasan total loss akan mengikut sum insured kenderaan anda, jika anda memilih agreed value

    Untuk pengetahuan anda, tidak semua syarikat insurans menawarkan sum insured mengikut agreed value. Salah sebuah syarikat insurans yang menawarkan sum insured mengikut agreed value ialah Allianz. Sebagai contoh, jika anda memilih agreed value sebanyak RM20,000 iaitu nilai yang dipersetujui oleh anda dan Allianz, anda akan menerima pampasan sebanyak RM20,000 sekiranya kereta anda total loss, walaupun market value kereta anda telah susut. 

    Prosedur tuntutan insurans kereta total loss

    Prosedur di peringkat awal untuk membuat tuntutan insurans sekiranya kereta anda total loss adalah sama seperti prosedur untuk membuat tuntutan insurans kereta kemalangan. Namun begitu, anda perlu menyertakan beberapa dokumen dan item tambahan sekiranya kereta anda disahkan total loss oleh syarikat insurans. 

    Prosedur am tuntutan insurans kereta

    1. Hubungi syarikat insurans untuk melaporkan kemalangan serta mendapatkan khidmat tunda ke bengkel panel
    2. Ambil gambar kenderaan, kenderaan lain yang terlibat (jika ada) serta tempat kejadian dan catat maklumat lengkap termasuk nombor pendaftaran dan roadtax kenderaan
    3. Buat laporan polis dalam tempoh 24 jam 
    4. Lengkapkan borang tuntutan atau claim form serta surat akuan
    5. Serahkan dokumen yang telah dilengkapkan beserta dokumen berikut kepada bengkel panel untuk dilanjutkan kepada syarikat insurans anda:
      1. Laporan polis (salinan asal)
      2. Polisi atau nota perlindungan insurans (salinan)
      3. Geran atau sijil pemilikan kenderaan (salinan)
      4. Kad pengenalan pemegang polisi (salinan)
      5. Lesen memandu pemegang polisi (salinan)
      6. Kad pengenalan pemandu (salinan) – sekiranya anda tidak memandu kenderaan anda ketika kejadian 
      7. Lesen memandu pemandu (salinan) – sekiranya anda tidak memandu kenderaan anda ketika kejadian 
      8. Salinan surat akuan
      9. Kenyataan daripada pemandu (jika boleh)
      10. Gambar kenderaan dan tempat kejadian
    6. Bengkel panel serta adjuster insurans akan menilai kerosakan dan membuat anggaran kos pembaikan dan alat ganti

    Prosedur tambahan untuk tuntutan insurans kereta total loss

    1. Sekiranya kereta anda total loss, tuntutan perlu dibuat di bawah Own Damage Claim. Setelah syarikat insurans meluluskan tuntutan total loss dan membuat penawaran jumlah pampasan dan anda bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan, anda perlu menyertakan dokumen-dokumen tambahan di bawah:
      1. Borang Penyata Pertukaran Milikan Kenderaan Motor Selain Daripada Pindah Milik Secara Sukarela Oleh Pemunya Berdaftar (JPJ K3A) (dua salinan)
      2. Borang Permohonan Pembatalan Pendaftaran Kenderaan (JPJ K1C) (salinan) – jika berkenaan
      3. Polisi insurans (salinan asal)
      4. Geran atau sijil pemilikan kenderaan (salinan asal)
      5. Surat pelepasan daripada syarikat sewa beli – jika berkenaan
      6. Salinan kad pengenalan (disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah)
      7. Kunci kenderaan asal (dua set)
    2. Seterusnya, syarikat insurans anda akan membuat pembayaran kepada anda
    3. Sekiranya kereta anda masih mempunyai hutang dengan bank, pihak insurans akan membuat pembayaran kepada bank tersebut mengikut jumlah pampasan yang dipersetujui. Sebagai contoh, jumlah pampasan yang diluluskan ialah sebanyak RM20,000. Sekiranya hutang kereta anda ialah sebanyak RM30,000, pihak insurans akan membayar RM20,000 kepada bank anda sementara anda perlu menjelaskan baki RM10,000 kepada bank anda mengikut ansuran bulanan yang ditetapkan. Jika jumlah pampasan melebihi hutang kereta anda pula, anda akan menerima baki pampasan setelah ditolak pembayaran kepada bank anda

    *Penafian:
    Dokumen yang diperlukan mungkin berbeza antara satu syarikat insurans dengan yang lain. Sila hubungi syarikat insurans anda untuk mendapatkan proses dokumentasi terperinci.

    Jika kenderaan anda dipandu orang lain dan terlibat dalam kemalangan sehingga total loss, bolehkah claim insurans?

    Ya. Sama ada kemalangan tersebut berpunca daripada anda atau pemandu kereta anda, anda boleh claim daripada insurans anda.

    Walaubagaimanapun, jika pemandu tersebut tidak dinamakan di dalam polisi anda atau anda tidak mempunyai perlindungan semua pemandu (all driver coverage), anda perlu membayar dahulu ekses wajib sebanyak RM400 kepada syarikat insurans anda.

    Pilih insurans kereta terbaik

    Kesimpulannya, sekiranya kereta anda mengalami kemalangan sehingga tidak boleh dibaiki lagi atau kos anggaran pembaikan melebihi nilai tunai sebenar kereta anda, itu bermaksud kereta anda total loss.

    Jika kenderaan anda dilindungi polisi komprehensif, anda bernasib baik kerana anda boleh menuntut pampasan daripada syarikat insurans anda. Perit dibayangkan jika kereta anda sudah tidak dapat digunakan, tetapi anda masih terikat dengan hutang bank. Jika anda mendapatkan polisi komprehensif, sekurang-kurangnya, syarikat insurans anda dapat membayar pampasan kepada bank anda.

    Jika anda ingin renew insurans kereta anda, guna sahaja platform Bjak untuk renew insurans secara online sepenuhnya. Bandingkan sehingga 15 syarikat insurans dan dapatkan pelan yang terbaik untuk anda. Dapatkan sebut harga insurans kereta secara percuma di Bjak dalam hanya 3 minit.