Skip to content
Home » Bandingkan Insuran Kereta Takaful Malaysia

Bandingkan Insuran Kereta Takaful Malaysia

    insuran kereta takaful Malaysia

    Pening kepala juga bila nak beli takaful kereta sebab mungkin nampak macam sama saja mana-mana takaful pun. Jangan peningkan kepala tu. Dalam artikel ni, kami bandingkan insuran kereta takaful Malaysia yang terbaik, khususnya pelan komprehensif untuk kereta persendirian. Jom kita mulakan!

    Perbezaan antara takaful dan insurans konvensional kereta

    Sebelum tu, anda tahu tak apa beza takaful dan insurans konvensional kereta?

    Umumnya, takaful dan insurans konvensional kereta berkongsi objektif yang sama iaitu untuk melindungi pemegang sijil dan/atau pihak ketiga dalam kes kemalangan jalan raya, kerosakan kepada kereta dan harta benda, kebakaran atau kecurian, tertakluk kepada sijil yang dipilih. Walaupun kedengaran sama, sebenarnya ada perbezaan antara takaful dan insurans konvensional seperti yang telah kami kongsikan dalam artikel yang lepas. 

    Perbezaan paling utama yang anda mesti tahu ialah takaful bebas daripada unsur yang dilarang agama Islam iaitu Riba’ (faedah atau interest), Gharar (tidak jelas atau mempunyai keraguan) serta Maysir (perjudian). Tapi takaful tidaklah eksklusif kepada yang beragama Islam sahaja. Tanpa mengira agama, sesiapa pun boleh dapatkan takaful.

    Perbezaan antara takaful dan insurans konvensional kereta

    Jenis-jenis takaful kereta

    Seperti insurans konvensional, insuran kereta takaful Malaysia juga mempunyai 3 jenis iaitu:

    1. Komprehensif
    2. Pihak ketiga, kebakaran dan kecurian
    3. Pihak ketiga

    Seperti yang telah disebutkan, untuk artikel ini, kami bandingkan takaful kereta untuk pelan komprehensif bagi kereta persendirian. Seperti yang anda tahu, pelan komprehensif menawarkan perlindungan yang lebih menyeluruh berbanding pelan pihak ketiga, kebakaran dan kecurian serta pelan pihak ketiga.

    Jenis-jenis takaful kereta

    Insuran kereta Takaful Malaysia yang terbaik

    Setahu andalah kan, berapa banyak syarikat insuran kereta takaful di Malaysia?

    Berdasarkan laman web Persatuan Takaful Malaysia atau Malaysian Takaful Association (MTA), terdapat empat syarikat atau pengendali takaful motor di Malaysia iaitu Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, Zurich Takaful dan Etiqa Takaful. Kami bandingkan kelebihan utama yang ditawarkan oleh keempat-empat syarikat takaful tersebut, khususnya untuk perlindungan komprehensif kereta persendirian. Jom kita tengok!

    Takaful Malaysia

    Takaful Malaysia

    Takaful Malaysia menerusi pelan myMotor perlindungan komprehensif menawarkan beberapa manfaat menarik termasuk:

    1. Perlindungan kemalangan diri percuma untuk pemandu dan penumpang sehingga RM15,000 setiap seorang

    Pemandu dan penumpang di dalam kenderaan yang dinamakan berhak mendapat manfaat kemalangan peribadi percuma (complimentary personal accident coverage) sebanyak RM15,000 setiap seorang secara sekali gus. Banyak tu!

    Perlindungan kemalangan diri lazimnya melibatkan kos tambahan. Tapi Takaful Malaysia menawarkan perlindungan ini secara percuma sahaja.

    2. Perlindungan percuma semua pemandu

    Pelan takaful ini menawarkan perlindungan percuma semua pemandu yang mendapat kebenaran untuk memandu kereta anda. Anda tidak perlu membayar apa-apa untuk mana-mana pemandu tambahan. Selamatlah duit anda!

    3. Pulangan wang tunai jika tiada tuntutan

    Sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan, anda berpeluang untuk mendapatkan pulangan wang tunai atau cash back daripada Takaful Malaysia. Tetapi, pulangan wang tunai tidak dijamin dan mungkin bergantung kepada tuntutan pada masa akan datang serta prestasi pelaburan Takaful Malaysia dalam tabung risiko takaful. 

    4. Bantuan bahu jalan 24/7 Tele Bantuan

    Produk ini juga menyediakan bantuan bahu jalan 24/7 termasuk perkhidmatan tunda percuma sehingga 50km. Antara bantuan lain yang ditawarkan ialah perkhidmatan jumpstart, penukaran bateri atau tayar serta kerja-kerja pendawaian kecil, dengan kos buruh percuma sehingga 2 jam!

    Bacaan lanjut:

    Helaian pendedahan produk Takaful Malaysia untuk kereta persendirian

    Kontrak sijil Takaful Malaysia untuk kereta persendirian

    Takaful Ikhlas

    Takaful Ikhlas

    Takaful Ikhlas melalui produk IKHLAS Private Car Comprehensive Plus Takaful juga menawarkan manfaat menarik seperti:

    1. Perlindungan kemalangan diri percuma untuk pemegang sijil sehingga RM10,000 

    Seperti Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas turut menawarkan perlindungan kemalangan diri percuma untuk pemegang sijil. Jumlah perlindungan ialah sehingga RM10,000 untuk pemegang sijil sahaja berbanding RM15,000 yang ditawarkan oleh Takaful Malaysia untuk pemandu dan penumpang setiap seorang, tertakluk kepada terma dan syarat.

    2. Pengecualian ekses wajib untuk pemandu yang tidak dinamakan

    Lazimnya, sekiranya kereta anda yang dibawa oleh pemandu lain terlibat dalam kemalangan, anda akan dikenakan ekses atau lebihan wajib sebanyak RM400, jika pemandu tersebut tidak dinamakan dalam sijil takaful anda! Ringkasnya, ekses merujuk kepada bayaran pertama yang anda perlu tanggung untuk setiap tuntutan sebelum pihak takaful menanggung amaun selebihnya. Anda perlu membayar ekses walaupun kejadian tersebut bukan salah anda.

    Tetapi, Takaful Ikhlas mengecualikan bayaran ekses ini walaupun pemandu kereta anda tidak dinamakan dalam sijil takaful. Tawaran yang menarik!

    3. Bayaran balik fi pengangkutan sehingga RM100

    Takaful Ikhlas akan membayar balik fi untuk penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam sehingga RM100, semasa kereta anda dibaiki di panel workshop.

    4. Khidmat bantuan percuma 24 jam IKHLAS Road Assist

    Takaful Ikhlas turut menawarkan khidmat bantuan percuma termasuk servis tunda kemalangan dan kerosakan, bantuan sisi jalan serta perkhidmatan tukang kunci, tertakluk kepada terma dan syarat.

    Bacaan lanjut:

    Helaian pendedahan produk Takaful Ikhlas untuk kereta persendirian

    Kontrak sijil Takaful Ikhlas untuk kereta persendirian

    Zurich Takaful

    Zurich Takaful

    Zurich Takaful menerusi produk Z-Driver Takaful juga tidak kurang hebatnya dalam menawarkan pelbagai manfaat menarik seperti di bawah:

    1. Perlindungan kemalangan diri sehingga RM175,000 dengan bayaran serendah RM15 setahun

    Berbanding Takaful Malaysia dan Takaful Ikhlas yang menawarkan perlindungan kemalangan peribadi secara percuma atau complimentary, Zurich Takaful mengenakan bayaran tambahan untuk perlindungan ini dengan bayaran serendah RM15 setahun untuk perlindungan sehingga RM175,000, tertakluk kepada terma dan syarat.

    Pelan tambahan ini dapat melindungi anda serta seluruh keluarga anda atau mana-mana penumpang lain di dalam kereta anda.

    2. Perlindungan percuma pemandu dinamakan untuk kegunaan peribadi

    Anda boleh memperluaskan perlindungan takaful anda kepada pemandu-pemandu yang dinamakan tanpa had bilangan dan tanpa sebarang caj tambahan.

    3. Pengecualian kos penambahbaikan (betterment cost) – Perlindungan terhadap kenaikan kos alat ganti

    Sekiranya berlaku kemalangan, anda mungkin perlu menanggung sebahagian daripada kos bahagian yang rosak. Dengan manfaat pengecualian kos penambahbaikan, anda boleh menggantikan bahagian yang rosak dengan bahagian yang baru dan original, tanpa sebarang kos tambahan.

    4. Diskaun sehingga 20% dengan ekses sukarela (voluntary excess)

    Caruman atau premium anda boleh dikurangkan dengan memilih ekses sukarela sebagai tambahan kepada ekses semua tuntutan dan/atau ekses wajib. 

    Anda boleh pilih had ekses sukarela yang ditawarkan iaitu antara RM500 hingga RM5,000 untuk mendapatkan diskaun ke atas caruman anda. Sila ambil maklum bahawa ekses sukarela ini terpakai bagi semua tuntutan kecuali tuntutan pihak ketiga. Jadi, kalau nak bayar ekses sukarela, pastikan anda sentiasa ada peruntukan yang mencukupi. 

    Bacaan lanjut:

    Helaian pendedahan produk Zurich Takaful untuk kereta persendirian

    Kontrak sijil Zurich Takaful untuk kereta persendirian

    Etiqa Takaful 

    Etiqa Takaful

    Etiqa Takaful menawarkan pelbagai manfaat menarik seperti di bawah:

    1. Perlindungan percuma semua pemandu

    Semua pemandu yang dibenarkan oleh anda akan dilindungi secara automatik tanpa apa-apa caj tambahan. 

    Kalau anda pinjamkan kereta anda kepada sesiapa, pastikan pemandu tersebut dinamakan. Nak lagi senang, dapatkan perlindungan semua pemandu yang kini ditawarkan secara percuma sahaja oleh keempat-empat syarikat takaful termasuk Etiqa Takaful. 

    2. Tiada ekses

    Tiada ekses untuk tuntutan anda, sekiranya anda berumur 21 tahun dan ke atas.

    Boleh baca lebih lanjut tentang ekses dalam artikel kami yang lepas.

    3. Kereta ihsan percuma selepas kemalangan

    Macam mana kalau anda dah tak ada kereta lain lepas kereta masuk workshop sebab accident

    Berita baik! Etiqa Takaful menawarkan kereta ihsan percuma selama 14 hari! Ini manfaat yang rare dan sangat berguna lagi-lagi kalau anda sangat bergantung kepada satu-satunya kereta anda sebagai pengangkutan harian.

    4. Bantuan kecemasan 24-jam di jalan raya

    Seperti kesemua takaful untuk pelan komprehensif, Etiqa Takaful juga tidak terkecuali dalam menawarkan bantuan kecemasan di jalan raya 24 jam setiap hari melalui Talian Claims Careline.

    Bacaan lanjut:

    Helaian pendedahan produk Etiqa Takaful untuk kereta persendirian

    Kontrak sijil Etiqa Takaful untuk kereta persendirian

    Bandingkan insuran kereta takaful Malaysia untuk lebih manfaat

    Kami telah kongsikan beberapa manfaat menarik yang ditawarkan oleh empat pengendali takaful kereta terbaik di Malaysia iaitu Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, Zurich Takaful dan Etiqa Takaful. Jadi, sebelum anda dapatkan mana-mana takaful kereta, pastikan anda banding dahulu manfaat serta premium atau caruman yang ditawarkan oleh setiap takaful. Rajin-rajinkan diri teliti helaian pendedahan produk (product disclosure sheet) dan sijil takaful seperti yang kami sertakan di atas. Teliti juga terma dan syarat termasuk pengecualian sijil takaful anda.

    Nak tahu cara mudah untuk bandingkan takaful kereta? Gunalah Bjak, laman perbandingan insurans dan takaful terbesar di Malaysia. Kami gerenti anda tak rugi kalau anda gunakan khidmat Bjak sebab anda boleh dapatkan sehingga 15 sebut harga takaful dan insurans kereta secara percuma! 

    Jangan lengah lagi. Cepat dapatkan sebut harga takaful kereta di Bjak sekarang.


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: