Skip to content
Home » Cara Claim Insuran Cermin Kereta

Cara Claim Insuran Cermin Kereta

    claim insuran cermin kereta

    Cermin kereta sudah retak teruk tetapi anda tidak tahu bagaimana cara claim insuran cermin kereta yang perlu dilakukan? Jangan risau, sebenarnya mudah sahaja! 

    Pada artikel kali ini, kami akan kongsikan kepada anda langkah atau cara paling mudah untuk menghantar claim bagi membaiki cermin kereta yang telah rosak. Namun sebelum itu, jom ketahui dahulu beberapa perkara penting bagi mengelakkan kekeliruan ketika atau selepas tuntutan dibuat.

    Tolak NCD atau TIDAK tolak NCD

    Cermin kereta merupakan antara bahagian atau komponen kereta yang paling terdedah dengan risiko kerosakan. Baik ketika memandu atau memakirkan kereta, bila-bila masa sahaja cermin kereta anda boleh retak atau pecah.

    Disebabkan itu, ketika memperbaharui insurans dengan pelan komprehensif anda sangat digalakkan untuk mendapatkan sekali perlindungan tambahan untuk cermin kereta anda pada setiap tahun – dengan kata lain, dapatkan insuran cermin kereta ketika renew insurans.

    Mengapa? Ini bertujuan untuk menjaga peratusan/ kelayakan NCD insurans kereta anda walaupun selepas tuntutan dibuat. Secara tidak langsung, ia boleh mengelakkan anda daripada perlu membayar premium insurans yang lebih mahal ketika pembaharuan insurans di tahun berikutnya.

    “Adakah ini bermakna jika saya tiada perlindungan tambahan untuk cermin kereta, jadi tuntutan tidak boleh dibuat dan saya perlu gunakan wang sendiri untuk membaiki cermin kereta?”

    TIDAK, jangan salah faham! Meskipun anda tidak mempunyai perlindungan tambahan untuk cermin kereta di bawah polisi komprehensif, anda tetap boleh membuat tuntutan insurans bagi membaiki kerosakan cermin kereta anda itu. Namun, satu perkara yang perlu anda ingat. Apabila tuntutan dibuat, maka NCD anda akan terjejas. Dan ini juga bermakna ketika pembaharuan insurans di tahun berikutnya, premium insurans anda akan kembali mahal.

    Saya bukan pemegang polisi komprehensif, bolehkah saya claim insurans untuk baiki cermin kereta?

    Tidak! Hanya pemegang polisi komprehensif sahaja yang layak untuk membuat tuntutan insurans bagi membaiki kerosakan pada cermin kereta. Melainkan anda ada mengambil perlindungan tambahan cermin kereta di bawah polisi insurans anda ketika pembaharuan insurans tempoh hari, maka barulah tuntutan boleh dibuat.

    Cara claim insuran cermin kereta

    Tanpa berlengah lagi, jom kami kongsikan cara yang sebenarnya mudah dan ringkas untuk anda claim insuran cermin kereta yang telah rosak, pecah atau retak:

    1. Hantar kereta anda ke bengkel panel yang diiktiraf oleh syarikat insurans anda. Sekiranya anda tidak pasti, segera hubungi talian awam syarikat insurans anda.
    2. Isi borang tuntutan di bengkel tersebut. Pastikan anda beritahu pekerja di bengkel bahawa anda ingin membuat tuntutan daripada syarikat insurans anda.
    3. Selepas pembaikan, anda boleh bawa pulang kereta anda. Anda tidak perlu mengeluarkan duit untuk mana-mana caj pembaikan dan juga kos buruh.

    Sebelum itu, pastikan juga anda telah menyediakan beberapa dokumen bagi urusan prosedur tuntutan. Dokumen ini adalah keperluan bengkel yang akan membaiki cermin kereta anda. Kebiasaannya, pihak kedai yang akan berurusan terus dengan pihak insurans.

    Dokumen yang perlu dibawa:

    • Salinan kad pengenalan pemilik kenderaan
    • Lesen pemilik kereta (salinan)
    • Salinan geran kereta
    • Salinan nota perlindungan insurans kereta

    Berapa kalikah tuntutan untuk cermin kereta boleh dibuat?

    Anda boleh membuat tuntutan beberapa kali selagi had maksima caruman tidak habis digunakan. Contohnya jika anda mengambil perlindungan untuk RM1,000, sekiranya pada claim yang kali pertama anda hanya menghabiskan RM500 sahaja untuk pembaikan cermin kereta, maka anda mempunyai baki lagi RM500 dan boleh membuat tuntutan lagi dalam tempoh polisi itu aktif. – Namun keadaan ini hanya tertakluk jika anda ada mengambil perlindungan tambahan cermin kereta sahaja ya.

    Kos untuk baiki cermin kereta mahal, jadi dapatkan perlindungan insurans terbaik!

    Anda perlu ingat, kos untuk pembaikan cermin kereta bukanlah setakat puluhan ringgit sahaja, malah sebaliknya ia boleh mencecah sehingga ribuan ringgit. Jadi sebaiknya ketika ingin memperbaharui insurans, cubalah dapatkan pelan insurans kpmprehensif (jika masih layak) dan add-on perlindungan tambahan untuk cermin kereta anda. 

    Premium yang perlu dibayar untuk perlindungan tambahan ini tidaklah begitu tinggi. Sekitar 15% daripada jumlah diinsuranskan untuk cermin kereta anda sahaja. Jadi, andai kata harga untuk cermin kereta anda adalah RM600, anda perlu membayar tidak lebih daripada RM90 untuk premium perlindungan ini, setahun.

    Kadar ini sebenarnya lebih menguntungkan dan berbaloi jika nak dibandingkan dengan jumlah wang yang perlu anda keluarkan sendiri untuk membaiki cermin kereta yang telah rosak.

    Jadi, sila buat pertimbangan yang sewajarnya dan berikan perlindungan terbaik untuk kereta anda!


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga: